slmt dtg

Pengikut

ads by mangga

HBeat

Memaparkan catatan dengan label Piala Suzuki AFF2010. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Piala Suzuki AFF2010. Papar semua catatan

Khamis, 30 Disember 2010

Malaysia Juara Piala Suzuki AFF Buat Kali Pertama

Pasukan Malaysia meraikan kejayaan gemilang merangkul Piala Suzuki AFF buat kali pertama selepas menewaskan Indonesia secara agregat 4-2 di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta di sini, Rabu. Foto AP.
JAKARTA Buat julung kalinya, skuad bola sepak Malaysia berjaya merangkul gelaran juara sekali gus membawa balik piala kebanggaan apabila menang secara agregat 4-2 pada perlawanan akhir kedua di Stadium Gelora Bung Karno, Rabu.
Bagaimana pun, skuad kendalian K.Rajagobal itu menerima serangan bertalu-talu daripada pasukan Garuda, namun barisan pertahanan cemerlang memainkan peranan mereka dalam menepis serangan ini.
Pasukan Indonesia nyaris mendapat gol pertama apabila pengadil memberi sepakan penalti selepas bola terkena tangan Mohd Sabree Mat Abu pada minit ke-18, namun sepakan yang dilakukan oleh kapten pasukan Garuda, Firman Utina berjaya diselamatkan penjaga gol negara, Khairul Fahmi Che Mat yang bijak membaca pergerakan pemain tuan rumah itu.
Pemain Malaysia meraikan kejayaan Safee Sali menjaringkan gol awal ketika menentang Indonesia pada perlawan akhir kedua, Piala Suzuki AFF di Stadium Gelora Bung Karni, Jakarta malam ini. Foto AP.
Kedua pasukan terikat tanpa jaringan pada separuh masa pertama.
Babak kedua menyaksikan perlawanan lebih menarik selepas pasukan Indonesia lebih banyak mengatur serangan namun pujian sekali lagi harus diberi kepada penjaga gol negara, Khairul Fahmi kerana menyelamatkan gawang dengan percubaan berbahaya terutama sekali hantaran yang dilakukan pemain lincah Indonesia, Muhammad Ridwan.
Biarpun Malaysia jarang melakukan serangan, namun hantaran jauh Mohd Ashari Samsudin di sebelah kanan tepat kepada Mohd Safee Mohd Sali sekali gus membuat lorongan laju menggunakan kaki kirinya terus ke gawang lawan pada minit ke-53.
Gol penyamaan hadir pada minit ke-72 selepas Mohammad Nasuha merembat bola muntahan daripada penjaga gol Khairul Fahmi.
Namun pada babak akhir perlawanan, pemain pertahanan negara, Mohamad Muslim Ahmad silap membuat percaturan apabila cuba menyelamat bola dengan menanduk ke arah gol sendiri.
Perlawanan tamat dengan keputusan 1-2.
Sementara itu, kejayaan ini dianggap lebih manis apabila penyerang negara, Mohd Safee Mohd Sali turut dinobatkan penjaring terbanyak selepas mengumpul lima gol.
Manakala pemain terbaik perlawanan dimenangi oleh pemain tengah Indonesia, Firman Utina.
Pada perlawanan pusingan pertama yang berlangsung Ahad lalu, skuad Harimau Malaya ini telah menundukkan Indonesia 3-0 di Stadium Nasional Bukit Jalil. - Oleh SURYATI MOHD NOR

Rabu, 29 Disember 2010

Raja minta media Indonesia henti provokasi

K. RAJAGOBAL (kanan) serius membincangkan sesuatu dengan Pengurus Pasukan Indonesia, Andi Darussalam pada sidang akhbar di Jakarta, semalam.

JAKARTA - Jurulatih bola sepak pasukan kebangsaan, K. Rajagobal berharap media Indonesia menghentikan provokasi yang melampau sehingga boleh menjejaskan keharmonian semangat kesukanan antara dua negara.

Beliau menegaskan, tidak ada pihak yang memperoleh manfaat menerusi provokasi yang dicetuskan.

