slmt dtg

Pengikut

ads by mangga

HBeat

Memaparkan catatan dengan label berita am. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label berita am. Papar semua catatan

Khamis, 20 September 2012

Jiran diburu dalam kes rogol, samun di Kuala Lipis


KUANTAN - Polis kini memburu dua lelaki yang dipercayai terbabit dalam kejadian rogol dan samun di Kampung Gemunchor, Kuala Lipis, Ahad lepas.
Ketua Polis Daerah Kuala Lipis Supt Abdul Razak Hassan berkata seorang daripada suspek merupakan jiran kepada mangsa.
"Rumah suspek yang berusia 30 tahun itu terletak tidak jauh dari rumah mangsa," katanya ketika dihubungi Bernama, di sini hari ini.
Mengulas kejadian pukul 10 malam itu, dua lelaki bersenjatakan parang menceroboh masuk ke rumah mangsa melalui pintu belakang yang tidak berkunci.
"Ketika berada dalam rumah mangsa, dua lelaki terbabit telah mengacukan parang dan memukul ibu mangsa sebelum mengikatnya dengan tali.
"Selepas mengikat suri rumah berusia 40 itu, iaitu ibu kepada mangsa, dua lelaki terbabit kemudian menarik mangsa yang berada di ruang tamu dan dibawa ke bilik air sebelum merogolnya," katanya.
Abdul Razak berkata selain merogol mangsa yang merupakan pelajar tingkatan lima, dua lelaki terbabit turut merampas gelang tangan ibu mangsa sebelum melarikan diri dengan menaiki sebuah kereta.
Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes itu atau mengenali suspek agar tampil di Ibu Pejabat Polis (IPD) Kuala Lipis bagi membantu siasatan.- Bernama

Rabu, 19 September 2012

Majalah Perancis siar kartun Nabi, Islam tambah marah

ajalah Perancis siar kartun Nabi, Islam tambah marah
Umat Islam Indonesia mengadakan protes di luar Kedutaan Amerika Syarikat di Jakarta, hari ini
PARIS - Sementara protes berhubung filem Innocense of Muslims masuk minggu kedua, sebuah majalah satira Perancis, Charlie Hebdo pula menerbitkan karikatur Nabi Muhammad SAW hari ini  sehingga membawa kepada kritikan pihak berkuasa negara itu dan menambah kemarahan umat Islam.

Perkembangan itu menyebabkan polis rusuhan terpaksa dikerah untuk melindungi pejabat majalah tersebut.

Muka depan majalah terbabit yang menunjukkan Yahudi Ortodoks menolak serban seorang individu  yang digambarkan sebagai Nabi Muhammad, malah beberapa gambar didalam majalah tersebut turut diletakkan termasuk gambar bogelnya.

Editor majalah itu berkata pihaknya "akan mengejutkan" mereka yang mahu dikejutkan.

Majalah tersebut dikeluarkan ketika bantahan yang meruncing terhadap filem anti - Islam tersebar di internet. Menteri Luar Perancis, Laurent Fabius mengutuk keputusan Charlie Hebdo yang bersifat provokatif dan telah mengarahkan untuk meningkatkan kawalan keselamatan di pejabat diplomatik di negara - negara Islam.

Editor majalah tersebut, pada asalnya seorang kartunis yang menggunakan nama Charb, nafi melakukan provokasi terhadap perkara tersebut.

"Ia adalah satu kebebasan akhbar, adakah ia satu provokasi?" katanya.

"Saya tidak menyuruh masyarakat Islam untuk membaca Charlie Hebdo, seperti mana saya tidak akan pergi ke masjid untuk mendengar khutbah, mendengar perkara yang saya sendiri tidak percaya," katanya.

Seorang imam besar masjid di Paris, Dalil Boubakeur menyeru umat empat juta umat Islam di Perancis agar bertenang.

"Ia adalah satu kekeliruan, kesedihan dan kebimbangan yang telah saya lalui, di mana ia menambah lagi kemarahan umat Islam yang berlaku sekarang di seluruh negara Islam," kata beliau.

"Saya merayu kepada mereka agar untuk tidak mencurah minyak dalam api yang sedang marak," katanya.Majlis Islam Perancis turut memohon umat Islam agar bertenang. - SinarHarian

Isnin, 3 September 2012

Terkejut nampak ‘pocong’ dalam sungai

Anggota polis mengangkat bungkusan yang pada mulanya disyaki mengandungi mayat.
Anggota polis mengangkat bungkusan yang pada mulanya disyaki  mengandungi mayat.

ALOR GAJAH - Bungkusan putih menyerupai bentuk pocong dengan empat ikatan sempurna yang dicampak ke dalam sungai mengejutkan tiga tukang mesin rumput di Jalan Paya Mengkuang- Kuala Sungai Baru, di sini, pagi semalam.

Bagaimanapun, selepas usaha mengesahkan pembuangan yang disangka mayat itu mendapati, ia adalah sampah bunga-bungaan yang dibungkus dalam sehelai kain batik dipercayai salah satu ritual keagamaan.

Kejadian itu disedari kirakira 11.45 pagi oleh seorang tukang mesin rumput warga Bangladesh, Rufiq, 20, bersama dua lagi rakan sekerjanya yang sedang berehat di bawah sebatang pokok terletak kira-kira 10 meter dari sungai berkenaan.

