slmt dtg

Pengikut

ads by mangga

HBeat

Memaparkan catatan dengan label hiburan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label hiburan. Papar semua catatan

Sabtu, 5 Januari 2013

AJL27: Aizat ganti Yuna

Aizat Amdan
Aizat Amdan

TEKA-teki siapa bakal menggantikan Yuna untuk menyanyikan lagu Terukir Di Bintang sudah terjawab apabila pihak penganjur mengesahkan Aizat Amdan dipilih untuk mengambil alih peranan itu pada malam penyampaian Anugerah Juara Lagu ke-27, Ahad ini.
Penyanyi dan komposer berusia 24 tahun ini akui tidak menyangka apabila dimaklumkan Yuna memilih dirinya untuk menyanyikan lagu tersebut.
“Memang tak sangka sebenarnya. Apa pun, saya kena hafal lirik dulu dan sesuaikan diri dengan lagu itu cepat. Tinggal dua hari saja sebelum AJL27,” katanya kepada Sinar Harian Online.
Aizat memberitahu, hanya ingin membantu rakannya, Yuna yang memerlukan dirinya serta berharap agar dapat menyampaikan lagu tersebut dengan baik Ahad ini.
“Persediaan belum mula apa-apa lagi. Cuma, saya akan cuba untuk beri yang terbaik... kawan dah minta tolongkan,” katanya yang mengetahui keputusan pemilihan itu semalam.
Mengulas soal lagu Terukir Di Bintang ciptaan Yuna itu, Aizat menyifatkan ia ‘simple’ dan ‘sweet’.
“Ia sebuah lagu yang klasik dan sesuai juga apabila dinyanyikan oleh lelaki. Lirik lagu ini universal dan melodi ala-ala Eropah,” katanya.
Semalam, Yuna memaklumkan menarik diri dari malam final AJL27 yang bakal berlangsung di Stadium Putera Bukit Jalil.
Yuna terpaksa menarik diri daripada pentas final AJL27 demi memenuhi tuntutan rakaman di Los Angeles. - SinarHarian

Zarina Anjoulie dijamin adik tiri


Zarina Anjoulie
PETALING JAYA - Pelakon dan model Zarina Anjoulie Mohamad Fahizul, 27, lebih dikenali sebagai Zarina Anjoulie dijamin adik perempuan tirinya hari ini selepas dua hari berada dalam Penjara Kajang.
Pelakon berkenaan yang dijamin adik tirinya itu keluar dari bilik lokap kompleks mahkamah Petaling Jaya kira-kira pukul 10 pagi kelihatan tenang, memakai baju-T warna kelabu dan bercermin mata gelap. 
Zarina bersama rakan lelakinya, Mohamad Fakhruzaim Mohamad Fawzi, 27, didakwa di Mahkamah Majistret di sini Rabu lepas memiliki dua biji pil Eramin 5 anggaran seberat 0.6 gram, di sebuah kediaman di Jalan PJU 10/1C Damansara Damai, pukul 5.30 petang pada 30 Dis lalu.
Kedua-duanya pelajar sebuah kolej swasta, dituduh mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 12(3) akta sama yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda RM100,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Majistret Nazri Omran membenarkan kedua-dua tertuduh, yang mengaku tidak bersalah, dijamin RM2,000 sementara menunggu sebutan semula kes pada 8 Feb depan.
Hanya Mohamad Fakhruzaim dapat mengemukakan penjamin manakala Zarina Anjoulie terpaksa dihantar ke penjara kerana tiada ahli keluarga yang hadir untuk menjaminnya.
Nazri memerintahkan kedua-dua tertuduh hanya boleh dijamin oleh ahli keluarga sahaja.- Bernama

Jumaat, 13 Januari 2012

Jangan Pertikai Gelaran 'Datuk' Saya - Eizlan


Eizlan Yusof tidak hirau kurniaan gelaran Datuk yang diterima dipertikaikan oleh sesetengah pihak. - Foto THE STAR Oleh FAIHAN GHANI.
SHAH ALAM: Pelakon Datuk Eizlan Yusof meminta orang ramai tidak mempersoalkan gelaran Datuk yang diterimanya kerana ia adalah sesuatu yang istimewa kurniaan pihak Istana Pahang.
Eizlan, 41, atau nama sebenarnya Idris Md Yusof berkata, individu yang mempertikaikan kurniaan tersebut seolah-olah tidak mempercayai kredibiliti dan kemuliaan istana yang harus dihormati.
"Saya tidak faham kenapa ada pihak yang ingin mempertikaikan kurniaan tersebut? Ia diberi oleh istana dan bukan saya yang minta. Ia juga seolah-olah menidakkan keputusan yang telah dibuat oleh pihak istana.
"Sudah lebih 18 tahun saya berada dalam industri ini, saya tidak mudah untuk tunduk dengan tohmahan orang terhadap saya," ujarnya kepada mStar Online ketika ditemui pada majlis sidang media filem Pak Pung, di sini, Khamis.
Eizlan diminta mengulas mengenai cakap-cakap segelintir pihak yang mempertikaikan sumbangannya dalam bidang seni sehingga melayakkan dia untuk dikurniakan gelaran Datuk.
Pada 22 Disember lalu, Eizlan dan beberapa artis lain antaranya Datuk AC Mizal dan Datuk Fazley Yaakob dikurniakan Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) yang membawa gelaran Datuk bersempena sambutan hari keputeraan Sultan Pahang, Sultan Haji Ahmad Shah ke-81.
Eizlan (kanan) bersama Datuk AC Mizal ketika menerima pingat Peringkat Kedua Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) yang membawa gelaran Datuk pada Majis Istiadat Pengurnian Darjah-Darjah Kebesaran Pahang pada Disember lalu sempena memuliakan Ulang Tahun Hari Keputeraan yang ke-81.
Dalam pada itu Eizlan berkata pihak Istana Pahang juga mempunyai sebab tersendiri dalam memilihnya sebagai salah seorang penerima anugerah tersebut dan menolak dakwaangelaran tersebut dibelinya untuk tujuan tertentu.
"Apabila ada pihak mencadangkan nama saya untuk menerima gelaran berkenaan dan pihak istana meminta agar saya menghantar butiran diri, takkan saya hendak ingkar?
"Prosedur yang melayakkan saya menerima gelaran itu juga bukan ditentukan oleh saya atau pihak pencadang sebaliknya ditentukan sendiri oleh Sultan," ujarnya.
Eizlan memberitahu dia tidak kisah dengan kata-kata negatif terhadapnya selain merasakan tidak perlu menjelaskan kepada umum mengapa dia layak menerima anugerah terbabit.
"Rasanya tidak perlulah saya menghebohkan kepada satu dunia mengenai pencapaian atau kejayaan yang telah saya kecapi sehingga dikurniakan gelaran itu.
"Saya lebih selesa untuk berdiam diri dan membiarkan segelintir pihak yang tidak puas hati terus mempersoalkannya," ujar Eizlan. - mStarOnline

Khamis, 12 Januari 2012

A Razak Pilih Apek, Nabil & Johan Kerana kekuatan berbeza


Johan kini menjadi rebutan penerbit filem. Foto CHAN TAK KONG
KUALA LUMPUR: Pengarah filem Bujang Terlajak... Belum Terlanjur, Profesor Madya A Razak Mohaideen berkata pemilihan tiga pelawak popular iaitu Saiful Apek, Nabil dan Johan sebagai pelakon utama bukan sahaja kerana populariti mereka, malah ketiga-tiganya mempunyai kekuatan tersendiri yang menepati tuntutan watak dalam filem komedi itu.
Razak berkata pengalaman bekerjasama dengan ketiga-tiga pelawak itu dalam dua buah filem arahannya sebelum ini iaitu Sifu & Tongga (gandingan Apek dan Nabil) dan Raya Tak Jadi (Apek dan Johan) membuahkan keyakinan bahawa ketiga-tiga pelawak itu mampu untuk mencorakkan perwatakan komedi dengan berkesan dalam filem terbarunya itu.
"Saya pilih mereka bukan sahaja kerana mereka popular tetapi masing-masing mempunyai kekuatan dalam menjayakan watak komedi dalam filem ini.
Fazura
"Mereka mempunyai kekuatan yang berlainan. Ada yang kuat daripada segi gestur tubuh, mimik muka dan dialog. Perbezaan ini terbukti berkesan mengikut kehendak watak," katanya yang ditemui selepas majlis pra tonton filem berkenaan di sini, malam Selasa.
Tambahnya, pemilihan ketiga-tiga pelawak itu juga hanya memerlukan pemantauan dan bimbingan yang minimum memandangkan sudah wujud keserasian di antara mereka.
"Ini merupakan kali pertama saya gandingkan ketiga-tiganya dalam sebuah filem. Ternyata mereka melaksanakan tugas masing-masing dengan baik.
"Saya hanya mengawal perwatakan mereka secara minimum dan mereka sudah tahu untuk memberikan lakonan yang saya mahukan. Hal ini turut dipengaruhi oleh faktor keserasian antara kami," katanya.
Nabil
Selain trio pelawak itu, filem yang berkisar tentang tiga orang bujang yang terdesak untuk mencari calon isteri sehingga sanggup berpura-pura menjadi buta, pekak dan bisu itu turut dibintangi oleh Nur Fazura, Mustapha Kamal, Ebby Yus dan Susan Menon.
Filem komedi ke-33 arahan A Razak itu akan mula ditayangkan di 75 pawagam termasuk Brunei dan Singapura pada 19 Januari ini. - mStarOnline

Ahad, 8 Januari 2012

Vokal Yuna 'Pukau' 600 Penonton


KUALA LUMPUR: Biarpun hanya sejam, Yunalis Zaraai atau Yuna telah berjaya memukau para penonton dengan persembahan nyanyian yang mempesonakan pada Showcase Album Terukir Di Bintang, di Auditorium Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), malam Sabtu.
Dengan hanya menjual tiket menerusi laman sosial Facebook, ruangan Auditorium dipenuhi kira-kira 600 para penonton malah ada segelintir peminat yang sanggup duduk di tangga semata-mata mahu menyaksikan konsert penyanyi kesayangan mereka itu.
Yuna membuka tirai dengan membawakan lagu daripada album barunya iaitu Someone Out Of Town, diikuti dengan lagu Fears And Frustration.
"Terima kasih banyak-banyak kerana hadir untuk menyaksikan persembahan saya yang sederhana ini, tanpa kamu (peminat) saya tidak mungkin dapat beraksi seperti ini mahupun dapat melebarkan sayap karier sehingga ke Amerika Syarikat.
"Harap-harap kamu semua tidak berhenti untuk menyayangi lagu-lagu saya," katanya dengan penuh rendah diri.
Kemudian Yuna membawakan lagu saduran yang menjadi kegilaan ramai iaitu Come As You Are, nyanyian kumpulan lagenda dunia, Nirvana.
Penyanyi yang kini menjadi artis naungan syarikat rakaman antarabangsa, Fader Label ini ternyata cukup bertenaga mempersembahkan lagu-lagu hitsnya dengan 'mood' pentas yang santai, dipenuhi dengan lampu meja yang bewarna-warni.
Antara lagu-lagu yang dipersembahkan ialah Coffee, Photo Of You, Memo, Terukir di Bintang serta sebuah lagu yang istimewa buat Yuna dan kekasihnya, Qi, KL Kita, dimana mereka bersama-sama menghasilkan lagu itu.
Yuna turut mendendangkan koleksi lagu popular idolanya, Seniman Tan Sri P. Ramlee,Gelora Jiwa.
Bagi mengakhiri persembahannya pada malam itu Yuna menyanyikan lagu wajibnya jika mengadakan showcase iaitu Decorate. Pada saat itu, para penonton menyanyi beramai-ramai bersamanya sebagai tanda sokongan buat penyanyi jelita itu. - mStarOnline

