slmt dtg

Pengikut

ads by mangga

HBeat

Memaparkan catatan dengan label lumba basikal. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label lumba basikal. Papar semua catatan

Isnin, 30 Januari 2012

Atlet basikal terpelanting


TENANG...Abdul Aziz diberi rawatan sementara sebelum dibawa ke Hospital Putrajaya.
TENANG...Abdul Aziz diberi rawatan sementara sebelum dibawa ke Hospital Putrajaya.

PUTRAJAYA: “Ketika itu, Mariana berada di kedudukan paling depan. Tiba-tiba sebuah kereta datang dari arah kanan dan merempuhnya hingga dia terpelanting ke atas bumbung kereta sebelum terjatuh ke jalan raya.”

Demikian kata pelumba basikal wanita kebangsaan, Masziyaton Mohd Radzi, 24, ketika menceritakan bagaimana rakan sepasukannya, Mariana Mohamad, 34, dirempuh sebuah Perodua Kancil ketika berlangsung perlumbaan membabitkan 50 pelumba negara di sini, semalam.

Ketika kejadian pada jam 10.30 pagi di simpang empat berhampiran Istana Kehakiman itu, seramai 50 pelumba membabitkan kategori elit, bawah 23 tahun, remaja dan wanita bersaing untuk sesi pemilihan ke Kejohanan Lumba Basikal Asia (ACC) 2012 pada 8 Februari depan.

Akibat kemalangan itu, Mariana patah tangan kiri, lutut kanannya berlubang, selain bengkak di dagu serta pipi. Selain Mariana, tiga lagi pelumba termasuk Masziyaton turut cedera. Dua pelumba skuad remaja iaitu Mohd Azri Ahmad, 17, dan Abdul Aziz Mohd Zahit, 17, masing-masing patah tangan kanan dan jari manakala Masziyaton hanya cedera ringan.

Masziyaton yang ditemui di Hospital Putrajaya berkata, Perodua Kancil yang dipandu seorang wanita itu merempuh pelumba selepas lampu isyarat di persimpangan berkenaan bertukar hijau dan dia mungkin tidak menyedari kehadiran polis mengawal perlumbaan yang berlangsung.

Tiga pelumba yang cedera kemudian mendapatkan rawatan di Hospital Putrajaya sebelum dibenarkan pulang, namun Mariana dipindahkan ke Hospital Pakar Damansara bagi rawatan lanjut. 

Sementara itu, jurulatih berbasikal negara, Syed Muhammad Hussaini Syed Mazlan berkata, kemalangan itu berlaku ketika perlumbaan yang keseluruhannya membabitkan 10 pusingan baru memasuki pusingan kedua.

Menurutnya, ia sama sekali tidak dijangka kerana segala langkah keselamatan sudah diambil termasuk kehadiran anggota polis bagi mengawal lalu lintas. 

“Bagi saya, semua ini takdir dan saya yakin ada hikmah di sebaliknya. Saya anggap kejadian ini sebagai ujian sejauh mana tahap kesabaran kita,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Biarpun sedih dengan apa yang berlaku, beliau turut lega kerana kemalangan itu tidak membabitkan skuad elit lelaki negara yang bakal bersaing di ACC untuk mendapat mata kelayakan ke Sukan Olimpik akan datang dan Le Tour de Langkawi (LTdL) hujung bulan depan.

Menurutnya, Mariana sebelum ini turut terbabit dengan kemalangan ketika menyertai Sukan Asia di Guangzhou, China, pada 2010. Dia yang ketika itu berusia 32 tahun patah tulang bahu dan cedera di dagu akibat kemalangan yang dialaminya ketika menyertai acara ujian masa lebuh raya 35.6 kilometer di venue triatlon, Bandar Mega Universiti, China. 

“Mariana antara pelumba yang berpotensi untuk beraksi di ACC, tapi apa yang berlaku ini kita harus terima. Saya harap semangat Mariana akan ditanam dalam diri semua pelumba wanita untuk berusaha memberikan terbaik buat negara biarpun ditimpa kejadian tidak diingini,” katanya.

Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Abu Samah Abd Wahab yang dihubungi pula berharap orang ramai tidak menganggap insiden ini satu kelalaian PKBM kerana pihaknya sudah bekerjasama dengan polis, hospital dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) untuk mengawasi pelumba sepanjang perlumbaan pemilihan itu. - myMetro

Ahad, 8 Januari 2012

Hafiz to undergo surgery to rectify injured left wrist


PETALING JAYA: Indonesia SEA Games track cycling gold medallist Mohd Hafiz Sufian celebrated the new year with the arrival of his first child Mohd Aqeel Mikael on Tuesday.
But, Hafiz, who was looking forward to competing in the Beijing leg of the Track World Cup Classic next week, will have to wait longer before returning to the track as he has to undergo surgery on his injured left wrist.
The World Cup Classic in Beijing on Jan 13-15 will be a good platform for Hafiz to gauge himself against top competitors ahead of the Asian Cham­pionships in Kuala Lumpur next month.
Out for now: Mohd Hafiz Sufian will be undergoing surgery to prevent further damage to his left wrist. He is hoping to recover in time for the Asian Championships next month.
Hafiz, who competes in the omnium event, has to go under the knife to prevent aggravating his wrist injury.
“I had the injury while training in Perlis before the SEA Games and a check recently showed it was getting worse.
“The doctor advised me to go for surgery or risk further damaging my wrist,” he said.
Hafiz created history when he won the omnium in Jakarta. It was the first time the event was contested in the Games.
Omnium is an Olympic discipline which comprises six events – 200m flying start time trial, 15km scratch race, 4km individual pursuit, 30km points race, elimination race and a 1km time trial.
It was introduced to replace the individual pursuit, points race and madison events at the Olympics starting this year. Hafiz, however, is hoping to recover in time to compete in the Asian Cham­pionships from Feb 8-18 at the Cheras Velodrome.
“I was looking forward to competing in Beijing as chances to compete at such high level are not easy to come by,” said Hafiz, who was formerly based in Melbourne.
“But I have to be patient when it comes to injury. A full recovery will do me a world of good in the long run.”
Melbourne-based riders Azizulhasni Awang, Josiah Ng and Fatehah Mustapa will not compete in Beijing as they will be concentrating on training for next month’s Asian meet and the final leg of the World Cup in London (Feb 17-19).
The Malaysian National Cycling Federation (MNCF) have instead opted to send youngsters Mohd Arfy Qhairant Amran and Ju Pha Som Net to Beijing. - theStarOnline

Jumaat, 29 Julai 2011

Indonesia akur desakan UCI, ACC


KUALA LUMPUR - Penganjur Sukan SEA 2011 akhirnya menambah acara basikal trek selepas menerima amaran Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) dan Konfederasi Berbasikal Asia (ACC).

Kedua-dua badan sukan tersebut mengancam untuk tidak mengiktiraf acara trek pada temasya tersebut selepas penganjur tetap dengan pendirian untuk mempertandingkan hanya tiga acara dalam kategori lelaki dan wanita.

Naib Presiden ACC, Abu Samah Wahab berkata, mesyuarat terakhir jawatankuasa teknikal Isnin lalu berjaya memberi tekanan kepada tuan rumah untuk menambah acara basikal trek.

"Indonesia bersetuju untuk menambah tiga lagi acara bagi setiap kategori dengan jumlah keseluruhannya enam acara selepas saya diberikan mandat untuk membuat keputusan berhubung pengiktirafan tersebut," katanya.

Abu Samah menjelaskan, perkara tersebut sudah dimaklumkan kepada penganjur empat bulan lalu supaya menambah acara trek namun tiada sebarang tindakan daripada Jawatankuasa Olimpik Nasional Indonesia (KONI).

"UCI dan ACC sebulat suara tidak akan mengiktiraf acara berbasikal sekiranya mereka tidak mengikut peraturan yang ditetapkan. Mereka seharusnya sedar jika mahu mendapatkan pengiktirafan daripada ACC, mereka perlu menambah paling minimum tujuh acara.

"Bagaimanapun persetujuan akhirnya dicapai untuk mengurangkannya kepada enam acara.

"Penambahan acara ini tidak memihak kepada mana-mana negara termasuk Malaysia, yang mampu meraih semua pingat emas yang dipertandingkan," katanya.

Tambahnya, pemilihan acara trek dilakukan sendiri oleh tuan rumah dan ia tidak ada kena mengena dengan Malaysia, walaupun ia bakal memihak kepada skuad berbasikal trek negara.

Acara basikal trek yang dipertandingkan ialah lelaki adalah 10km scratch, 4km kejar mengejar individu dan berpasukan, 40km perlumbaan mata, pecut individu dan omnium manakala acara wanita, pecut individu dan berpasukan, 5km scratch, 500m ujian masa, 25km perlumbaan mata dan omnium. - UTUSAN

Selasa, 5 Julai 2011

Azizulhasni Tokoh 1Malaysia NPC-Tan Sri SM Nasimuddin SM Amin


Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak bergambar kenangan bersama para penerima anugerah sempena majlis Anugerah Kelab Wartawan Kebangsaan (NPC) - Naza 2011 di sini malam Isnin. Foto THE STAR Oleh: M.AZHAR ARIF
KUALA LUMPUR 4 Julai - Pelumba basikal negara Azizulhasni Awang dipilih sebagai Tokoh 1Malaysia Kelab Akhbar Kebangsaan (NPC)-Tan Sri SM Nasimuddin SM Amin dalam satu majlis yang diadakan di sini malam ini.

Azizulhasni dipilih atas sumbangannya mengharumkan negara dalam sukan berbasikal termasuk memenangi emas dalam acara keirin pada kejohanan Piala Dunia Klasik di Beijing, China tahun lalu.

Selain Azizulhasni, anugerah NPC-Naza yang memasuki tahun kedua penganjurannya itu turut mengiktiraf beberapa individu dalam bidang kewartawanan.

Antaranya bekas editor Bernama, Musa Scully yang diberikan anugerah Pencapaian Seumur Hidup Kelab Akhbar Kebangsaan (NPC)-TM.

Ahli akademik, penulis dan wartawan, Adibah Amin pula menerima Anugerah Legenda Media NPC-Ambank.

Majlis sama turut memberi penghargaan kepada wartawan yang menunjukkan komitmen tinggi dalam laporan berita yang disediakan termasuk menyentuh mengenai isu yang dekat dengan rakyat.

Anugerah khusus yang dinamakan Anugerah Wartawan Terbaik 2011 NPC-Scomi itu diberikan kepada wartawan The Star, Shahanaaz Habib.

Sementara itu, Anugerah Personaliti Media NPC- Celcom diberikan kepada Ketua Pengarang Kumpulan The Star, Datuk Seri Wong Chun Wai manakala Anugerah Ikon Media NPC-Maxis diberikan kepada Ahiruddin.

Bagi kategori anugerah Wartawan Baru Terbaik NPC-Celcom pula dimenangi oleh wartawan Ntv7, Melissa Ong.

Wartawan portal Malaysiakini, Aidila Razak pula dipilih sebagai penerima anugerah Wartawan Online Terbaik 2011 NPC-UEM manakala penulis blog www.paultan.org pula menerima anugerah Penulis Blog Terbaik 2011 NPC-Sime Darby.

Majlis anugerah NPC-Naza ini turut mendapat sokongan penaja utama iaitu Kumpulan Naza, Kumpulan Ambank, Telekom Malaysia Berhad, Celcom dan Kumpulan Scomi.