Dalam gelanggang sukan, kata beliau, sudah menjadi lumrah ada pihak yang akan menang dan tewas.

Bahkan pertemuan pasukan Malaysia dan Indonesia di gelanggang bola sepak selama ini sering diberi perhatian dan cukup signifikan dalam erti hubungan akrab dua negara.

Merujuk kritikan pedas media Indonesia kepada pasukan Harimau Malaya ketika tewas 1-5 kepada Garuda pada peringkat kumpulan di Jakarta 1 Disember lalu, Rajagobal berkata, beliau bersabar dan tenang menerima keputusan itu.

"Pasukan Malaysia pernah tewas 5-1 kepada pasukan Indonesia dan kami menerimanya dengan cukup tenang biarpun kami dikritik teruk oleh media di sini (Indonesia).

"Apabila Indonesia tewas 3-0 baru-baru ini kenapa pula ia menjadi isu kepada anda (media) di sini? Saya mahu anda menjawab soalan saya," tegas Rajagobal ketika ditanya wartawan Indonesia, semalam mengenai isu pancaran laser yang kononnya menjadi punca kekalahan pasukan negara jiran itu pada perlawanan akhir pertama di Bukit Jalil, Kuala Lumpur hujung minggu lalu.

Jurulatih yang cukup tenang biarpun sering diasak dengan soalan pedas berkata, beliau mengamalkan profesionalisme yang sangat tinggi dalam membimbing anak-anak buahnya.

Justeru, Rajagobal mengharapkan penyokong dan media Indonesia mengamalkan prinsip yang sama.

Berkali-kali jurulatih berusia 54 tahun itu menjelaskan, baik Malaysia mahupun Indonesia masing-masing mahu merebut piala kemenangan.

"Seperti jurulatih Indonesia yang yakin dengan kemampuan anak-anak buahnya, saya juga optimis dengan kemampuan pemain-pemain bimbingan saya.

"Sehingga ke hari ini mereka mempamerkan skill permainan yang cukup baik. Saya juga berkali-kali mengingatkan pemain-pemain saya agar sentiasa fokus pada permainan dan jangan diganggu oleh faktor-faktor luaran yang negatif khususnya menjelang hari perlawanan nanti," kata beliau lagi.

Pada masa sama, Rajagobal tidak menidakkan kemampuan pasukan lawan yang disifatkannya cukup cemerlang ketika beraksi di padang Bukit Jalil.

Kata Rajagobal, pasukan Malaysia sentiasa diingatkan agar tidak memandang rendah kemampuan anak-anak buah jurulatih Alfred Reidl itu. - Utusan

Warga Kota Bertumpu Ke Restoran Mamak Saksi Perlawanan Akhir Piala AFF-Suzuki

KUALA LUMPUR: Sebilangan besar daripada warga bandaraya Kuala Lumpur akan bertumpu ke restoran mamak yang banyak terdapat di ibu kota malam ini bagi menonton perlawanan bersejarah peringkat akhir kedua Piala AFF-Suzuki edisi 2010 Malaysia-Indonesia.
Restoran ini menjadi 'port' yang menyediakan skrin besar di perkarangan bagi memudahkan ratusan khalayak menonton perlawanan sambil menghirup teh tarik kegemaran mereka, seterusnya tenggelam dalam suasana riuh rendah penonton yang melahirkan sokongan.
Mohamad Sharuddin, 32, berkata beliau dan rakan-rakanya memilih restoran mamak sekitar wangsa maju di sini.
"Bagi menghidupkan lagi suasana perlawanan saya dan beberapa rakan berpakat memakai jersi kuning-hitam sebagai tanda sokongan kami kepada pasukan kebangsaan," katanya kepada Bernama.
Bapa kepada dua anak itu berkata biarpun beraksi di gelanggang lawan beliau yakin dengan kemampuan skuad 'Harimau Malaya' menumpaskan skuad 'Garuda' 2-1 pada perlawanan itu yang berlangsung di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta.
Mohamad Aiman Abdullah, 25, berkata beliau memilih restoran mamak kerana suasana menonton perlawanan di situ hampir sama seperti di stadium apabila dapat bersorak beramai-ramai. "Sebagai tanda sokongan kepada pasukan negara saya tidak akan lupa membawa Jalur Gemilang bersama.
"Dengan pencapaian semasa saya fikir skuad negara mampu tumpaskan pasukan Indonesia dengan mata 3-2," katanya.
Siti Raihanan, 30, dan rakan-rakan juga memilih untuk menonton perlawanan itu di restoran mamak berhampiran kediaman mereka. Perlawanan malam ini menjadi penentu sama ada Malaysia berjaya menamatkan kemarau penantian selama 14 tahun bagi menjulang Piala yang mula diperkenalkan pada 1996 itu.
Kejayaan terbaik pasukan Malaysia sebelum ini adalah menjadi naib juara pada edisi 1996 selepas tewas 0-1 kepada Thailand pada perlawanan di Singapura. - BERNAMA

Isnin, 27 Disember 2010

Harimau baham Garuda

SAFEE Sali (kiri) merembat bola tepat ke gawang gol selepas menerima hantaran daripada Norshahrul Idlan Talaha (tiada dalam gambar) pada perlawanan akhir pertama Piala Suzuki AFF di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam tadi. – AP

KUALA LUMPUR – Dendam terbalas! Garuda tersembam ke bumi dibaham Harimau Malaya. Nampaknya reputasi gah Indonesia sekadar omong kosong apabila anak-anak buah K. Rajagobal memastikan penyokong Malaysia berpesta di Stadium Nasional Bukit Jalil dengan kemenangan cukup menyakinkan, 3-0.

Luka kekalahan 1-5 di Jakarta telah diubati dengan kemenangan berharga ini dan Malaysia kini berpeluang cerah menjulang trofi Piala Suzuki AFF buat kali pertama.

Turut menyaksikan kemenangan bersejarah itu ialah Presiden FAM, Sultan Ahmad Shah, Timbalan Presiden FAM, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dan dif-dif kehormat yang lain.

Dianggarkan sebanyak 85,000 penonton membanjiri stadium pada malam, semalam.

Nama Safee Sali layak disanjung sebagai wira Malaysia kerana dua golnya pada minit ke-59 dan 71 selain Mohd. Ashari Samsudin pada minit ke-67 memastikan Malaysia membuatkan Indonesia pulang dengan penuh kekecewaan.

Kemenangan ini sudah pasti memberikan kelebihan besar buat Malaysia yang akan bertandang ke bumi Jakarta pada Rabu depan untuk perlawanan akhir kedua.

Walaupun beraksi agak gementar pada separuh masa pertama, percaturan bijak Rajagobal memasukkan Ashari dan mengeluarkan Mohd. Amirulhadi Zainal untuk menukar rentak serangan sebaik bermula separuh masa kedua membuahkan hasil lumayan buat pasukan negara.

Ashari bagaikan menjadi senjata sulit negara apabila serangan dari arah sebelah kiri jelas bertenaga dan membuatkan benteng Indonesia dalam keadaan kucar-kacir.

Detik gemilang Malaysia bermula 14 minit pada separuh masa kedua, apabila pengantin baru yang melangsungkan majlis persandingannya, Norshahrul Idlan Talaha bijak menghukum kesilapan Maman Abdurachman di sebelah kanan sebelum melorongkan bola kepada Safee yang tidak dikawal untuk memberikan gol pembukaan buat Malaysia.

Keyakinan Garuda sedikit terjejas selepas Malaysia meraih gol pertama dan kesempatan itu diambil oleh pemain Malaysia, hasilnya, Ashari melakukan rembatan menarik dalam kotak penalti pada minit ke-67 untuk menewaskan Markus yang hanya mampu tergamam.

Keadaan di Bukit Jalil gegak gempita sementara penyokong Indonesia terus bermuram apabila Malaysia memperoleh gol ketiga hasil hantaran silang yang cantik daripada bek kanan, Mahalli Jasuli sebelum disudahkan melalui tandukan Safee pada minit ke-71 bagi meletakkan Harimau Malaya kini sebelah kaki untuk menjulang Piala AFF.