Jumaat, 6 Januari 2012

Diddy Hirdy Dapat Tujuh Anugerah Pelajar Cemerlang


Diddy Hirdy cemerlang dalam pelajaran.
KUALA LUMPUR: Penyanyi dan pelakon, Diddy Hirdy, 29, menunjukkan prestasi cemerlang apabila mendapat Anugerah Kecemerlangan Akademik sebanyak tujuh kali dalam pengajiannya di Universiti Utara Malaysia (UUM).
Diddy yang sedang mengikuti program Ijazah Sarjana Muda (Komunikasi) dengan Kepujian secara sambilan daripada universiti itu berkata, dia bersyukur dengan anugerah itu selain menjadikannya sebagai motivasi untuk terus cemerlang dalam bidang akademik.
"Saya kini berada di semester tujuh dan masih mempunyai baki tujuh semester lagi sebelum dapat mengegam segulung ijazah. Saya lakukan ini semua demi masa depan keluarga dan paling penting untuk isteri dan anak yang sentiasa menjadi pendorong saya," ujarnya.
Diddy ditemui mStar Online selepas majlis sidang media drama muzikal Kampus di Akademi Seni Budaya Dan Warisan Kebangsaan (Aswara) di sini pada Khamis.
Diddy menyambung pelajaran bersama-sama rakan artis seperti Emelda Rosmila, Akim (AF), Zehra Zambri dan vokalis kumpulan Hujan, Noh Salleh dalam program kerjasama antara Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) dan UUM yang ingin menggalakkan artis mempunyai pendidikan.
Dalam pada itu, Diddy akui puas dengan pencapaian itu walaupun agak penat kerana turut aktif dalam bidang seni selain perlu menumpukan perhatian kepada rumah tangga terutama terhadap anak kesayangannya, Nadra Aryssa Jauza yang baru mencapai usia setahun.
"Saya perlu bertahan sehingga tahun 2013 dan selepas itu dapatlah menarik nafas lega kerana telah tamat pengajian,” ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Diddy memberitahu gembira berlakon dalam muzikal Kampusarahan Yusmal Ghazali kerana dapat menyumbangkan suara untuk drama 26 episod itu.
Diddy berkata, walaupun agak gementar di set penggambaran kerana sudah lama tidak berlakon, dia teruja dapat menyanyikan pelbagai lagu termasuk lagunya sendiri sepertiLena dan Hilang.
"Cinta saya terhadap nyanyian masih kuat dan ia adalah keutamaan tetapi menerusi Kampus saya dapat melakukan kedua-duanya. Ia juga sebagai promosi kepada saya yang jarang-jarang muncul di televisyen," ujarnya.
Kampus bakal disiarkan pada Ia akan pada pukul 8.30 malam menerusi saluran iTV (Astro 180) bermula Sabtu ini. - mStarOnline

Cinta Hafiz & Adira Akhirnya Berkecai


Hafiz
PETALING JAYA: Juara Akademi Fantasia musim ketujuh (AF7), Mohd Hafiz Mohd Suip atau Hafiz, akhirnya membuka mulut menjelaskan hubungan cintanya dengan Adira (AF8) sudah berakhir.
Hafiz berkata, hubungan cinta yang dibina hampir setahun itu retak disebabkan isu kontroversi yang membabitkan mereka sebelum ini yang turut mengganggu kerjaya masing-masing.
"Walaupun tidak lagi berhubungan, kami masih lagi berkawan. Keputusan ini dibuat kerana kami ingin memberi fokus kepada kerjaya yang baru beberapa tahun kami bina.
"Disebabkan banyak kontroversi yang melanda kami selama ini, keadaan tersebut telah memberi kesan kepada perhubungan yang kami bina. Ia tiada kaitan dengan orang ketiga.
"Emak saya pernah berkata, sebelum menyayangi orang lain, sayangi diri sendiri dahulu. Dan itulah yang saya lakukan, di mana saya mahu kerjaya saya sebagai penyanyi stabil terlebih dahulu," katanya.
Adira
Hafiz ditemui pada sidang media Anugerah Juara Lagu Ke-26 (AJL26) di Bentley Music Auditorium, Wisma Bentley Music, di sini, Khamis.
Tambah Hafiz, dia berharap agar tiada lagi kontroversi yang membabitkannya dengan penyanyi jelita itu pada masa akan datang.
Pada pertengahan tahun lalu, Hafiz dikatakan telah bertindak kasar terhadap seorang wanita yang bekerja sebagai pengurus pentas dengan menolaknya sehingga mengakibatkan kecederaan ketika rakaman sebuah program hiburan.
Insiden berkenaan dikatakan berpunca daripada sikap cemburu Hafiz apabila wanita tersebut dipercayai cuba menjalinkan hubungan sejenis dengan Adira.
Sementara itu, Hafiz yang bakal muncul dengan lagu terbaru tidak lama lagi kini sedang sibuk dengan persiapan AJL26. Dia akan membawakan lagu Awan Nano yang akan berlangsung pada 29 Januari ini.
Katanya, persaingan sengit barisan penyanyi yang akan bertanding pada malam anugerah tersebut seperti Yuna, Faizal Tahir, Tiga Suara, Projek Pistol dan Aizat ternyata mendebarkan dirinya.
"Setakat ini, saya masih lagi sibuk mengubah sedikit susunan muzik Awan Nano agar ia kedengaran berbeza dengan lagu yang ada pada album.
“Semoga saya dapat memberikan persembahan yang terbaik kepada semua nanti," ujarnya yang pernah memenangi vokal terbaik dalam AJL25 pada tahun lalu menerusi lagu Noktah Cinta. - mStarOnline

Jumaat, 23 Disember 2011

PMR: Didie Alias Bangga Anak Dapat 8A


Didie bersama dua orang anaknya termasuklah Dinie (kanan). (Foto diambil daripada Facebook Didie)
PETALING JAYA: Pelakon dan pelawak, Didie Alias menganggap kejayaan anak ketiganya, Nur Dinie Ridzuan, 15, merangkul 8A dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) sebagai satu hadiah paling istimewa buat dirinya.
Didie Alias berkata kejayaan anaknya dalam PMR yang diumumkan Khamis itu bagaikan pengubat kepada semua hasil penat lelahnya selama ini.
"Ketika nama Nur Dinie diumumkan di dewan Sekolah Kebangsaan Bukit Indah, Ampang, saya sendiri terkejut dan tidak percaya kerana hanya tiga orang sahaja yang diumumkan mendapat 8A.
"Sebagai seorang ibu sudah tentu ada perasaan bangga dan ini merupakan hadiah paling istimewa buat saya. Biar apa juga orang ingin kata tentang saya namun kejayaan ini membuktikan saya menjalankan tanggungjawab sebagai seorang ibu dengan baik," katanya ketika dihubungi mStar Online, di sini, Khamis.
Ditanya tentang kunci kejayaan anaknya, Didie berkata dia sentiasa memantau pembelajaran setiap anaknya biarpun sibuk dengan kerjaya.
"Saya tidak nampak dia belajar 24 jam tetapi saya yakin dia menumpukan perhatian sewaktu di sekolah selain mengikuti kelas tambahan di luar waktu sekolah.
"Sebagai ibu sudah tentu saya pantau setiap perkembangan persekolahan dan prestasi akademiknya dari semasa ke semasa," ujarnya.
Sementara itu, jelas Didie dia masih belum merancang sebarang hadiah sebagai ganjaran atas kejayaan tersebut.
"Saya tidak janjikan apa-apa pada dia dan dia juga hanya minta doa dari saya untuk berjaya cemerlang PMR ini," katanya.
Selain Nur Dinie, Didie juga mempunyai empat lagi cahaya mata hasil perkahwinan pertamanya dengan pelakon Ridzuan Hashim iaitu Nur Dania, Muhammad Daniel dan Nur Diyana dan Nur Dayini. - mStarOnline

Khamis, 22 Disember 2011

Alexander tanpa U-Kiss


ALEXANDER (kiri) ketika masih bersama kumpulan U-Kiss.

ALEXANDER LEE EUSIBIO yang memulakan kerjaya seninya bersama band asal Korea Selatan U-Kiss bermula Ogos 2008 kini telah bergerak solo sejak awal tahun ini.
Dia yang ditemui baru-baru ini di pejabat ntv7, Sri Pentas, Bandar Utama, Petaling Jaya memberitahu keputusan untuk keluar daripada band U-Kiss bukannya kerana mereka bergaduh sebaliknya kerana dia ingin mendapat lebih kebebasan dalam berkarya.
“Saya keluar daripada U-Kiss secara baik, saya tidak bergaduh dengan mana-mana pihak. Saya ingin menentukan sendiri hala tuju saya sebagai anak seni.
“Jika bersama U-Kiss, saya terikat dengan konsep dan imej yang ditentukan oleh agensi. Sekarang saya lebih bebas untuk menentukan kerjaya saya dalam segala segi. Saya bebas memilih imej dan muzik yang saya suka,” katanya yang berdarah kacukan Portugis dan Cina di sebelah ayah, manakala Korea di sebelah ibunya.
Meskipun telah memulakan kerjaya solo sejak awal Disember lalu, akui Alexander, dia masih berasa kekok ketika di atas pentas dan merindui momen bersama anggota U-Kiss.
“Kami sudah lama melakukan persembahan bersama, jadi bila berada di atas pentas dan melakukan persembahan solo kadangkala saya rasa sedikit kekok tetapi lama-kelamaan masalah itu dapat diatasi.
“Hubungan saya dan anggota U-Kiss masih baik dan kami sangat rapat. Memang rindu bila terkenang balik momen saya bersama U-Kiss. Jadi, kami saling berhubung menerusi telefon untuk bertanya khabar, sekarang mereka sibuk dengan promosi album di Jepun,” ujarnya yang fasih bertutur dalam tujuh bahasa.
Apabila berbicara mengenai band U-Kiss, Alexander menyimpan harapan agar suatu hari nanti band U-Kiss dapat bersatu kembali untuk mengadakan sebuah persembahan.
“Itu harapan saya agar kami dapat buat reunion bersama anggota asal U-Kiss dan buat persembahan bersama. Tetapi saya tidak tahu bila perkara itu akan berlaku,” balasnya.
Album solo
Apabila ditanya tentang kekasih, anak bongsu daripada dua adik-beradik itu kini lebih selesa tidak terikat dalam hubungan cinta kerana memberi fokus kepada kerjayanya solo yang baru hendak bermula.
“Saya belum ada kekasih tetapi suatu hari nanti saya pasti akan mempunyai seorang kekasih seperti orang lain juga.
“Gadis yang menjadi pilihan saya adalah seorang yang berdikari kerana dalam kesibukan kerja, saya tidak akan sentiasa bersamanya. Dia juga harus memahami kerjaya saya sebagai artis,” terangnya.
Bercakap mengenai perjalanan solonya, Alexander terlebih dahulu mengadakan persembahan solo pertamanya pada 9 Disember lalu menerusi showcase yang dilabelkan sebagai Alexander Live 2011 di Akasaka Blitz, Tokyo, Jepun.
Selepas Jepun, Malaysia menjadi lokasi keduanya untuk promosi album solo pertamanya yang berjudul I Just.
“Selepas bergerak solo, impian saya untuk menghasilkan sebuah album solo tercapai. Terima kasih kepada peminat yang selama ini menyokong saya,” ujarnya yang akan terlibat dalam sebuah drama pada tahun hadapan.
Album I Just yang telah berada di pasaran bermula 19 Disember lalu mengandungi tiga buah lagu iaitu Oh Baby, I Just dan Bad Girl yang dirakamkan dalam tiga buah bahasa iaitu Korea, English dan Jepun.
Kehadiran Alexander di Kuala Lumpur baru-baru ini kerana dia turut terlibat dalam Konsert Star Live 2011 anjuran stesen televisyen ntv7 pada 17 Disember lalu di Stadium Bukit Jalil.
Bukan itu sahaja, Alexander juga bertemu peminatnya dengan mengadakan showcase solo pertamanya di Cheras Leisure Mall, Kuala Lumpur pada 18 Disember lalu. - KOSMO