Kesemua anugerah disampaikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak. - UTUSAN

Rabu, 13 April 2011

Menteri Besar Terengganu terkejut


VELODROM Kuala Lumpur yang terletak di Cheras merupakan salah sebuah daripada dua velodrom yang terdapat di Malaysia ketika ini. - Gambar hiasan

KOS pembinaan velodrom mini di Dungun, Terengganu dilaporkan mencecah RM36 juta iaitu 12 kali ganda daripada kos sepatutnya sebanyak 3.5 juta.
Berita terbaru itu ternyata mengejutkan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said .
Ahmad juga pelik bagaimana kos pembinaan kemudahan sukan itu boleh melonjak begitu ketara dan menyifatkan ia tidak rasional dan perlu diteliti semula kerana perbezaan daripada kos asal yang sangat ketara.
Sambil menegaskan supaya kos pembinaan velodrom tersebut mengikut ketetapan asal, Ahmad mahu pihak yang terbabit, terutamanya Jabatan Kerja Raya supaya mengkaji semula tentang perkara itu.
“Memang saya terkejut... sebab itu saya mahu ia dikaji semula,” kata Ahmad di Kuala Terengganu kelmarin.
Sebelum ini, kos asal pembinaan velodrom mini yang dicadangkan Kerajaan Negeri Terengganu dan Majlis Sukan Negara (MSN) dianggarkan sekitar RM3.5 juta.
Ahmad menambah, pihaknya menyerahkan kepada JKR untuk menetapkan pelan atau reka bentuk velodrom mini itu agar bersesuaian dengan jumlah kos seperti mana perancangan asal.
Sementara itu, Ketua Pengarah MSN, Datuk Zolkples Embong turut menyifatkan kos projek tersebut amat tinggi.
“Kos pembinaan velodorom mini itu amat tinggi memandangkan kita hanya mahu membina sebuah velodrom biasa untuk dijadikan pusat latihan serta venue pertandingan peringkat tempatan,” katanya.
Terdahulu, MSN dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) berhasrat membina sebuah velodrom mini sebagai menghargai jasa jaguh berbasikal trek negara kelahiran Terengganu, Azizulhasni Awang yang semakin mencipta nama di pentas antarabangsa.
Pembinaan velodrom mini itu kekal di Dungun kerana kerajaan kini mempunyai tapak alternatif iaitu di Kampung Balai Besar.
Sebelum itu, cadangan kerajaan untuk membina velodrom mini di kawasan lapang di Sura, Dungun mendapat bantahan penduduk setempat kerana menganggap ia akan mengambil tanah dan mengganggu tempat anak muda beriadah.
Ketika ini, Malaysia memiliki dua velodrom iaitu Velodrom Kuala Lumpur di Cheras dan Velodrom Rakyat di Ipoh. - Kosmo

Isnin, 4 April 2011

Azizulhasni membara


AZIZULHASNI dan Athiah Ilyana diraikan pada majlis resepsi perkahwinan mereka di Meru Height, Ipoh semalam.

KEHADIRAN isteri di sisi menjadi pembakar semangat kepada pelumba basikal trek negara, Mohd. Azizulhasni Awang untuk segera pulih daripada kecederaan betis yang dialaminya pada Februari lalu.
Terkenal dengan nama jolokan The Pocketrocketman, Azizulhasni berkata, isterinya, Athiah Ilyana Abdul Samat banyak membantu kehidupannya di Melbourne, Australia yang menjadi pusat latihannya.
"Lepas ini saya dan isteri akan menunaikan umrah dan selepas itu kembali ke Melbourne untuk menjalani latihan," kata Azizulhasni ketika ditemui pemberita pada majlis resepsi perkahwinannya di kediaman keluarga pengantin perempuan di Meru Height, Ipoh semalam.
Azizulhasni yang akan menjalani latihan biasa dan intensif secara berperingkat selepas kembali ke Melbourne berkata, kecederaan yang dialaminya pada 19 Februari lalu juga membakar semangatnya untuk terus meningkatkan prestasi.
Dia mengalami kecederaan serius ketika bertanding dalam acara final keirin pada Siri Piala Dunia Klasik UCI di Manchester, England apabila betis- nya tertusuk serpihan kayu velodrom sepanjang 20 sentimeter.
Mengenai peluang memenangi pingat emas pada temasya Olimpik 2012 di London yang disandarkan kepadanya, Azizulhasni berkata, peluang itu terbuka kepada semua termasuk pelumba tuan rumah yang juga saingan terdekatnya, Chris Hoy.
Katanya, dia kini menumpukan perhatian bagi menghadapi temasya Sukan Universiti Dunia 2011 yang akan berlangsung di Shenzen, China pada 12 hingga 23 Ogos depan.
Sementara itu, jurulatihnya, John Beasley berkata, Azizulhasni telah pulih daripada kecederaan yang dialami.
"Namun, saya tetap mahu berhati-hati. Saya juga mahu memberi beliau masa dan tidak tergesa-gesa kembali aktif sepenuhnya.
"Ini kerana otot yang cedera mengambil masa untuk benar- benar pulih," kata Beasley lagi. - Kosmo

Sabtu, 12 Mac 2011

Anuar tunjuk belang sebenar


ANUAR (depan) mencuri tumpuan semalam apabila menjuarai perlumbaan peringkat keempat