Menurutnya, pada awalnya dia mengesyaki bungkusan 'pocong' itu adalah mayat yang dibuang sebegitu sahaja.

"Saya dan rakan mendapati bungkusan itu masih bersih seolah-olah baru dibuang.

"Kemudiannya penyelia sebuah ladang di sini datang dan melihat sendiri bungkusan itu yang dicampak berdekatan tebing sebelum menghubungi polis," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Pegawai Syarak Negeri Melaka, Datuk Abu Khir Jamaluddin ketika berkata, ia dipercayai salah satu amalan syirik yang masih lagi diguna pakai.

"Segelintir penganut sesetengah agama di negara ini berpendapat ia adalah satu ritual menghalau hantu dan buang sial yang lebih sinonim dalam kalangan masyarakat Melayu.

"Ia bertentangan apatah lagi mendatangkan kecelaruan dalam kalangan masyarakat moden ketika ini,” katanya. - SinarHarian

Sabtu, 1 September 2012

Bintulu Daif: Personaliti TV3 Perlu Minta Maaf


BINTULU: Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Sarawak mahu pengacara TV3, Nurul Syuhada Nurul Ain meminta maaf secara terbuka atas kenyataannya semasa lintas langsung stesen itu yang menyatakan Bintulu sebagai sebuah kawasan daif.
Naib Ketua Pemuda PBB, Pandi Suhaili di dalam satu kenyataan di sini hari ini berkata kenyataan maaf tersebut patut dibuat secara terbuka bagi meredakan kemarahan penduduk Bintulu.
Bintulu bakal menjadi tuan rumah perayaan sambutan Hari Malaysia peringkat kebangsaan pada 16 September ini.
"Pemuda PBB Sarawak berkeinginan untuk melihat Nurul Syuhada membuat maaf melalui TV3 memandangkan kenyataan mengenai Bintulu dilakukan oleh beliau ketika menjadi pengacara semasa lintas langsung sempena sambutan Hari Mardeka dari Dataran Merdeka semalam, " katanya dalam kenyataan yang dihantar kepada Bernama.
Pandi berkata, Nurul Syuhada kurang arif mengenai Bintulu sehingga menyebabkan beliau beranggapan bahawa bandar Bintulu sebagai daif walhal Bintulu merupakan penyumbang utama kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia dengan hasil gas dan minyaknya.
Katanya Bintulu sudah lama membangun dan Pemuda PBB Sarawak agak kesal apabila orang Malaysia sendiri tidak mengetahui keadaan dan kedudukan Bintulu sehingga beranggapan ianya jauh di pedalaman.
Oleh yang demikian, katanya personaliti TV3 itu perlu berusaha untuk menjadi wartawan yang membuat laporan berdasarkan penyelidikan yang rapi.
"Diharap pihak pengurusan TV3 akan memastikan bahawa perkara seumpama ini tidak akan berlaku lagi di masa hadapan," katanya.
Sementara itu kenyataan tersebut menjadi perbualan aktif dalam media sosial seperti Facebook dengan satu akaun khas 'Sila Mohon Maaf secara terbuka Cik Nurul Syuhada & TV3' dibuat yang kini mendapat sokongan lebih 2,000 ahli termasuk seorang Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun)Sarawak.
Turut merasa tempias ialah akaun FB MHI TV3 yang mendapat reaksi negatif dari penduduk negeri ini dengan menyatakan rasa tidak puas hati dengan kenyataan pengacara tersebut dan mahu minta maaf dibuat secara terbuka. - mStarOnline

Isnin, 27 Ogos 2012

Ribuan Pengunjung Banjiri Legoland


Peminat Lego:Seorang kanak-kanak bergambar bersama miniatur singa di Legoland Malaysia, Johor Baru.
JOHOR BARU: Ribuan pengunjung teruja berkunjung ke Legoland Malaysia untuk mengabadikan gambar kenangan walaupun taman tema baru itu hanya dijadualkan beroperasi pada 15 September ini.
Beberapa pengunjung berada di sana untuk membeli pas tahunan tetapi kebanyakannya singgah seketika untuk mendapatkan gambaran pertama mengenai taman tema yang sedang hangat diperkatakan itu.
Jurutera Jesper Bruhn, 40, dari Denmark berkata, dia amat terkejut apabila menemui sebuah taman tema yang serupa di negara kelahirannya.
"Ia amat serupa, sesuatu yang tidak diduga," katanya.
Bruhn berkata, dia beratur selama 90 minit untuk mendapatkan pas masuk tetapi ia amatlah berbaloi untuk menunggu.
"Saya tidak sabar menunggu taman ini dibuka secara rasminya," katanya.
Warga Singapura, Tan Yan Fen, 24, berkata dia mengadakan kunjungan istimewa bersama lima lagi rakannya untuk melihat taman tema itu dengan lebih dekat.
"Saya adalah peminat setia Lego tetapi taman tema ini amat menarik," katanya.
Tan berkata, dia teruja untuk melihat reka bentuk taman tema itu.
"Ia amat berbeza dari Universal Studios Singapura," katanya.
Kakitangan awam Rohaya Amir, 36, yang dalam perjalanan ke Nusajaya bersama keluarganya menyedari kelibat orang ramai menghala ke Legoland.
"Kami tertanya-tanya dan memutuskan untuk singgah seketika," katanya.
Rohaya berkata, barisan untuk membeli tiket terlalu panjang dan dia akan kembali semula ke sana untuk mendapatkan pas masuk.
Pengurus Besar Legoland Malaysia Siegfried Boerst berkata, pegawai taman tema itu tidak menjangka sambutan pengunjung begitu menggalakkan meskipun ia belum dibuka secara rasmi. - mStarOnline

Rabu, 18 Januari 2012

Pemain bola Perlis ditahan ‘caci’ polis

JITRA: Seorang pemain bola sepak Liga Perdana Perlis, ditahan di sini, semalam, selepas memaki-hamun anggota polis dengan mengeluarkan kata-kata kesat selepas dia disaman kerana tidak memiliki lesen memandu. 

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Ibrahim Mohd Yusoff, berkata pemain berusia 26 tahun itu ditahan dalam sekatan jalan di Jalan Jenan-Kepala Batas dekat sini, kira-kira jam 12.30 tengah hari, ketika menunggang motosikal Honda EX-5 hitam.

Apabila pemeriksaan dibuat, dia didapati tidak memiliki lesen memandu dan polis mengeluarkan saman POL 257.

Bagaimanapun, pemain yang berasal dari Bandar Darulaman dekat sini, dikatakan tidak berpuas hati dengan tindakan polis yang mengeluarkan saman ke atasnya dan menjerit dengan mengeluarkan kata-kata kesat serta memaki-hamun anggota terbabit. 

Anggota terbabit kemudian mengejar pemain itu kira-kira 200 meter dan menahannya di depan sebuah pasar raya di Bandar Darulaman. 

Difahamkan, pemain terbabit adalah bekas pemain bola sepak bagi Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dan kini beraksi dalam kesebelasan utama Liga Perdana untuk dua musim berturut-turut. 

Ibrahim berkata, pemain itu dibawa ke cawangan trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Kubang Pasu untuk dibuat laporan tangkapan dan ujian saringan air kencing mendapati dia bebas daripada dadah. 

Kesnya disiasat mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 dan pemain bola sepak itu dibebaskan dengan jaminan polis.  - BHarian

Ahad, 8 Januari 2012

Beberapa Jalan Di Ibu Negara Dijangka Sesak Isnin Ini


KUALA LUMPUR: Beberapa jalan di ibu negara dijangka sesak bermula pukul 7 pagi Isnin ini.
Laman Facebook Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kuala Lumpur menyatakan jalan-jalan terlibat ialah Jalan Duta dari kedua-dua arah, Jalan Kuching, Bulatan Segambut, Jalan Khidmat Usaha, Jalan Ibadah, Jalan Dutamas, Jalan Persiaran Dutamas dan Jalan Hikmat Usaha.
Jalan-jalan berkenaan menuju ke Kompleks Mahkamah Jalan Duta, Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade), Bangunan Kompleks Kerajaan, Hentian Bas Jalan Duta, Masjid Wilayah dan sekitarnya.
Justeru, Ketua Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner (ACP) Rusli Mohd Noor menasihatkan semua pengguna jalan raya supaya mengelak kesesakan pada hari itu.
"Pengguna jalan raya perlu elak daripada menggunakan jalan-jalan itu jika tiada urusan penting.
"Kakitangan pejabat yang bertugas dan orang ramai yang mempunyai urusan di sekitar kawasan itu dinasihat menggunakan pengangkutan awam. Orang ramai perlu mematuhi arahan dan beri kerjasama sepenuhnya kepada anggota polis yang bertugas," katanya.
Beliau turut menasihatkan orang ramai agar memastikan kenderaan mereka yang diparkir tidak menghalang lalu lintas pada hari itu.
Kesesakan itu dijangka berlaku berikutan perhimpunan penyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim ekoran keputusan Mahkamah Tinggi berhubung tuduhan kes liwat Ketua Pembangkang itu terhadap bekas pembantu peribadinya, Muhd Saiful Bukhari Azlan. -BERNAMA

Khamis, 22 Disember 2011

Lokasi tempat ramalan kiamat jadi tumpuan


(Reuters) GAMBAR fail menunjukkan lokasi peninggalan tamadun Mayan di Chiapas, Mexico.

BANDAR RAYA MEXICO - Agensi Pelancongan Mexico menjangkakan dapat menarik kehadiran 52 juta pelawat menjelang tahun 2012 ke rantau yang dikaitkan dengan tamadun Mayan seperti Chiapas, Yucatan dan Tabasco.
Sebelum ini, Mexico dapat menarik kehadiran sekitar 22 juta pelancong luar pada setiap tahun.
Peningkatan mendadak dalam jumlah pelancong kali ini dikaitkan dengan ramalan penduduk Mayan bahawa kiamat bakal berlaku pada tahun depan.
Kiamat itu diramalkan berlaku pada 21 Disember 2012.
Pekan dan bandar raya di kawasan tamadun Mayan memulakan kiraan tamatnya kalendar Mayan tersebut semalam.
Namun, ramai ahli arkeologi berpendapat rujukan kepada tarikh tersebut yang diukir pada batu bersurat berusia 1,300 tahun cuma menandakan tamatnya satu kitaran dalam kalendar Mayan.
"Dunia belum kiamat. Ia hanya satu era," kata seorang jurucakap pelancongan negeri Quintana Roo yang menempatkan kota bersejarah Cancun, Yeanet Zaldo.
Kebijaksanaan tamadun Mayan menyebabkan sebahagian penduduk mengambil berat tentang ramalan kiamat tersebut.
Tamadun Mayan yang mencapai peringkat kegemilangan dari tahun 300 Tahun Masihi hingga 900 Tahun Masihi memiliki kemahiran luar biasa dalam bidang astronomi.
Kalendar kaum berkenaan bermula pada tahun 3,114 Sebelum Masehi (S.M.) dan mengambil masa selama 394 tahun untuk membentuk satu kitaran dikenali sebagai Baktun.
Baktun ke-13 berakhir pada 21 Disember 2012.
Teori bahawa kiamat berlaku pada tarikh tersebut berpunca daripada sebuah batu bersurat yang ditemui pada tahun 1960-an di tapak arkeologi Tortuguero di negeri Tabasco, dekat Teluk Mexico.
Batu bersurat berkenaan menceritakan tentang kembalinya Dewa Mayan pada penghujung Baktun ke-13.
Mereka yang percaya mengenai teori kiamat itu menyebarkan ramalan tersebut di ratusan ribu laman web dan blog di Internet. - Agensi