Jumaat, 9 Disember 2011

Nikita Willy Bawa Hati Ke Malaysia Lepas Putus Cinta


Nikita Willy Foto KapanLagi.com
PETALING JAYA: Pelakon popular Indonesia, Nikita Willy yang hangat dengan sinetron Safa dan Marwah dan Putri Yang Ditukar kini berada di Malaysia bagi mempromosi dua single terbarunya.
Menurut Nikita, dia menceburkan diri dalam bidang nyanyian bagi memgembangkan bakat seni yang ada dalam dirinya.
"Saya sudah lapan tahun berada dalam bidang lakonan dan membintangi beberapa filem dan sinetron Indonesia, bidang nyanyian pula merupakan percubaan pertama saya.
"Bagaimanapun maklum balas masyarakat di Indonesia banyak beri sokongan dan galakkan kepada lagu-lagu ini," katanya pada sidang media pelancaran album Nikita Willy, di sini, Khamis.
Selain itu, mini album yang memuatkan lima buah lagu termasuk tiga buah lagu lama akan berada dipasaran pada 12 Disember ini.
Dalam pada itu, penyanyi baru ini masih dalam proses rakaman bagi menyiapkan 12 buah lagu untuk dimuatkan dalam album penuhnya.
Sementara itu, bercerita tentang kehidupan peribadi, Nikita mengakui baru sahaja putus cinta dengan kekasihnya, Bara Tampubolon pada Rabu lepas.
Namun dia menafikan hubungan tersebut putus berikutan khabar angin yang mengatakan dia kini rapat dengan pemain bola sepak Indonesia, Diego Michelis.
"Ya, saya sedang bersedih kerana hubungan saya dan Bara baru sahaja putus Rabu lalu. Banyak halangan yang datang sepanjang kami bercinta dan salah satunya adalah pegangan agama yang berbeza.
"Namun ia bukan kerana saya curang dengan Diego, saya dan Diego hanya kawan dan saya tidak mengenali dia seperti yang dikhabarkan media Indonesia," katanya.
Jelas Nikita lagi, buat masa ini dia masih belum bersedia memikirkan tentang percintaan dan mahu memberi tumpuan sepenuhnya dalam bidang pelajaran dan kerjayanya. - mStarOnline

Selasa, 6 Disember 2011

Majalah dakwa gambar aktres Pakistan tulen


GAMBAR yang dirakamkan pada 15 November lalu 
menunjukkan Veena Malik bergambar di lokasi penggambaran filem All U need. Love di Mumbai.

NEW DELHI, India - Pihak pengurusan majalah FHM versi India mempertahankan muka depan isu terbaharunya yang menampilkan aktres Pakistan, Veena Malik berbogel dengan lengannya dicacah tatu ISI iaitu singkatan untuk agensi perisikan Pakistan.
Majalah FHM edisi Disember masih belum berada di pasaran tetapi prebiu majalah berkenaan di laman webnya menimbulkan kontroversi terutamanya selepas Veena menafikan dia bergambar bogel.
Malah, aktres berkenaan menuduh FHM menggunakan teknik pertindihan gambar untuk mengubah imejnya.
Mengulas isu tersebut, pengarang FHM India, Kabeer Sharma memberitahu agensi berita AFP bahawa dia keliru dengan tuduhan aktres itu.
"Mungkin tindakan dia bergambar bogel itu telah memakan diri justeru, dia menafikannya.
"Kulit majalah ini tulen. Ia menampilkan tubuh sebenar Veera, dia memiliki tubuh yang hebat," kata Sharma.
Perbuatan berbogel untuk filem dan majalah masih tidak dapat diterima oleh komuniti India apatah lagi rakyat Pakistan yang majoritinya beragama Islam.
Veera yang sudah lama menceburi industri perfileman Pakistan, Lollywood, terkenal di India selepas muncul dalam program televisyen Big Boss yang diadaptasi daripada program realiti popular Big Brother di Eropah. - Agensi