Pelumba sensasi negara, Anuar Manan akhirnya menunjukkan taring sebenarnya . Hujan lebat yang membayangi perlumbaan peringkat keempat Kejohanan Lumba Basikal Jelajah Malaysia (JM) 2011 semalam telah memberi kelebihan buat Anuar apabila pelumba pasukan Terengganu Pro Asia (TSG) itu berjaya mengungguli saingan dari Kuala Rompin ke Pekan.
Pada saingan sejauh 89.6 kilometer itu, Anuar bukan saja muncul juara peringkat keempat, malah anak kelahiran Kuala Ibai, Terengganu ini berjaya menyarung Jersi Kuning selaku pendahulu keseluruhan daripada tangan rakan sepasukan, Mohd. Hariff Salleh.
“Saya pada mulanya tidak memburu Jersi Kuning ini, sebaliknya strategi awal ialah untuk memastikan Hariff menang pada perlumbaan peringkat keempat ini supaya dapat mengekalkan jersi ini,” kata Anuar yang mencatat masa satu jam 52 minit 24 saat semalam.
“Tetapi ketika menuju ke garisan penamat, saya lihat Hariff terperangkap di celah pelumba lain, jadi saya pun mengambil peluang untuk memotong mereka di bahagian lain.
“Cuaca hujan sepanjang perlumbaan ini juga memberi kelebihan kepada saya dan Hariff, malah bantuan daripada pelumba Malaysia yang lain seperti pasukan Tentera Laut Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia dan beberapa pasukan lagi memudahkan lagi tugas kami,” jelasnya lagi yang turut memenangi Jersi Biru untuk pelumba terbaik Asia serta Jersi Putih untuk pelumba terbaik Malaysia.
Sementara itu, Hariff yang terlepas gelaran pendahulu dan dua jersi lain (Biru dan Putih), masih lagi mengekalkan Jersi Hijau selaku Raja Pecut dalam empat saingan JM2011.
“Saya tidak kecewa kerana terlepas Jersi Kuning ini kepada Anuar, kerana bagi saya Anuar selaku pelumba senior memang berhak memenanginya kali ini,” kata Hariff yang mengumpul 66 mata.
“Strategi awal memang saya sepatutnya memecut ke garisan penamat untuk memenangi perlumbaan ini tetapi saya tersepit di celah-celah pelumba pasukan Iran dan Polygon (Sweetnice).
“Apa pun saya tetap gembira kerana dapat mengekalkan Jersi Hijau ini, lebih mudah tugas saya untuk menumpukan perhatian kepada satu-dua jersi saja berbanding empat jersi. Bagi saya juga, kemenangan berpasukan lebih utama daripada kejayaan individu,” ujarnya lagi.
Pada saingan semalam yang tidak menampilkan laluan berbukit, Anuar berjaya memenangi zon pecutan 1 (Nenasi) dan zon pecutan 2 (Air Tawar) manakala Hariff pula yang menamatkan perlumbaan di tempat keempat, berjaya menduduki tempat kedua pada zon pecutan 2.
Gelaran Raja Bukit pula masih dipegang oleh pelumba pasukan Aisan Racing dari Jepun, Kenichi Suzuki dengan 8 mata.
Saingan kelima JM2011 hari ini akan bermula dari Pekan ke Bentong dengan jarak terpanjang iaitu 221.2km melibatkan dua zon pecutan iaitu di Petronas Gambang (Zon 1) dan Pejabat Daerah dan Tanah Maran (Zon 2) manakala satu pendakian iaitu di Maran. - Kosmo

Khamis, 3 Mac 2011

Indonesia bohong


ACARA keirin tidak disenaraikan oleh Indonesia pada Sukan SEA 2011 meskipun sudah didesak oleh Persatuan Berbasikal Asia.

“SATU pembohongan besar.”
Demikian rumusan yang dibuat oleh Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) apabila mengetahui keputusan penuh 18 acara lumba basikal yang akan dipertandingkan pada Sukan SEA 2011 di Indonesia hujung tahun ini.
Presiden PKBM, Abu Samah Abd. Wahab menegaskan bahawa Komite Olimpik Indonesia (KOI) dan Persatuan Berbasikal Indonesia (ICA) tidak melakukan sebarang rombakan semula terhadap mana-mana acara membabitkan disiplin trek dan basikal bukit sekali pun telah mengadakan mesyuarat pada 25 Februari lalu.
Tambah melucukan, Indonesia menyenaraikan acara 10 kilometer (km) perlumbaan mata lelaki elit dan 25km perlumbaan mata wanita sekali gus membayangkan sikap tidak jujur yang jelas membawa makna tersirat di sebalik tindakan tersebut.
"Mereka (KOI dan ICA) bukan saja tidak menghormati tindakan ACC (Persatuan Berbasikal Asia) yang telah menghantar surat jawapan balas meminta agar mereka menyenarai semula acara bersesuaian dengan Kejohanan Sedunia. Misalnya dalam disiplin trek, mereka perlu senaraikan acara keirin dan 200 meter ujian masa individu.
"Bagaimanapun, Indonesia hanya senaraikan acara 10km scratch race, 4km pursuit individu dan 10km perlumbaan mata. Sedangkan dalam surat asal kepada ACC, mereka minta nasihat daripada badan terbesar di Asia. Namun setelah diberikan nasihat, mereka sama sekali tolak mentah-mentah pandangan ACC.
“Paling melucukan ialah apabila mereka senaraikan acara 10km perlumbaan mata untuk lelaki dan 25km perlumbaan mata untuk wanita. Adakah mereka ingin beritahu kita pelumba lelaki lemah berbanding pelumba wanita. Saya benar-benar bingung dengan keputusan ini. Ia sangat melucukan,” kata Abu Samah.
Abu Samah yang juga Naib Presiden ACC menjelaskan Indonesia juga hanya memilih acara yang difikirkan boleh memberi kelebihan besar kepada pelumba republik tersebut.
"Dahulu mereka berjanji akan adakan acara downhill dan cross country untuk lelaki serta wanita. Tapi apabila terima senarai penuh, kami dapati Indonesia hanya senaraikan acara downhill untuk wanita. Mereka ketepikan cross country kerana tahu ada negara lain yang kuat dalam acara ini,” katanya.
Minggu lalu, Setiausaha Agung ACC, Choi Boo Woong telah mengutus sepucuk surat kepada Indonesia meminta agar republik tersebut menghormati desakan negara-negara ASEAN seperti Malaysia, Thailand dan Filipina yang mahukan beberapa acara trek seperti keirin dan 200m pecut individu disenaraikan semula pada Sukan SEA 2011.
Choi menjelaskan Indonesia perlu berbuat demikian jika mahu acara berbasikal di Sukan SEA 2011 menerima pengiktirafan rasmi daripada ACC atau UCI sekali gus membolehkan beberapa pegawai penting seperti komisar dan anti-doping dihantar memantau temasya sukan dwitahunan itu.
Abu Samah menjelaskan selaku Presiden Persekutuan Berbasikal ASEAN (ACA), beliau akan berhubung dengan semua ahli gabungan di Asia Tenggara untuk mendengar pandangan mereka khususnya Thailand dan Filipina yang dianggap antara kuasa besar di rantau ini. - Kosmo

Isnin, 21 Februari 2011

Azizulhasni selamat dibedah


PENOLONG jurulatih, Harnizam Basri (kanan) memapah Azizulhasni yang mengalami kecederaan ngeri sebaik sahaja dia berjaya melintasi garisan penamat dengan meraih pingat gangsa dalam acara keirin akhir Siri Piala Dunia Klasik di Manchester, semalam


KUALA LUMPUR – Jaguh trek negara, Mohd. Azizulhasni Awang selamat dibedah selepas mengalami kecederaan ngeri, tertusuk serpihan kayu di betis kirinya akibat kemalangan dalam laluan memenangi pingat gangsa pada Siri Piala Dunia Klasik di Manchester, semalam.