Khamis, 8 Disember 2011

Banglo Apek buat abah


KOTA BHARU: “Dia pembela nasib keluarga kami,” luah Che Mat Husin, 59, bapa kepada penjaga gol kebangsaan, Khairul Fahmi Che Mat, mengenai niat anaknya mahu menyerahkan rumah banglo diberikan kerajaan negeri kepada keluarganya.

Menyifatkan Khairul Fahmi sebagai anak bertanggungjawab, Che Mat mengakui berbangga setiap kali anaknya meraih kejayaan besar, lebih-lebih lagi mengharumkan nama negara termasuk menjuarai Piala AFF Suzuki ketika beraksi sebagai penjaga gol, setahun lalu.

“Sebagai ayah, kejayaannya membuatkan kami sekeluarga bangga dan tidak sia-sia membesarkannya walaupun dia terpaksa mengharungi susah payah dilalui keluarga kami suatu masa dulu akibat kemiskinan.

“Ketika di kemuncak, dia (Khairul Fahmi) tidak lupa diri. Kesediaannya menyerahkan rumah berkenaan kepada keluarga atas rasa tanggungjawabnya,” katanya. 

Khairul Fahmi yang dihubungi kelmarin, berkata dia mahu menghadiahkan rumah banglo itu kepada keluarganya.

Bagaimanapun, kerana kesuntukan masa dan perlu menjalani latihan insentif menghadapi tiga perlawanan persahabatan antara Harimau Malaya dengan beberapa kelab bola sepak termasuk Sydney FC di Sydney, Australia, pada 10 hingga 22 Disember ini, menyebabkan Khairul Fahmi tidak dapat bercakap panjang.

Che Mat berkata, dia terharu apabila mengetahui Khairul Fahmi atau lebih dikenali sebagai Apek berhasrat menghadiahkan banglo di Taman Kurnia Jaya, Pengkalan Chepa kepada keluarga sebagai membalas pengorbanan orang tuanya.

“Kami bersyukur kerana kejayaannya mendapat perhatian banyak pihak, malah nasib keluarga kami berubah kerana dia banyak membantu keluarga.

“Dia (Apek) tidak pernah membelakangi keluarga meskipun sibuk, malah selepas berjaya, dia menjadi harapan membela nasib kami sekeluarga,” katanya.

Che Mat yang bekerja sebagai pemandu lori pasir sejak 20 tahun lalu, kini mampu tersenyum dan tidak putus bersyukur dengan kejayaan dicapai anak keempat daripada lima beradik itu.

Katanya, keluarganya berasal daripada golongan miskin dan tidak menduga kerjaya Apek sebagai pemain bola sepak mampu mengubah nasib keluarga. - myMetro

Selasa, 6 Disember 2011

Adik Apek meninggal akibat demam panas


Khairul Fahmi mengusung jenazah adiknya

KOTA BHARU: Kontroversi membabitkan dirinya baru saja reda, namun penjaga gol negara, Khairul Fahmi Che Mat, sekali lagi berdepan dugaan besar apabila menerima berita sedih kematian adik lelakinya yang meninggal dunia akibat demam panas, semalam.

Mohd Amirul Izat, 16, meninggal dunia di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian di sini, jam 11.30 pagi semalam selepas hampir 23 hari tidak sedarkan diri.

Allahyarham yang juga anak sulung kepada isteri kedua bapa penjaga gol kebangsaan itu dimasukkan ke hospital berkenaan sejak 10 November lalu, sebelum dipindahkan ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) pada 15 November lalu.

Dia yang pada mulanya disyaki menghidap demam denggi, sekali lagi dirujuk ke HUSM sebelum disahkan meninggal dunia.

Che Mat Hussin, 58, berkata, anak sulung dari dua beradik hasil perkongsian dengan isteri keduanya, Hasnah Mahmood, 47, disemadikan di Tanah Pekuburan Islam Kampung Pohon Tanjung kira-kira satu kilometer dari rumah Hasnah di Kampung Pak Lah dekat Wakaf Mek Zainab di sini, semalam.

Katanya, arwah yang begitu rapat dengan abangnya (Khairul Fahmi) dirujuk ke HUSM dan menjalani pembedahan pada leher selain melalui prosedur memasukkan alat untuk mengeluarkan kuman yang dikatakan menyerang otaknya. 

Menurut Che Mat, kematian anaknya itu dimaklumkan kepada Khairul Fahmi yang ketika itu berada di Kuala Lumpur menjalani latihan rutin harian menghadapi Sukan Olimpik.

Ketika ahli keluarga Che Mat menuju ke tanah perkuburan, kenderaan dinaiki Khairul Fahmi tiba 10 minit kemudian dan penjaga gol kebangsaan itu sempat mengusung jenazah adik lelakinya diiringi ahli keluarga lain.

Sementara itu, Khairul Fahmi berkata, kali terakhir beliau bertemu adiknya sebelum Aidiladha lalu dan sempat beramah mesra dengan seluruh ahli keluarganya.

“Walaupun rapat, kami jarang bertemu kerana sibuk menjalani latihan dan saya hanya sempat memberikan baju sebagai hadiah hari raya,” katanya. - myMetro

Rabu, 2 November 2011

Dedah payudara di depan kediaman bekas ketua IMF


SEBELUM mendedahkan payudara, tiga wanita itu memakai pakaian seperti amah di depan kediaman bekas Ketua Dana Kewangan Antarabangsa, Dominique Strauss-Kahn di Paris kelmarin. - REUTERS

PARIS - Tiga aktivis kumpulan pembela hak asasi wanita yang dikenali sebagai FEMEN bertindak mendedahkan payudara mereka di depan kediaman bekas Ketua Dana Kewangan Antarabangsa (IMF), Dominique Strauss-Kahn di sini kelmarin.
Sebelum mereka mendedahkan payudara masing-masing, ketiga-tiga wanita itu memakai pakaian amah.
Ketiga-tiga wanita itu melakukan perbuatan tersebut bagi membantah sikap Strauss-Kahn terhadap wanita.
Strauss-Kahn meletakkan jawatan sebagai Pengarah Urusan IMF pada 18 Mei lalu selepas dia didakwa melakukan serangan seksual ke atas seorang wanita yang merupakan pekerja di sebuah hotel tempat dia menginap di New York.
Namun, dakwaan itu digugurkan oleh pendakwa raya kerana kekurangan bukti fizikal. - Agensi

Rabu, 28 September 2011

Kenali 11 Peserta 'Ustazah Pilihan'


Sebelas peserta Ustazah Pilihan yang bakal beraksi di Astro Oasis bermula Oktober ini. - Foto DANIL ROSLAN
KUALA LUMPUR: Pencarian pelapis pendakwah muda wanita berakhir apabila pihak Astro Oasis berjaya memilih 11 calon untuk program Ustazah Pilihan selepas beberapa siri uji bakat yang diadakan di beberapa lokasi seluruh negara bermula Julai lalu.
Pengurus Saluran Astro Oasis, Izelan Basar berkata, daripada 40 peserta yang di senarai pendekkan, pihaknya hanya memilih 11 peserta kerana mereka dilihat layak untuk menyertai rancangan berkenaan berdasarkan pengetahuan masing-masing.
"Antara kelebihan peserta kali ini apabila ada di kalangan mereka bukan sahaja berkelulusan pada peringkat universiti sebaliknya berkebolehan bertutur bahasa asing seperti Arab dan Parsi.
"Apabila program ini bermula, kami akan menguji dan melihat sejauh mana pesertaUstazah Pilihan ini dapat mengendalikan permasalahan berkaitan wanita dan berdakwah kepada orang lain.
“Kami juga mahu melihat mereka menjadi wanita yang berkualiti daripada segi pemikiran dan perwatakan agar dapat menjadi ikon muslimah sehingga ke peringkat antarabangsa,” katanya pada majlis memperkenalkan barisan peserta rancangan berkenaan Isnin lalu.
Individu yang terpilih menyertai Ustazah Pilihan terdiri daripada Nur Atieqah Mohd Zainudin (Atiqah),20, Nur Aqidah Mawardi (Aqidah),21, Nun Faizah Rohana Mustapha (Faizah),21, Siti Fatimah Mad Yatim (Fatimah), 21, dan Masfira Hilman (Fira),27.
Turut terpilih adalah Firuz Akhtar Mohamad Bohari (Firuz),27, Siti Nor Hafidza Razali (Fizah),21, Nurul Hidayah Kamarudin (Hidaya),26, Nina Syazmeen Mohd Din (Nina),23, Siti Fatimah Mohd Sharif (Siti),26, dan Maryanti Ramle (Yanti),23.
Sementara itu Izelan berkata menerusi program ini para peserta akan melalui proses penyingkiran mengikut tahap pencapaian masing-masing yang akan ditentukan oleh mudirah (pengetua) yang dilantik iaitu Dr Robiah K Hamzah dan mursyidah (tenaga pengajar) iaitu Prof Dr Muhaya Mohamad dan Ustazah Zawiyah Hassan.
Program yang dihoskan oleh penyampai radio IKIM, Siti Rohani Surani ini akan bersiaran pada setiap Khamis, pukul 9 malam bermula 6 Oktober depan. - mStarOnline

Lelaki gajah

BENGKAK...Pok Nik We menghidapi ketumbuhan pada wajah sejak 20 tahun lalu.
BENGKAK...Pok Nik We menghidapi ketumbuhan pada wajah sejak 20 tahun lalu.