Jumaat, 2 Disember 2011

Search Bakal Gegarkan Pentas Di Borneo


Kumpulan Search
PETALING JAYA: Kumpulan rock lagenda, Search akan bertemu dengan peminat-peminat setia mereka menerusi siri jelajah Konsert Fenomena Search 30 Tahun pada Sabtu ini di Stadium Larkin, Johor Bahru dan seterusnya di Padang Astaka, Petaling Jaya (17 Disember) selepas siri jelajah yang telah pun berlangsung dengan jayanya di Stadium Batu Kawan, Pulau Pinang.
Menurut ketua kumpulannya, Nasir, peminat-peminat di negeri Sabah dan Sarawak juga tidak ketinggalan untuk menyaksikan persembahan mantap mereka dimana ia akan berlangsung di Kompleks Sukan Tawau (24 Disember) dan pada 31 Disember ini pula di Stadium Negeri Kuching.
"Kami akan menyampaikan sebanyak 20 buah lagu yang pernah popular, dipetik daripada album-album yang pernah dihasilkan sebelum ini.
"Dari segi produksi, kami menjanjikan satu kelainan pada rekabentuk pentas, penggunaan sistem bunyi serta lampu. Insya-Allah kami akan memberikan yang terbaik dengan segala persiapan yang dibuat kerana ini adalah cara Search menunjukkan penghargaan kami terhadap sokongan mereka yang tidak berkesudahan,"katanya.
Selain Nasir yang juga merupakan pemain gitar bass, Search dianggotai oleh Amy (vokalis), Nordin (gitar kedua), Nordin (Gitar kedua) dan Yazit (Dram).
Tambah Amy pula, Search berjanji menghadiahkan persembahan paling istimewa untuk peminat-peminat mereka pada konsert yang dianjurkan oleh Universal Credential Sdn. Bhd. dan Nova Music (M) Sdn. Bhd itu.
"Kami sangat berbangga dengan pencapaian terutama sekali kerana dapat kekal bersama selama TIGA dekad dalam industri muzik tanah air, pada masa yang sama memelihara muzik rock di Malaysia," ujarnya.
Kumpulan ini mempunyai pengaruh yang besar kepada seluruh peminat mereka malah lagu-lagu hit seperti Cinta Buatan Malaysia, Meniti Titian Usang, Fenomena, Rozana, Mentari Merah di Ufuk Timur dan Isabella masih lagi digilai ramai termasuklah peminat di kalangan anak muda.
Sementara itu, tiket konsert yangt dijual dengan harga semurah RM25 boleh ditempah melalui talian 013 800 3030. Senarai penuh lokasi jualan tiket boleh dilihat dalam laman sosial Facebook – FENOMENA SEARCH 30. - mStarOnline

Khamis, 24 November 2011

Yuna Sahkan Kemenangan 'Penakut' Ditarik Balik


Yuna.
PETALING JAYA: Penyanyi Yuna mengesahkan kontroversi mengenai penarikan balik trofi Lagu Terbaik menerusi Penakut yang dimenangi di Anugerah Industri Muzik 18 (AIM18) baru-baru ini.
Penyanyi yang popular dengan lagu Dan Sebenarnya itu mengesahkan menerusi laman Twitter miliknya tengah hari tadi.
"Ya ia benar. Tetapi saya ingin mengucapkan terima kasih kepada peminat yang menyukai lagu tersebut," ujarnya.
Terdahulu, akhbar pada Rabu melaporkan, berlaku kesilapan pada pemilihan pemenang bagi kategori itu sehingga Penakut dinobatkan sebagai lagu terbaik secara keseluruhan walaupun ia tidak memenangi dalam kategori Lagu Pop Terbaik pada anugerah itu.
Turut dilaporkan, anugerah itu akan diserahkan kepada komposer Edry Abdul Halim dan Anuar Zain menerusi lagu Sedetik Lebih yang memenangi dalam kategori Lagu Pop Terbaik.
Difahamkan, pihak penganjur iaitu RIM dan AIM akan mengadakan sidang akhbar khas di Hotel Maya pada Khamis bagi menjelaskan kekeliruan itu.
Yuna dalam satu mesej lain di laman Twitter memberitahu dia tidak mahu menjawab sebarang pertanyaan dan memohon supaya ia diajukan kepada pihak penganjur.
Pada anugerah itu, Yuna menggondol tiga anugerah iaitu Persembahan Vokal Wanita Terbaik menerusi lagu (Penakut) dan Anugerah Kembara atas pencapaian cemerlangnya di Amerika Syarikat selain Lagu Terbaik (Penakut). - mStarOnline