Selepas gol tersebut, aksi pemain Indonesia semakin longlai, namun sebaliknya keyakinan pemain Malaysia semakin menggila, malah hampir mendapat gol keempat melalui sayap lincah negara, S. Kunanlan pada masa kecederaan tetapi Markus sempat menghalang.

Dalam aksi di Jakarta nanti, Malaysia sudah pasti akan kehilangan khidmat Mohd. Amirulhadi Zainal yang mengutip kad kuning kedua dalam perlawanan ini sementara Indonesia pula terpaksa meratapi ketiadaan Oktovianus Maniani yang turut menerima nasib yang sama. - Utusan

Jumaat, 24 Disember 2010

Penyerang Indonesia, Gonzales cedera

JAKARTA - Skuad nasional Indonesia menerima berita buruk menjelang perlawanan akhir pertama Piala Suzuki AFF 2010 menentang Malaysia Ahad ini, apabila penyerang mereka, Christian Gonzales mengalami cedera pangkal paha.

Laman web sukan negara itu, MICOM melaporkan, ini menyebabkan pemain kelahiran Uruguay itu tidak menyertai latihan terakhir Indonesia, sebelum berangkat ke Malaysia.

Pemain yang telah menjaringkan tiga gol pada Piala Suzuki AFF itu, hanya melakukan latihan ringan di Padang Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI), Jakarta kelmarin, bersama fisioterapi pasukan.

"Memang ada kecederaan pada paha kanan, namun ia tidak menjadi masalah. Boleh dikatakan 90 peratus Gonzales boleh beraksi di Malaysia nanti," kata fisioterapi pasukan itu.

Menurutnya, untuk mempercepat penyembuhan, pihaknya memberikan sistem latihan khas buat pemain tersebut bagi memastikan kecederaan pemain yang mendapat jolokan El Loco, tidak berlarutan.

Latihan sesi terakhir menjelang perlawanan menentang Malaysia, pada Ahad ini, katanya, hanya melibatkan latihan ringan di gimnasium dan berjoging.

"Sesi terapi juga terus dilakukan hingga dua tiga hari berikutnya dan apa yang jelas pada aksi final nanti, Gonzales pasti diturunkan," tambahnya.

Sementara itu, penolong jurulatih pasukan, Wolfgang Pikal berkata, semua keadaan pemain berada dalam keadaan terbaik termasuk Gonzales, walaupun pemain itu hanya menjalani latihan ringan.

"Gonzales bagus. Tiada rancangan Gonzales digantikan dengan pemain yang lain. Keadaannya cukup bagus," katanya. - Agensi

Isnin, 20 Disember 2010

Indonesia jumpa Malaysia di final

INDONESIA seperti diramal melangkah ke final Piala Suzuki AFF apabila menyingkirkan Filipina menerusi agregat 2-0 selepas perlawanan separuh akhir kedua di Stadium Gelora Bung Karno di Jakarta, malam tadi berkesudahan tuan rumah mencatatkan kemenangan tipis 1-0.

Berbekal kemenangan 1-0 pada perlawanan separuh akhir pertama, lima hari lalu, skuad bimbingan Alfred Riedl melakukan asakan sejak wisel permulaan terutama daripada pemain berasal dari Uruguay, Cristian Gonzales serta pemain tengah, Oktovianus Maniani namun benteng Filipina berjaya menafikan setiap cubaan Indonesia.

Bagaimanapun, dua minit sebelum tamat babak pertama, Gonzales meledakkan gol cantik dari luar kotak penalti menewaskan penjaga gol lawan, Neil Etheridge.

Pada babak kedua, Indonesia terus melakukan asakan namun anak buah Simon McMenemy tidak mudah menyerah kalah apabila turut menyerang balas dan hampir menyamakan kedudukan menerusi cubaan cantik Chris Greatwich tetapi nasib tidak menyebelahi mereka.

Kemenangan itu bermakna, Indonesia akan bertemu Malaysia pada pentas akhir yang dijadual berlangsung di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 26 Disember ini sebelum perlawanan timbal balik di Indonesia tiga hari kemudian.