Azizulhasni bersama empat lagi pelumba terlibat dalam kemalangan, menyebabkan serpihan dari trek kayu sepanjang 23 sentimeter tertusuk di betisnya. Dia tetap meneruskan perlumbaan selepas kemalangan dan hanya menyedari tentang kecederaan yang dialami selepas menamatkan saingan.

Kecederaan tersebut sekali gus menutup terus hasrat pelumba kelahiran Dungun, Terengganu itu beraksi di Kejohanan Trek Dunia yang akan berlangsung di Apeldoorn, Belanda bulan depan.

Insiden tersebut terjadi dalam acara keirin akhir menyaksikan pelumba sedang berasak-asak untuk melintasi garisan penamat sebelum berlakunya pelanggaran sesama sendiri dalam kelajuan 60 atau 70 kilometer per jam.

Ia bermula dengan pelumba Sepanyol, Juan Peralta Gascon tergelincir sebelum terlanggar Azizulhasni yang mewakili pasukan trek profesional negara, Yayasan Sime Darby (YSD) diikuti dua pelumba lagi terjatuh, Kamil Kuczynski (Poland) dan Edward Dawkins (New Zealand) namun keempat-empat mereka bangkit meneruskan perlumbaan dengan cara yang berbeza.

Azizulhasni bangkit semula sambil dibantu jurulatihnya, John Beasley untuk meneruskan perlumbaan dan tidak sedar serpihan kayu tertusuk dari bahagian kanan menembusi bahagian kiri betisnya, manakala Dawkins melintasi garisan penamat sambil menolak basikalnya.

Gascon pula dibatalkan perlumbaannya selepas dia bangun tetapi berlari menuju ke garisan penamat tanpa basikalnya, selepas dia berlari itu barulah jurulatih ataupun pegawainya memberikan basikal tetapi ia tidak dikira.

Perlumbaan tersebut dimenangi oleh pelumba sensasi Britain, Chris Hoy manakala pingat perak milik Jason Niblett dari Australia, namun hanya dua pelumba itu sahaja berada di podium manakala Azizulhasni dikejarkan ke Hospital Royal Manchester untuk mendapat rawatan lanjut.

Bagaimanapun pingat gangsa itu sudah cukup buat Azizulhasni muncul juara keseluruhan Piala Dunia Klasik mengatasi Chris Hoy dan berada di ranking No.1 dunia Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) bagi acara keirin.

Menurut Ketua Jurulatih, John Beasley, Azizulhasni selamat dibedah dan tidak mengalami kecederaan yang terlalu serius, tetapi pemenang pingat emas keirin Sukan Asia Guangzhou 2010 itu tetap tidak boleh mengambil bahagian pada Kejohanan Dunia kerana perlu berehat lebih panjang.

“Ia untuk mengelak risiko berlakunya darah beku dalam saluran darah dan doktor juga telah memberitahu saya beberapa jam selepas kejadian tersebut bahawa Azizulhasni tidak boleh menyertai Kejohanan Dunia,” katanya dalam khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada Utusan Malaysia semalam.

Sementara itu, Timbalan Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Naim Mohamad berkata, Azizulhasni telah menjalani imbasan x-ray dan pembedahan kecil di hospital tersebut namun peluangnya untuk beraksi pada Kejohanan Trek Dunia seakan-akan sudah berakhir.

“Selepas menjalani pembedahan kecil dan berehat kita akan melihat semula situasi Azizulhasni cuma apa yang dia sempat beritahu saya adalah tidak mahu ibu dan isterinya risau, begitu juga dengan peminat seluruh Malaysia.

“Dia tidak mahu orang salah faham mengenai kecederaan ini yang tidak akan menjejaskan peluangnya untuk beraksi di London 2012, begitu juga dengan kariernya, dia amat mengharapkan sokongan semua pihak,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.

Azizulhasni juga sempat memberitahu Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Zolkples Embong, ketika berada di dalam ambulans menuju ke hospital bahawa dia tidak berasa sakit dan hanya menyedari setelah berjaya menamatkan perlumbaan.

"Ketika dalam ambulans ke hospital, Azizulhasni yang menahan kesakitan masih sempat bercerita kepada saya tentang hasratnya untuk mengejar pingat emas di Sukan Olimpik 2012 nanti,” katanya.

Menurut Ketua Pengarah Institut Sukan Negara (ISN), Datuk Dr. Ramlan Abdul Aziz, ia masih terlalu awal untuk menjangkakan berapa lama Azizulhasni perlu berehat sebelum dapatkembali beraksi.

Katanya, ini kerana apa yang lebih penting ialah serpihan kayu trek yang tertusuk menembusi betis kiri pelumba negara itu perlu dikeluarkan terlebih dahulu, dan hanya selepas itu barulah boleh dinilai sejauh mana tahap kecederaan sebenarnya.