Penyampai Hot FM Kelate & T’ganu Tidak Kejar Populariti


Penyampai Hot FM Kelate. Dari kiri: Shaz, Farid, Fizie dan Renny. - Foto ihsan HOT FM
KUALA LUMPUR: Penyampai Hot FM Kelate dan Hot FM T’ganu akui menyertai stesen radio tersebut kerana minat dan bukan kerana mahu mengejar populariti semata-mata.
Kebanyakannya mempunyai pengalaman mengendalikan stesen radio dan ada yang masih menuntut di universiti.
Menurut Syed Mohd Farid Mohd Nor (Farid), 24, dan Mohamad Hafizie Roslan (Fizie) yang akan bertugas di Hot FM Kelate, 23, walaupun mereka pernah bekerja di stesen radio lain, namun mereka tidak melihat ‘perubahan angin’ itu sebagai langkah mudah untuk cepat dikenali dan popular.
“Saya pernah bekerja di Kelantan FM selama dua tahun dan Fizie di Manis FM selama empat tahun.
“Bagaimanapun, niat kami lebih kepada untuk mengembangkan bakat dalam bidang penyiaran. Kami yakin populariti akan datang sendiri kelak dengan hasil tunjuk ajar insan-insan yang berkualiti di Hot FM,” ujar Farid yang akan bergandingan dengan Fizie.
Penyampai Hot FM T'ganu. Dari kiri: Azri, Bell, Ain dan Rafly.
Mereka akan mengendalikan segmen Hot FM Kelate Gu Kito pada pukul 3 petang hingga 7 malam, setiap Isnin hingga Jumaat.
Semasa bertugas di Kelantan sebelum ini, Farid dan Fizie merupakan teman serumah dan tidak mempunyai masalah dari segi mencari keserasian kerana saling mengenali antara satu sama lain.
“Kami sama-sama menyertai ujibakat dan tidak sangka berjaya terpilih serta bakal ke udara bersama-sama. Alhamdulillah, kami bersyukur dengan rezeki ini.
“Semasa mengendalikan segmen tersebut, saya akan menggunakan bahasa Malaysia seperti biasa manakala Farid akan bertutur dalam loghat Kelantan,” ujar Fizie yang berasal dari Taiping, Perak.
Sementara itu, Shazwani Mohamad Shakeri (Shaz), 26, dari Hot FM Kelate dan Mohd Hermansani Aminudin (Bell), 28, dari Hot FM T’ganu sanggup meninggalkan kerjaya lama mereka yang berlainan bidang daripada penyiaran untuk bekerja sebagai penyampai radio.
“Sebelum ini, saya bekerja sebagai pentadbir laman sesawang di syarikat mesin jahit. Tetapi sebelum ini saya pernah menjadi juruhebah sambilan semasa belajar di Universiti Teknologi Mara (UiTM),” kata Shaz yang meminati penyiaran sejak di bangku sekolah lagi.
Bagi Bell pula, biarpun sudah lima tahun menjawat jawatan penolong pegawai perubatan di Hospital Melaka, pemuda ini sudah biasa terdedah dalam pengacaraan.
“Saya sudah fikir masak-masak untuk berhenti dari kerja lama kerana minat saya untuk menjadi penyampai radio.
“Berbekalkan pengalaman sebagai pengacara majlis sambilan, saya akan memanfaatkan pengalaman itu untuk mengendalikan Hot FM T’ganu,” ujarnya yang berasal dari Kemaman, Terengganu.
Dalam pada itu, Nurul Ain Omar (Ain), 22, yang bakal bertugas di Hot FM T’ganu bakal menamatkan pengajiannya di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dalam bidang Komunikasi Media.
Dia yang bakal menamatkan pengajiannya pada Januari tahun depan akan menggunakan peluang itu sebaik mungkin sekaligus menjalani praktikal di stesen radio itu.
Selain daripada Bell dan Ain, Hot FM T’ganu turut diterajui oleh Mohd Rafly Rahamat (Rafly), 25, dan Muhammad Azri Ismail (Azri), 23, sebagai penyampai manakala Ahmad Zulhilmie Zainal (Zul), 25, sebagai eksekutif muzik.
Sementara seorang lagi penyampai Hot FM Kelate adalah Wan Zuraini Wan Hasan (Renny), 23, dan eksekutif muziknya adalah Mohd Izzul Nazmi Mazri (Izzul), 23.
Mereka akan mula bertugas 2 Januari depan dan konti kedua-dua saluran itu akan berpengkalan di Kota Bahru dan Kuala Terengganu.
Biarpun begitu, Hot FM masih mengekalkan segmen Hot FM AM Krew pada pukul 6 pagi hingga 11 pagi melibatkan penyampai Fara Fauzana, AG, Usop dan Faizal Ismail.
Bermula pukul 11 pagi hingga 12 tengah malam, segmen bagi setiap negeri bakal berkumandang pada frekuensi 105.1 di Kelantan dan 105.0 di Terengganu di mana ia hanya boleh didengar di negeri-negeri itu sahaja. - mStarOnline

Rabu, 23 November 2011

Syamsul Harap Kemenangannya Bawa Kebaikan


Syamsul Yusof
PUTRAJAYA: Pemenang anugerah Pengarah Terbaik Festival Filem Malaysia 24, Syamsul Yusof, 26, menerusi filem KL Gangster, berharap kemenangannya akan memberi kebaikan kepada industri filem tempatan.
Jelasnya, dia berharap filem-filemnya bukan sahaja dapat membantu perkembangan dunia perfileman tanah air malah memberi mesej yang baik kepada masyarakat.
"Sebelum datang ke sini, saya berdoa jika saya menang biarlah kemenangan saya ini memberi manfaat pada industri, jika tidak, biarlah saya tidak menang.
"Saya tidak berharap kemenangan kerana pada saya sudah tercalon itu sudah cukup baik," ujarnya ketika ditemui di selepas majlis Festival Filem Malaysia 24, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, di sini, Ahad.
Tambah Syamsul, kemenangan tersebut juga ditujukan kepada bapanya Datuk Yusof Haslam yang banyak memberi tunjuk ajar dan sokongan selama ini.
"Saya berterima kasih kepada ayah kerana mengajar saya dari kecil tentang filem dan sekarang baru saya faham apa yang dia maksudkan dulu.
"Saya faham kenapa dulu ayah sering tidak puas hati walaupun saya sudah buat yang terbaik," katanya.
Dalam pada itu, dia berkata kemenangan tersebut turut dibantu oleh orang yang berada sekelilingnya selama ini.
KRU raih lapan anugerah daripada 12 pencalonan.
"Kemenangan ini bukan saya seorang tetapi semua orang yang berada di sisi saya dan banyak membantu saya membuat sesebuah filem," katanya.
Syamsul memenangi dua kategori menerusi filem KL Gangster iaitu Pengarah Terbaik dan Penyunting Terbaik, manakala filem tersebut mengondol enam anugerah keseluruhan termasuk Penataan Bunyi Terbaik, Lakon Layar Terbaik, Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik, dan filem Box-Office Terbaik.
Sementara itu, Yusri Abdul Halim menganggap, penggunaan teknik pengimejan berkomputer (CGI) dalam filem arahannya, Hikayat Merong Mahawangsa (HMM) membuatkan filem terbitan KRU Studios itu dinobatkan sebagai Filem Terbaik Festival Filem Malaysia 24.
"Saya bersyukur dengan kejayaan ini dan percaya setiap filem yang tercalon mempunyai kehebatan masing-masing.
"Rasanya, HMM dinobatkan sebagai filem terbaik pun kerana penggunaan teknikal yang dibikin dalam filem itu," katanya.
Selain Filem Terbaik, HMM berjaya merangkul lapan anugerah daripada 12 pencalonan yang antaranya ialah Skor Muzik Asal Terbaik (Edry Abdul Halim), Pereka Kostum Terbaik (Rosada Abdul Hamid), Sinematografi Terbaik (Mohd Noor Mohd Kassim) dan Penataan Seni Terbaik (Anuar Paharudin/Kek Ting Lim).
Dalam pada itu, tambah Yusri, Syamsul sememangnya layak dinobatkan sebagai Pengarah Terbaik menerusi filem KL Gangster dan percaya setiap kemenangan yang diperoleh menunjukkan pergerakan industri perfileman tempatan yang semakin maju.
Ditanya adakah Syamsul kini merupakan pesaing Yusri dalam industri perfileman, kata pengarah itu:
"Saya tahu, anugerah Pengarah Terbaik langsung tidak layak untuk saya dan tidak wujud siapa pesaing siapa dalam kamus kerja kami.
"Cuma, untuk masa akan datang, saya akan memperbaiki mana-mana kelemahan diri agar filem yang dihasilkan itu lebih berkualiti bukan sahaja dari segi teknikal sahaja tetapi juga jalan ceritanya juga," ujarnya. - mStarOnline

Ahad, 20 November 2011

Bob Kuman cedera jatuh dalam bilik air


BOB KUMAN menceritakan insiden yang dialaminya sehingga menyebabkan dia terlantar di Hospital Pakar KPJ Tawakal, Kalau Lumpur semalam.

KUALA LUMPUR - Penyanyi, pelakon dan pelawak popular, Bob Kuman dikejarkan ke Hospital Pakar KPJ Tawakal di sini selepas terjatuh di bilik air rumahnya di Kota Damansara kelmarin.
Bob atau nama sebenarnya Husni Mohd. Rawi, 40, dimasukkan ke hospital tersebut setelah mengalami kecederaan di muka, hidung dan tangan.
Katanya, dia terjatuh sewaktu bangun dari katil dan berjalan menuju ke bilik air untuk menunaikan solat Zuhur sebelum mahu menghadiri program Maharaja Lawak Malaysia (MLM).
“Saya terjaga daripada tidur pukul 1 petang semalam (kelmarin), dalam keadaan mamai saya turun dari katil sebelum tergelincir.
“Saya sempat menahan pintu bilik air dengan tangan tetapi jatuh dan kepala terhantuk ke mangkuk tandas,” katanya ketika ditemui di hospital itu semalam.
Akibat kejadian itu, Bob mengalami kecederaan di muka dan tangan selain memerlukan bantuan pernafasan kerana hidungnya yang bengkak dan sukar bernafas.
Bob yang mempunyai berat badan hampir 200 kilogram mengakui terlalu penat sebab sibuk menguruskan perniagaan kedai makan Bawal Power, menyertai MLM selain projek sosial, 30 kilogram in 120 days.
“Doktor menyarankan saya berehat di hospital kerana terlalu penat dengan kerja seni serta perniagaan, tapi saya ada banyak tanggungjawab di luar sana,” ujarnya.
Biarpun tidak tahu bila dia akan keluar dari hospital, Bob yang ditanya sama ada akan berhenti dari program MLM tetap bersedia untuk kembali beraksi pada minggu depan.
Dalam pada itu, beliau turut mengakui tersentuh di atas semangat gandingannya dalam Bawal Power iaitu Sobri atau nama sebenarnya Mohd. Sobri Anuar Mohd. Tarmizi, 35, yang terpaksa membuat persembahan secara solo dalam MLM minggu ke-4 kelmarin.
“Saya tidak sangka Sobri mampu membuat yang terbaik.
“Saya tengok apa yang Sobri buat semalam, memang saya tersentuh sebagai seorang sahabat, terima kasih,” ujarnya yang dijaga oleh tunangnya yang hanya ingin dikenali sebagai Normah. - KOSMO

Iklan Mangga