KUALA LIPIS: Ada kalanya bengkak di mukanya membesar hingga ‘menenggelamkan’ matanya, tetapi apa yang anehnya, Ismail Yaakob atau lebih dikenali sebagai Pok Nik We, 64, dari Kampung Mentara Baru, di sini, tidak berasa sakit sebaliknya hanya mendatangkan rasa gatal.

Setiap kali mukanya gatal dan bengkaknya membesar, Pok Nik We menggaru menggunakan tuala kecil dan atas keganjilan serta rupanya pelik itulah membuatkan penduduk kampung memberi gelaran ‘Lelaki gajah’.

Sudah lebih 20 tahun Pok Nik We diserang penyakit misteri itu dan telinganya sudah lali mendengar orang memanggilnya ‘Lelaki gajah’ dan gelaran itu sedikitpun tidak melemahkan semangatnya untuk terus berusaha mencari nafkah keluarga dengan hasil pendapatannya sebagai penoreh getah.

Akibat ketumbuhan di kedua belah pipinya itu, mata Pok Nik We sering kali kelihatan ‘tenggelam’ dan keadaan itu bertambah buruk setiap kali bengkak di mukanya itu membesar, namun keadaan itu tidak menjejaskan penglihatannya.

Dia mengakui sudah biasa, tetapi apa yang menimbulkan rasa pelik ialah mengapa ketumbuhan di kedua-dua belah pipinya itu membesar dan mengecil pada masa-masa tertentu.

“Ia membuatkan bahagian berkenaan gatal. Apa yang pelik ia tidak pula sakit,” kata bapa kepada enam anak itu.

Pok Nik We berkata, dia pernah menjalani pembedahan membuang ketumbuhan berkenaan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, Kelantan kira-kira dua tahun lalu, namun penyakit misteri itu masih berulang.

“Sudah tidak terbilang rasanya bomoh yang saya temui, namun gagal mengubati,” katanya.Warga emas itu berkata, dia kini berserah kepada Allah kerana sudah puas berikhtiar mengubati penyakit dialaminya itu.

Dia yang berpendapatan RM600 sebulan kini menyara tiga anak berusia tujuh hingga 20 tahun manakala isterinya tidak bekerja. Pok Nik We berkata, walaupun mendapat bantuan RM300 sebulan daripada jabatan kebajikan masyarakat (JKM), namun tidak mencukupi. - myMetro

Selasa, 13 September 2011

Badminton tuai 4 emas YCG

pix_gal0


Sasaran tiga pingat pelbagai warna pada penyertaan Sukan Komanwel Remaja IV diatasi dengan skuad badminton negara menghadiahkan empat pingat emas, dua perak dan satu gangsa di Pusat Sukan Kebangsaan, Isle Of Man.

Catatan keseluruhan tujuh pingat dalam perlawanan akhir yang berlangsung kelmarin itu sekali gus mengatasi pungutan pingat pada edisi Sukan Komanwel Remaja 2008 di India apabila negara memenangi tiga emas.

Emas pertama diperoleh menerusi gandingan beregu campuran, Teo Ee Yi-Chow Mei Kuan yang menumbangkan pasangan India, Srikanth Kidambi-Maneesha Kukkpalli, 18-21, 21-16, 21-8 dan seperti dijangka, juara remaja Asia dan pilihan pertama, Zulfadli Zulkiffli menewaskan musuh ketat dari India, Sameer Verma, 21-16, 17-21, 21-15.

“Tugas kami sudah selesai dan tujuh pingat memang tidak diduga sama sekali. Kemantapan pemain akan terus diasah untuk Kejohanan Remaja Dunia di Taiwan, November depan,” kata jurulatih badminton, Yap Kim Hock.

Beregu wanita negara, Mei Kuan-Lee Meng Yean mengatasi rakan sepasukan, Sonia Cheah-Yang Li Lian 21-17, 21-8 untuk emas ketiga manakala pingat emas keempat hadir menerusi beregu lelaki, Nelson Heg-Ee Yi yang menumbangkan Ryan McCarthy-Tom Wolfenden (England) 24-22, 21-16.

Terdahulu, Nelson-Meng Yean turut meraih gangsa dalam acara beregu campuran apabila membenam McCarthy-Emily Westwood dari England, 21-14, 21-10.

Malaysia terlepas satu pingat emas dalam final perseorangan wanita apabila Sonia terpaksa berpuas hati dengan perak selepas tunduk kepada pilihan pertama dari India, Pusarla Sindhu 20-22, 8-21 sementara Li Lian tewas kepada Kirsty Gilmour dari Scotland 16-21, 20-22 bagi penentuan gangsa.

Dalam acara berbasikal kriterium, pelumba wanita negara, Ju Pha Som Net menduduki tangga ke-11 manakala Hamdan Hamidun di tempat ke-24 kategori lelaki.  - BHarian

Khamis, 8 September 2011

Tambah Nilai Pra Bayar, Pek Sim Dikenakan Cukai Perkhidmatan Enam Peratus Mulai 15 September


KUALA LUMPUR: Pembelian tambah nilai prabayar dan permulaan prabayar/pek SIM bagi semua syarikat telekomunikasi akan dikenakan cukai perkhidmatan sebanyak enam peratus, berkuat kuasa 15 Sept.
Pelanggan prabayar akan dimaklumkan melalui SMS bermula tengah hari ini mengenai cukai perkhidmatan ITU, demikian menurut industri syarikat telekomunikasi Malaysia dalam kenyataan bersama di sini Khamis. Para pelanggan juga boleh merujuk kepada laman web syarikat telekomunikasi masing-masing untuk maklumat atau menghubungi pusat perkhidmatan pelanggan sekiranya mereka mempunyai pertanyaan lanjut.
Syarikat telekomunikasi itu berkata cukai perkhidmatan merupakan cukai penggunaan dan boleh dikenakan kepada pelanggan sebagaimana yang disediakan dalam perundangan cukai perkhidmatan.
Akta Cukai Perkhidmatan 1975 memerlukan syarikat telekomunikasi mengenakan levi cukai perkhidmatan pada kadar tertentu terhadap perkhidmatan telekomunikasi, termasuk perkhidmatan prabayar mudah alih.
Ini sama seperti cukai perkhidmatan yang dilevi terhadap pembelian makanan dan minuman daripada restoran dan hotel.
Cukai perkhidmatan terhadap prabayar bukan baru kerana syarikat telekomunikasi telah menyerapnya bagi perkhidmatan prabayar mudah alih sejak pengenalan pada 1998.
Langkah yang diambil adalah bagi memastikan perkhidmatan prabayar mudah alih kekal kompetitif berbanding pasca bayar, memandangkan kadar prabayar tinggi bagi panggilan dan SMS pada permulaan.
Dengan kadar prabayar berkurangan sejak bertahun, ia kini ditawarkan pada kadar yang amat kompetitif.
"Dengan cukai perkhidmatan enam peratus terhadap perkhidmatan prabayar, seorang pelanggan yang membeli tambah nilai RM10 perlu membayar RM10.60, dengan 60 sen sebagai cukai perkhidmatan," kata kenyataan itu. - BERNAMA

Rabu, 7 September 2011

‘Kapak terbang’ melayang


AMPANG: Sekumpulan empat remaja lelaki bertindak samseng dengan menumbuk dan membaling kapak ke arah bapa seorang daripada rakan mereka selepas berang tidak dibenarkan berjumpa rakannya itu, awal pagi kelmarin.

Bagaimanapun, tindakan pantas lelaki berusia 45 tahun itu mengelak berjaya menyelamatkan dirinya daripada terkena kapak ‘terbang’ berkenaan.

Sumber berkata, dalam kejadian kira-kira jam 3 pagi itu, mangsa yang sedang tidur di dalam rumahnya di Pandan Jaya, di sini, terkejut sebaik mendengar bunyi bising dari luar rumah.

“Kumpulan remaja berusia 17 tahun itu yang juga rakan sebaya anak lelakinya datang ke rumah dan memaksa anaknya keluar melepak. Namun, anak mangsa enggan keluar.

“Mangsa kemudian menasihati mereka supaya pulang dan tidak memaksa anak lelakinya itu terbabit dalam kumpulan berkenaan,” katanya.

Malangnya, seorang daripada kumpulan itu secara tiba-tiba naik angin lalu menumbuk muka mangsa.

“Bukan itu saja, seorang lagi daripada mereka pula membaling kapak ke arah mangsa. Bagaimanapun, mangsa yang menyedari tindakan itu sempat mengelak,” katanya.

Berikutan tindakan itu, mangsa yang berang dengan tindakan itu dikatakan mengejar kumpulan terbabit, namun tidak berhasil.

Menurutnya, isteri mangsa yang melihat kejadian itu segera menghubungi polis sebelum sepasukan polis tiba di tempat kejadian.

Difahamkan, kumpulan berkenaan dipercayai menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada anak mangsa dengan mengugut mahu membunuhnya jika membuat laporan polis.

Mangsa yang bimbang akan keselamatan keluarganya tampil membuat laporan di balai polis berhampiran. - myMetro

Selasa, 6 September 2011

Natasha punca rakan disimbah asid


NATASHA (kanan) menunjukkan kesan simbahan asid pada badan Mohd. Hafizuddin di Kangar semalam.
KANGAR – “Saya berasa amat bersalah dan bimbang selepas teman saya menerima aib disimbah asid. Oleh itu, saya hendak pergi dari sini.”
Demikian luahan seorang pondan yang mahu dikenali sebagai Natasha, 28, yang dikaitkan punca cemburu seorang lelaki sehingga sanggup bertindak menyimbah asid ke atas rakan serumahnya di Taman Seri Bakau di sini pada Sabtu lalu.
Kata Natasha, dia akan membawa diri ke tempat baharu bagi menjalani kehidupan lebih aman bersama teman serumahnya yang juga mangsa kejadian, Mohd. Hafizuddin Johari, 20.
“Sejak kami bersama, ramai pihak tidak senang dengan hubungan kami sehingga sering diugut dan dicaci.
“Kejadian ini amat menakutkan saya dan demi keselamatan dan keselesaan hidup, kami akan pindah,” katanya ketika ditemui di Rumah Kelab Media Perlis di sini semalam.
Semalam akhbar melaporkan seorang pemuda cedera di muka dan tangan kanan akibat disimbah asid oleh individu tidak dikenali ketika sedang mengunci pagar rumahnya di Taman Seri Bakau di sini.
Menurut polis, motif serangan oleh suspek berusia 19 tahun itu disebabkan cemburu ekoran mangsa melarangnya mendekati Natasha. Penyerang tersebut kemudiannya berjaya diberkas.
Natasha yang bekerja sebagai jurujual kosmetik berkata, punca temannya diserang adalah kerana suspek tidak berpuas hati ekoran tidak dapat mendekati dirinya.
“Saya dan Hafizuddin tidak mengenali penyerang itu tetapi disebabkan sifat dan keadaan saya, ramai lelaki hendak berkawan tetapi saya tidak melayan mereka,” ujarnya lagi.
Natasha mendakwa menjadi tumpuan ramai lelaki ekoran minatnya yang suka menyanyi dan menari di beberapa pusat karaoke di sekitar pantai negeri itu.
“Saya sayangkan Hafizuddin sebab dia banyak menolong dan memberi sokongan kepada saya. Oleh itu, keputusan kami ini baik untuk semua pihak,” ujarnya.
Sementara itu, Mohd. Hafizuddin yang bekerja di bidang penyediaan makanan memberitahu, dia akan mengikut Natasha kerana serasi hidup bersama sejak mengenalinya empat bulan lalu. - KOSMO

