INDONESIA seperti diramal melangkah ke final Piala Suzuki AFF apabila menyingkirkan Filipina menerusi agregat 2-0 selepas perlawanan separuh akhir kedua di Stadium Gelora Bung Karno di Jakarta, malam tadi berkesudahan tuan rumah mencatatkan kemenangan tipis 1-0.
Berbekal kemenangan 1-0 pada perlawanan separuh akhir pertama, lima hari lalu, skuad bimbingan Alfred Riedl melakukan asakan sejak wisel permulaan terutama daripada pemain berasal dari Uruguay, Cristian Gonzales serta pemain tengah, Oktovianus Maniani namun benteng Filipina berjaya menafikan setiap cubaan Indonesia.
Bagaimanapun, dua minit sebelum tamat babak pertama, Gonzales meledakkan gol cantik dari luar kotak penalti menewaskan penjaga gol lawan, Neil Etheridge.
Pada babak kedua, Indonesia terus melakukan asakan namun anak buah Simon McMenemy tidak mudah menyerah kalah apabila turut menyerang balas dan hampir menyamakan kedudukan menerusi cubaan cantik Chris Greatwich tetapi nasib tidak menyebelahi mereka.
Kemenangan itu bermakna, Indonesia akan bertemu Malaysia pada pentas akhir yang dijadual berlangsung di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 26 Disember ini sebelum perlawanan timbal balik di Indonesia tiga hari kemudian.
Pada perlawanan pertama peringkat kumpulan 1 Disember lalu, Indonesia mengalahkan anak buah K Rajagobal, 5-1.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan