Pemain Kelantan, Nik Shahrul cuba menanduk bola ketika perlawanan Piala Malaysia Kelantan menentang Selangor malam tadi - Foto Bernama |
JUARA Piala FA dan Liga Super, Kelantan memulakan aksi separuh akhir pertama dalam saingan Piala Malaysia kali ini dengan langkah kanan apabila berjaya menewaskan Selangor 1– 0 di Stadium Sultan Muhammad VII, Kota Bharu malam ini.
Dengan kemenangan ini, Kelantan membawa bekalan selesa apabila bakal bertandang ke halaman lawan untuk menghadapi pertemuan kedua minggu depan.
Gawang tuan rumah sedikit cemas apabila percubaan pada babak awal perlawanan menerusi hantaran cantik Amri Yahya gagal dilaksanakan dengan baik oleh pemain import Selangor apabila tendangannya melambung tinggi.
Susulan serangan pasukan pelawat, pasukan tuan rumah mengatur strategi dan melakukan serangan balas namun percubaan Nurul Azwan Roya berjaya ditepis oleh Mohd Azlan Razali pada minit ketujuh.
Pada minit ke-15, Kelantan sekali lagi hampir mendahului lawan tetapi, tendangan Mohammad Ghaddar sedikit melencong ke tepi tiang gol.
Pasukan tuan rumah tidak berputus asa dan Kelantan bagai dirasuk apabila melancarkan serangan bertali arus ke kubu Selangor. Pun begitu banyak kali percubaan Ghaddar dan Azwan Roya terus ke dalam dakapan penjaga gol Selangor.
Memasuki babak kedua perlawanan menyaksikan pasukan tuan rumah memperkemaskan corak permainan dengan aksi yang lebih tersusun dan pemain importnya, Ghaddar hampir mencemaskan kem pasukan pelawat, namun tendangan lencongnya dari jarak 15 meter berjaya didakap kemas oleh Azlan.
Keghairahan tuan rumah dalam memburu gol pertama akhirnya tertunai apabila gerakan menarik Nor Farhan Muhammad berjaya menewaskan penjaga gol Selangor pada minit ke-63.
Selangor terus dihimpit tekanan apabila pemainnya, Snasriq Baharom terpaksa keluar dari padang kerana dilayangkan kad merah pada minit ke-64.
Berbaki 12 minit terakhir, Selangor masih terus melancarkan serangan tetapi kekebalan benteng pertahanan tuan rumah menafikan hasrat The Red Giants menyamakan kedudukan sekali gus menggagalkan misi anak buah Irfan untuk menamatkan badi kekalahan ketika beraksi di stadium keramat itu.
Dalam aksi timbal balik, Kelantan akan bertandang ke Stadium Shah Alam pada 12 Oktober ini. - SinarHarian
Tahniah....nice game:)
BalasPadam