Sabtu, 13 Ogos 2011

Makan Colek 1Malaysia di Kota Bharu


Colek Buah .............. jelighonyo....
kredit utk Google Image

KOTA BHARU — Menghangatkan kemeriahan Ramadan, Pejabat Penerangan Kota Baharu menganjurkan program mesra Ramadan, Makan Colek 1Malaysia malam esok.
Pegawainya Samsudin Daud berkata, program itu akan berlangsung pada 10 malam di Taman Hijau, berhampiran Pejabat Penerangan Kota Baharu di Jalan Tok Hakim, di sini.
Beliau berkata, Ramadan di Kelantan bagaikan tidak sah tanpa makan colek beramai-ramai selepas tarawih.
"Justeru bagi membangkitkan suasana dan kemeriahan Ramadan di samping mengeratkan silaturrahim rakyat pelbagai kaum di negeri ini, pihak kita mengambil inisiatif untuk menganjurkan program itu,” katanya kepada Bernama di sini.
Beliau berkata, pelbagai jenis colek akan dihidangkan untuk santapan tetamu, antaranya pemimpin masyarakat kaum Melayu, Cina dan India, badan-badan bukan kerajaan serta media massa di negeri ini.
Katanya, program seumpama itu juga bagi memastikan kehadiran Ramadan tidak disambut hambar tanpa sebarang aktiviti yang bermanfaat yang sewajarnya dilakukan setiap jabatan kerajaan dan swasta di negeri ini. — Bernama

Khamis, 4 Ogos 2011

Presiden FAM terima Anugerah Berlian AFC




SULTAN Pahang, Sultan Ahmad Shah yang juga Presiden Persekutuan Bola Sepak Asean (AFF) dan bekas Presiden Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) merupakan penerima Anugerah Berlian AFC 2011.

Perwakilan AFC yang diketuai pemangku presidennya Zhang Jilong menghadap Sultan Ahah Shah di Istana Pahang semalam untuk menyampaikan berita berkenaan kepada baginda yang menjadi Persiden AFC dari 1994 hingga 2002.

Menurut laman web AFC, anugerah akan disampaikan kepada baginda yang juga Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) pada majlis Anugerah Tahunan AFC di sebuah hotel terkemuka di Kuala Lumpur pada 23 November ini.

Anugerah itu diberikan kepada individu yang memberi sumbangan ke arah pembangunan dan promosi sukan bola sepak di benua Asia.

Zhang memuji sumbangan baginda kepada pembangunan bola sepak Asia dengan berkata: "AFC dan keluarga bola sepak Asia tidak akan melupakan sumbangan baginda Sultan. Ahli Jawatankuasa Eksekutif AFC sebulat suara membuat keputusan untuk menghargai baginda."

Sementara itu, Sultan Ahmad Shah pula bertitah: "Saya mahu melihat kerjasama erat antara AFC dan AFF di masa depan."

Penerima anugerah sebelum ini termasuk Saburo Kawabuchi (2005), Joseph S Blatter (2006), Lennart Johannson (2007), Ken Naganuma (2008, selepas kematian), Jeneral Farouk Bouzo (2009) dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak (2010). - Bernama

David Beckham ada kereta Ferrari baharu

KERETA baharu David Beckham, Ferrari 612 Scaglietti diletakkan di luar rumahnya di Los Angeles baru-baru ini.


LOS ANGELES - Bintang bola sepak England yang bermain untuk kelab LA Galaxy, David Beckham mempunyai koleksi kereta terbaharunya, lapor sebuah akhbar semalam.
Kereta baharu Beckham itu merupakan Ferrari 612 Scaglietti yang berharga AS$300,000 (RM894,294.01), berwarna hitam dan mempunyai nombor 7.
Nombor itu pernah digunakan oleh Beckham semasa dia mewakili kelab Manchester United.
Kereta baharu itu dilihat diletakkan di luar rumah Beckham di sini baru-baru ini.
Sejak dilancarkan pada 2004, kereta Ferrari itu mempunyai sistem navigasi satelit, alat pemain muzik MP3, mengenali suara pemilik dan teknologi wayarles.
Sebelum ini, Beckham memiliki satu koleksi kenderaan yang terdiri daripada sebuah kereta BMW, Lamborghini, Aston Martin, Porsche, Escalade, sebuah jip dan beberapa motosikal. - Agensi

Iklan Mangga