Pada perlawanan pertama peringkat kumpulan 1 Disember lalu, Indonesia mengalahkan anak buah K Rajagobal, 5-1.

Ahad, 19 Disember 2010

Malaysia ke final

LAYAK KE FINAL...Jurulatih bola sepak negara, K.Rajagobal dijulang pemain-pemain negara selepas keputusan pusingan kedua separuh akhir memihak kepada Malaysia secara agregat 2-0.GLENN GUAN/The Star
SKUAD bola sepak Malaysia, menempah tiket ke final Piala Suzuki AFF apabila menang secara agregat 2-0 ke atas Vietnam pada perlawanan separuh akhir kedua di Hanoi malam tadi.

Sabtu, 18 Disember 2010

Pentas akhiri badi

SAFIQ RAHIM (kanan) bakal menjadi pemain sandaran pada pertemuan menentang Vietnam di Stadium My Dinh, Hanoi malam ini.

STADIUM My Dinh di Hanoi, Vietnam bakal menjadi saksi sama ada skuad bola sepak kebangsaan berjaya menamatkan badi separuh akhir atau terus kempunan untuk mara ke final selepas 14 tahun.
Di stadium tersebut malam ini, skuad negara akan berdepan Vietnam untuk meneruskan aksi separuh akhir kedua Piala AFF Suzuki 2010 setelah Malaysia menang 2-0 pada aksi pertama di Stadium Nasional Bukit Jalil, Rabu lalu.
Malaysia hanya pernah sekali melepasi pusingan separuh akhir iaitu pada edisi sulung 1996 dengan menewaskan Indonesia 3-1 tetapi tewas 0-1 kepada Thailand pada aksi final.
Enam edisi berikutnya, Malaysia empat kali tewas di separuh akhir kepada Thailand (2000), Indonesia (2002 & 2004) dan Singapura (2007) serta dua kali kandas di peringkat kumpulan (1998 dan 2008).
Namun menjelang pertemuan penting malam ini, jurulatih kebangsaan, K. Rajagobal enggan terlalu memikirkan rekod lampau sebaliknya mahu para pemain fokus mempertahankan kelebihan dua gol.
“Itu semua cerita lama. Kita tak boleh nak banding sangat kerana ia pasukan dengan jurulatih berbeza dan pemain juga berbeza.
“Apa yang lebih penting, saya mahu pemain beri fokus sepenuhnya kerana Vietnam pasti akan bertubi-tubi memburu gol. Kita tak boleh lepaskan peluang terbaik untuk ke final ini.
“Walaupun menang 2-0 di Bukit Jalil, saya tak fikir pemain akan ambil mudah aksi kedua ini. Cuma saya harap mereka tidak melakukan apa-apa kesilapan individu," katanya kepada Kosmo! semalam.
Sementara itu, dua pemain kebangsaan iaitu penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat dan bek kiri, Asraruddin Putra Omar berjanji untuk mempertahankan kubu mereka dengan baik pada malam ini.
Rajagobal mahu para pemain negara beri fokus sepenuhnya untuk mempertahankan kelebihan dua gol yang dimiliki.


“Kami perlu berusaha lebih keras lagi. Harap barisan pertahanan dapat kekalkan aksi konsisten. Tekanan sentiasa ada tetapi ia hanya akan memberi kesukaran jika kita asyik memikirkannya” kata Khairul Fahmi, 21.
Asraruddin Putra, 22, pula menambah: "Saya belajar daripada kesilapan dan ambil iktibar daripada segala kritikan sebelum ini. Kami di barisan pertahanan akan meningkatkan kerjasama untuk memastikan gawang kita tidak dibolosi.”
Namun jurulatih Vietnam, Henrique Calisto bakal menurunkan semula pemain tengah penyerang, Nguyen Trong Hoang yang digantung satu perlawanan Rabu lalu serta dua pemain yang kembali daripada kecederaan, Doan Viet Cuong dan Phan Van Tai Em.

Rabu, 15 Disember 2010

Malaysia kalahkan Vietnam

Safee Sali (tengah) meraikan kejayaan menjaringkan gol pertama bersama Amirul Hadi Zainal (kiri) dan S. Kunanlan di Stadium Nasional, Bukit Jalil - foto Utusan
Yeah....yeah....yeah....yeah.....Malaysia menang, Malaysia menang 2-0 dengan Vietnam......


Tapi tak boleh happy sangat.....ini baru perlawanan  separuh akhir pertama.... separuh akhir ke2 kat Vietnam... belum tahu lagi nasib Malaysia......


Apa2 hal pun kita raikan dulu kemenangan ini...... ALHAMDULILLAH.........


TAHNIAH.....buat Rajagobal dan team serta pemain2 Malaysia.........

Ayuh! Benam Vietnam

MEMBARA...Safee (kiri) ‘diasak’ rakan sepasukan ketika sesi latihan terakhir di Stadium Nasional, semalam
Foto: Metro
Malam ini pertarungan separuh akhir pertama antara Malaysia dan Vietnam untuk Piala Suzuki AFF2010, siapakah yang bakal kecundang?????


Marilah kita beramai-ramai memberi sokongan padu kepada pasukan negara kita di Stadium Bukit Jalil...cuma aku harap para pemain kita tidak terlalu tertekan.......


Rabu, 8 Disember 2010

Piala Suzuki AFF2010: Malaysia ke separuh akhir

AMRI Yahyah menyumbat dua gol pada perlawanan menentang Laos, malam tadi.

Aksi garang membelasah Laos 5-1 sambil dibantu kekalahan tipis Thailand 1-2 kepada tuan rumah, Indonesia membolehkan semangat skuad kebangsaan kembali menyala apabila mara ke separuh akhir Piala Suzuki AFF 2010, semalam.

Kemenangan besar anak buah K. Rajagobal di Stadium Jaka Baring, Palembang membolehkan Malaysia mengumpul empat mata, selaku naib juara Kumpulan A di belakang Indonesia.

Formasi 4-5-1 ternyata memberi impak kepada pasukan kebangsaan apabila Amri Yahyah yang bertindak selaku pembantu kepada penyerang tunggal, Norshahrul Idlan Talaha menyumbat dua gol pada separuh masa pertama.

Khamis, 2 Disember 2010

Kena ganyang

REBUT...Mohamad Muslim (kiri) berebut bola dengan pemain Indonesia, Christian Gonzales pada perlawanan malam tadi.
Malaysia tewas 5-1........ malunya......

Kesilapan dan kelemahan benteng pertahanan yang menyebabkan pasukan negara digasak habis-habisan dalam perlawanan pembukaan Kumpulan A, Piala Suzuki AFF2010 malam tadi.....

Dah tu penonton pula kurang ajar terjerit-jerit macam b...k dgn jeritan "Maling" dan "Ganyang Malaysia" semasa lagu Negaraku dimainkan..... Memang tak ada semangat kesukanan langsung.....biadap....

Lepas ni, Malaysia akan bertemu dgn Thailand....kita tengok apa pula yg Malaysia dapat........




Rabu, 1 Disember 2010

Piala Suzuki AFF2010 - Malaysia bertemu Indonesia




RAJAGOBAL (dua dari kanan) tidak mahu pemainnya dipengaruhi kerenah penyokong tuan rumah pada aksi menentang Indonesia di Stadium Utama Gelora Bung Karno malam ini.
Hari ini pasukan negara akan bertemu dengan Indonesia iaitu pasukan tuan rumah di Stadium Utama Gelora Bung Karno. Ia merupakan aksi pertama untuk kejohanan bolasepak Piala Suzuki 2010.

Menurut jurulatih kebangsaan, K. Rajagobal, Malaysia tidak ada sasaran khusus pada kejohanan ini lebih-lebih lagi lapan pemainnya mengalami kecederaan termasuk kembar Mohd Aidil Zafuan dan Zaquan Adha.

Pemain yang dibawa ke kejohanan ini kebanyakannya pemain muda dengan Shafiq Rahim selaku kapten pasukan.

Apa2 pun aku harap pasukan negara dapat bermain dengan sebaiknya walaupun akan menghadapi tekanan penonton tuan rumah yang sangat esktrim.

Iklan Mangga