Kejohanan Trek Dunia akan bermula pada 23 hingga 27 Mac depan dan Azizulhasni sangat bersemangat untuk membalas dendam terhadap kekalahannya kepada Hoy dalam acara keirin akhir di kejohanan yang sama tahun lepas. - Utusan

Rabu, 2 Februari 2011

Monsalve Pelumba Terbaik Keseluruhan LTdL 2011


KUALA LUMPUR: Pelumba Androni Giocatti (AND), Jonnatha Monsalve dinobatkan sebagai Pelumba Terbaik Keseluruhan perlumbaan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2011 sekaligus menyarung Jersi Kuning secara mutlak selepas tamat perlumbaan akhir dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam ke Dataran Merdeka , Selasa.
Monsalve mencatat masa keseluruhan sepanjang sepuluh hari perlumbaan 30 jam 08 minit 57 saat, lima saat di depan mendahului pelumba benua Malaysia, Le Tua (L2A) Libardo Nino Corredor (30j09'02"), manakala tempat ketiga terbaik dipegang oleh pelumba Emanuele Sella dari pasukan Androni Giocattoli (AND) dengan catatan masa 30j09'21".
Pelumba kelahiran Venezuela ini bukan sahaja menjadi pelumba terbaik keseluruhan, malah turut menyimpan Jersi Merah selaku Raja Bukit yang dimenangi sejak peringkat kelima (Tapah -Genting Highlands).
"Ini adalah kejayaan pertama sebagai pelumba profesional dan ia adalah jalan terbaik bagi permulaan karier saya.
"Saya sangat teruja dengan kejayaan ini, bukan bukan sahaja bergelar Raja Bukit, tetapi menjadi juara keseluruhan perlumbaan ini," katanya pada sidang media selepas tamat perlumbaan.
Sementara itu, pada perlumbaan akhir peringkat kesepuluh ini menyaksikan pelumba Farnese Vini-Neri Sottoli (FAR), Andrea Guardini membuktikan kehebatannya sebagai pakar pecut apabila sekali lagi menawan podium sebagai pemenang buat kali kelima , menjadikan dia sebagai pelumba paling banyak menjadi juara peringkat sepanjang sepuluh perlumbaan.
Guardini menamatkan perlumbaan dengan catatan masa 2 jam 24'30", meninggalkan pemenang peringkat kelapan Robert Forster dari pasukan United Healthcare Pro Cycling (UHC) dan tempat ketiga diraih oleh pelumba tempatan dari pasukan Terengganu Cycling (TSG) Anuar Manan.
Paling manis, Guardini dengan rasminya dinobatkan sebagai Raja Pecut 2011 (Jersi Biru) dengan mengumpul 117 mata keseluruhan, meninggalkan 16 mata di depan pencabar terdekat Anuar (101 mata) yang terpaksa melupakan hasrat untuk meraih jersi yang menjadi miliknya tahun lalu.
Bagi kategori Pelumba Terbaik Keseluruhan Asia (Jersi Putih), pelumba dari pasukan Azad University Cycling (IUA), Rahim Emami mendahului pelumba Asia lain dengan mencatat masa keseluruhan 30 jam 09'22".
Selain itu, bagi kategori pasukan terbaik keseluruhan, Tabriz Petrochemichal (TPT) membuktikan penguasaan pada tahun ini apabila mengumpul masa terbaik keseluruhan pasukan 90 jam 30'59", diikuti satu lagi pasukan dari Asia, Azad University Team dan ketiga pasukan Chipotle Development (CDT), manakala pasukan kebangsaan Malaysia hanya mampu berada di tangga ke-21 daripada 23 pasukan.-theStarOnline

Isnin, 31 Januari 2011

Shpilevsky Raih Juara Peringkat Kesembilan


NILAI: Perlumbaan peringkat kesembilan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2011 menyaksikan pelumba pasukan Tabriz Petrochemichal, Boris Shpilevsky menamatkan perlumbaan di tempat pertama pada saingan dari Bandar Melaka ke Nilai, Isnin.
Shpilevsky mencatat masa 2 jam 40 minit 52 saat, dua saat di depan Perrig Quemeneur dari pasukan Team Europcar, diikuti tempat ketiga Robert Forster (United Healthcare Pro Cycling).
Sebelum itu, perlumbaan permulaan terpaksa ditangguhkan pada pukul 12 tengah hari akibat banjir di beberapa lokasi sehingga memaksa pihak penganjur mengubah laluan dari kilometer 18 hingga 80 iaitu Alor Gajah, Durian Tunggal hingga Linggi dan Rantau.
Dengan laluan baru ini, Shpilevsky akhirnya berjaya mencapai sasarannya untuk kemenangan podium selepas berada di tempat kedua pada peringkat kedua (Kangar-Butterworth).
"Pada perlumbaan hari ini, saya memang tidak menyasarkan untuk jadi pemenang kerana sedar saingan semakin sengit. Apa yang saya lakukan hanya fokus untuk menamatkan perlumbaan.
"Memang tidak dinafikan kayuhan hari ini lebih pantas daripada biasa kerana tidak ada zon pendakian. Ini menyebabkan setiap pasukan boleh mengatur strategi dari awal perlumbaan lagi," katanya kepada media selepas tamat perlumbaan.
Shpilevsky berkata, kejayaan ini merupakan pencapaian yang terbaik sejak lapan peringkat sebelum ini. Saya berterima kasih kepada rakan sepasukan yang membantu dalam melancarkan perlumbaan hari ini," katanya.
Peringkat sembilan ini juga menyaksikan jarak perlumbaan turut berubah dari 151.7 km berubah menjadi 127km disebabkan perubahan laluan.
Sementara itu, kategori Raja Bukit (Jersi Biru) pelumba dari Farnase Vini-Neri Sottoli, Andrea Guardini kukuh menguasai kategori itu selepas mengumpul 99 mata keseluruhan, meninggalkan jauh pelumba Terengganu Cycling Team, Anuar Manan ditempat ketiga (76 mata), manakal tempat kedua diambil alih pelumba Tabriz Petrochemichal Team, Boris Shpilevsky (80 mata).
Bagi Jersi Kuning (Pelumba Terbaik Keseluruhan), Jonnatha Monsalve (Androni Giocattoli) tampaknya semakin mengukuh kedudukan dengan mengumpul catatan masa terbaik keseluruhan, 27 jam 44'27", kelebihan lima saat di depan pelumba benua dari Malaysia, Le Tua Cycling Team, Libardo Nino Corredor.
Selain mengekalkan Jersi Kuning dua hari berturut-turut, Monsalve juga turut memegang gelaran Raja Bukit (Jersi Merah) dengan keadaan agak selesa selepas mengumpul 45 mata, manakala pelumba Azad University Cycling Team, Rahim Emami di tangga kedua (35 mata).
Jersi Putih selaku Pelumba Terbaik Malasia pula masih mendahului kedudukan bagi semua pelumba Asia lain apabila Emami mengukuhkan penguasaan dengan catatan masa keseluruhan 25 jam 03'36", meninggalkan 30 saat pelumba dari Hossien Askari (Tabriz Petrochemical Team).
Selain itu, pasukan Azad University masih menguasai bagi kedudukan keseluruhan pasukan, diikuti Tabriz Petrochemichal Team dan ketiga Chipotle Development Team.
Pasukan Azad University juga turut berada di kedudukan teratas bagi pasukan Terbaik Asia, diikuti pasukan Max Success Sports.
Perlumbaan terakhir peringkat kesepuluh, Selasa bakal bermula di Universiti Teknologi Mara (UiTM) menuju ke Kuala Lumpur (Dataran Merdeka) dengan jarak 104.6km.
Pelumba-pelumba bakal menghadapi dua Zon Pendakian (Bukit Cahaya Alam dan Puncak Alam) dan tiga Zon Pecutan di Paya Jaras serta di Kuala Lumpur. - mStarOnline

