PENYERANG negara, Safee Sali kini pemain pertama Malaysia yang layak digelar jutawan selepas bersetuju menyambung kontrak selama dua tahun bersama kelab Pelita Jaya FC (PJFC) bernilai lebih RM2 juta.
Difahamkan gaji bulanan pemain berusia 28 tahun itu mencecah AS$30,000 (RM91,200) selain mendapat pelbagai faedah dalam kontrak baru ditawar kelab Indonesia itu seperti bonus tetap perlawanan, rumah, kenderaan, pemandu peribadi, cukai dibayar oleh kelab dan tiket pergi balik ke Kuala Lumpur yang diberikan kepada kapten PJFC.
Malah dia turut berpeluang untuk bersama kelab milik penuh Pelita Jaya Cronus apabila peluang dan ruangnya tiba, bergantung kepada tempoh pendaftaran pemain yang ditetapkan oleh liga negara terbabit.
Antaranya adalah Brisbane Roar FC di Australia yang bakal beraksi di Liga Juara-Juara AFC tahun ini, CS Vise di Belgium dan SAD Uruguay selain beberapa kelab yang mempunyai hubungan rapat di Brazil dan Eropah.
“Walaupun mendapat banyak tawaran kelab luar, saya memutuskan untuk kekal di sini bagi memastikan peluang untuk lebih banyak beraksi dan berada dalam kesebelasan utama selain PJFC sudah banyak meningkatkan tahap permainan saya,” katanya.
Mengenai isu pengharaman Liga Super Indonesia (ISL), Safee melihat perkara ini bukan halangan untuk bersama skuad negara serta percaya kelab akan mengatasinya selain dijadualkan kembali bersama Malaysia menentang Arab Saudi pada penghubung bulan ini.
Sementara itu pengurus, Zakaria Abdul Rahim berkata, isu pengharaman ISL oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) tidak timbul kerana terdapat syarat dalam kontrak yang membolehkan Safee dipindahkan ke kelab lain dimiliki mereka sekiranya berdepan situasi terbabit.
Malah terdapat laporan yang mengatakan Fifa memberi tempoh hingga Mac ini bagi menyelesaikan kemelut dalaman PSSI itu.
“Ini semua adalah pengorbanan yang dibuatnya demi membantu pasukan negara dan menaikkan semangat anak-anak muda yang ingin berkerjaya di bidang bola sepak secara profesional,” kata Zakaria.
Antara manfaat lain diperoleh Safee adalah dilantik sebagai Duta Sekolah Sepakbola Pelita Jaya serta menjadi duta produk. - myMetro
Tiada ulasan:
Catat Ulasan