Ahad, 30 Januari 2011

Foster kuasai peringkat lapan, Monslave rampas jersi kuning


JASIN 30 Jan. – Pelumba Jerman, Robert Foster mempamerkan kehandalan berkayuh dalam keadaan cuaca hujan apabila mencipta kemenangan sulung pada peringkat kelapan perlumbaan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2011 di sini, hari ini.

Pelumba pasukan United Healthcare Pro Cycling Team itu menampilkan kayuhan bertenaga untuk melepasi kelompok utama sebelum sampai ke garisan penamat dengan catatan masa tiga jam 23 minit dan 32 saat.

"Walaupun sentiasa hujan tetapi tidak sejuk dan lebih baik daripada berlumba dalam keadaan panas sebelum ini,“ kata pelumba berusia 33 tahun itu selepas menamatkan saingan sejauh 156.6 kilometer dari Kuala Pilah ke Jasin.

Sementara itu, kedudukan pelumba terbaik keseluruhan berubah apabila pelumba Venezuela, Jonnatha Monsalve merampas jersi kuning dari pelumba Colombia, Libardo Nino Coprredor.

Monsalve juga mengekalkan jersi merah selaku pendahulu Raja Bukit dengan catatan masa terkumpul 25 jam tiga minit dan 12 saat selepas lapan peringkat perlumbaan.

Pelumba Itali, Andrea Guardini dari pasukan Farnese Vini-Neri Sottoli mengekalkan jersi biru (Raja Pecut) dengan 96 mata, manakala jersi putih disandang oleh pelumba Iran, Rahim Emami, selaku pelumba terbaik Asia. – Bernama

Sabtu, 29 Januari 2011

LTdL: Anuar Keciciran


Hari ini perlumbaan peringkat ke7 Le Tour de Langkawi 2011 dari Banting ke Tampin.

Pelumba pasukan Farnese Vini, Andrea Guardini memenangi perlumbaan hari ini bagi kali ke4 dan merampas kembali  jersi biru sebagai raja pecut daripada pelumba Terengganu ProAsia Cycling, Anuar Manan yang menduduki tempat ke-24 dalam perlumbaan sejauh 149.5 kilometer itu.

Jersi kuning selaku pendahulu keseluruhan masih milik pelumba pasukan Le Tua Cycling, Nino Corredor.


Jumaat, 28 Januari 2011

Guardini Kembali Kuasai Podium Peringkat Keenam


PUTRAJAYA: Pelumba Itali, Andrea Guardini dari pasukan Farnese Vini-Neri Sotttoli (FAR) sekali lagi menaiki podium sebagai pemenang peringkat keenam perlumbaan Le Tour de Langkawi (LTdL) dari Rawang ke Putrajaya, Jumaat.
Guardini menamatkan perlumbaan dalam masa sejauh 106.7 kilometer ini dalam masa 2 jam 14 minit 59 saat.
Walau bagaimanapun pemenang peringkat pertama dan kedua ini gagal mengekalkan gelaran Raja Pecut (Jersi Biru) apabila pakar pecut negara, Anuar Manan dari pasukan Terengganu Cycling Team (TSG) mengutip mata penuh pada zon pecut pertama (Ulu Klang) sekali gus mendahului satu mata keseluruhan (70 mata).
"Perasaan gembira kerana sekali lagi berjaya menjadi pemenang peringkat ini dengan mendahului pelumba-pelumba lain. Saingan ini bukan mudah kerana semua pelumba melakukan pecutan, namun rakan sepasukan saya, Takashi Miyazawa telah membantu menarik saya ke depan 8 km sebelum ke garisan penamat.
"Walaupun gagal untuk terus menyimpan Jersi Biru dengan Anuar kelebihan satu mata, tetapi saya yakin akan kembali mengejarnya pada perlumbaan seterusnya," katanya selepas tamat perlumbaan.
Tempat kedua bagi perlumbaan peringkat ini diraih Anuar Manan, manakala tempat ketiga oleh Miyazawa.Bagi kategori pelumba terbaik keseluruhan, Jersi Kuning masih dipegang oleh pelumba Le Tua Cycling Team (L2A), Libardo Nino Corredor ( 18 j 14"45") dengan kelebihan dua saat mendahului Jonnatha Monsalve dari pasukan Androni Giocattoli (AND).
Bagi kategori Terbaik Asia (Jersi Putih), Rahim Emami dari Azad University Team (UIA) masih mendahului pelumba-pelumba Asia yang lain dengan catatan masa keseluruhan 18 j 15'07".
Gelaran Raja Bukit (Jersi Merah ) dipegang kemas oleh Monsalve dengan 45 mata keseluruhan.
Selain itu, tiga pelumba pasukan Malaysia, Mohd Nur Rizuan Zainal berjaya menamatkan saingan dalam kedudukan ke-10, Ahmad Fakhrullah Alias (ke-16) dan Amir Mustafa Rusli berada di kedudukan ke-19.
Bagi pasukan terbaik keseluruhan, skuad Azad University Cycling Team (UIA) berada di tempat pertama, diikuti pasukan Tabriz Petrochemichal Team (TPT) dan ketiga Chipotle Development Team (CDT).
Pasukan Asia Terbaik pula diketuai pasukanUIA, kedua Max Success Sports Cycling Team (MSS) dan ketiga TPT.Perlumbaan peringkat ketujuh LTdL akan diteruskan, Sabtu dari Banting ke Tampin dengan jarak 149km. - mStarOnline

Gelaran Raja Pecut Milik Anuar


PUTRAJAYA: Gelaran Raja Pecut (Jersi Biru) akhirnya menjadi milik pakar pecut negara, Anuar Manan dari pasukan Terengganu Cycling Team (TSG) pada perlumbaan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2011 peringkat keenam dari Rawang-Putrajaya, Jumaat.
Sebelum ini Anuar berkongsi mata dengan pemegang jersi biru bagi peringkat satu hingga lima, Andrea Guardini dari pasukan Farnese Vini-Neri Sotttoli (FAR) 51 mata, namun dia bangkit kembali selepas 'berehat' pada dua zon pendakian (peringkat keempat dan kelima).
Perlumbaan hari ini menyaksikan Anuar berjaya mengutip mata penuh (5 mata) pada zon pecut pertama di Ulu Klang sekaligus mengumpul 70 mata keseluruhan, kelebihan satu mata di depan Guardini.
Bagaimana pun Anuar sedikit kecewa kerana gagal menjadi pemenang peringkat keenam ini dan hanya menamatkan perlumbaan di tangga kedua, di belakang Guardini.
"Saya sedikit kecewa kerana sememangnya sasaran saya hari ini untuk menjadi pemenang peringkat perlumbaan, tetapi gagal sekali lagi. Pun begitu saya tetap gembira kerana berjaya merampas jersi biru daripada Guardini.
"Masih ada lagi empat peringkat perlumbaan dan saya akan cuba sedaya upaya untuk menjadi pemenang salah satu peringkat perlumbaan," katanya kepada pemberita selepas perlumbaan tamat.
Pelumba kelahiran Terengganu itu turut mengakui bahawa persaingan semakin sengit, lebih-lebih lagi untuk mengekalkan gelaran Raja Pecut ini.
"Tekanan pastinya ada kerana setakat ini saya hanya kelebihan satu mata dengan Guardini, serta saingan daripada pelumba-pelumba yang turut melakukan pecutan. Tidak mustahil untuk saya melakukan sesuatu yang lebih baik kerana rakan-rakan dalam pasukan saling bekerjasama dan banyak membantu saya dalam perlumbaan ini," katanya -mStarOline

Jumaat, 12 November 2010

Kereta dirempuh treler

REMUK...anggota polis memeriksa kereta arwah yang remuk dirempuh treler
Daud Ibrahim

REMBAU: Bekas jaguh lumba basikal negara, Dawod@Daud Ibrahim, terbunuh selepas kereta dipandunya terbabit dalam kemalangan dengan treler di Kilometer 232.6, Lebuhraya Utara-Selatan (Plus), awal pagi semalam.

Dalam kejadian jam 1.15 pagi itu, Dawod, 63, yang juga bekas jurulatih basikal kebangsaan mati di tempat kejadian kerana cedera parah di beberapa bahagian badan. 

Kejadian dipercayai berlaku apabila Proton Saga dipandu mangsa dalam perjalanan pulang ke Muar, Johor, dilanggar dari belakang treler.

Anak ketiga mangsa, Mohd Firdaus, 27, berkata, bapanya tidak menunjukkan sebarang perubahan ketika mereka berjumpa tengah hari kelmarin sebelum bapanya ke Kuala Lumpur kerana urusan perniagaan.

“Pada pertemuan Aidilfitri lalu, ayah berpesan supaya menjaga ibu tiri serta adik-beradik lain dengan baik dan tidak mahu ada perbalahan apabila dia tiada nanti.

“Saya menerima berita kejadian yang menimpa ayah jam 3 pagi selepas dimaklumkan polis Muar,” katanya ditemui di Rumah Mayat Hospital Tampin, semalam.

Turut melawat jenazah mangsa pelumba basikal serta sahabat handai termasuk jurulatih lumba basikal negara, Datuk Ng Joo Ngan. Allahyarham meninggalkan seorang balu, Rani Jurah, 22, dan 13 anak serta tiga cucu.

Sementara itu Joo Ngan berkata, sepanjang mengenali Dawod sejak 40 tahun lalu, arwah seorang disegani serta disenangi termasuk di kalangan anak didik dan pemergiannya kehilangan kepada sukan lumba basikal negara.

Allahyarham membuat penyertaan sulungnya pada Sukan SEAP 1969 di Rangoon, mula menempa nama apabila meraih pingat emas dalam acara 1,600 meter di Sukan Asia pada 1970.

Setahun kemudian, Dawod menguasai acara lumba basikal apabila meraih lima pingat emas Sukan SEAP di Kuala Lumpur serta pernah mewakili negara ke Sukan Komanwel Ketujuh di Christcurch, New Zealand pada 1974 dan Sukan Olimpik 1972 di Munich.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintendan Mizan Md Dom berkata berdasarkan siasatan awal, mangsa yang memandu seorang diri dan dalam perjalanan menghala ke selatan, terbabit dalam kemalangan dengan sebuah treler yang bergerak dalam arah sama. - myMetro

Takziah buat keluarga mangsa.......al-fatihah buat arwah......


Iklan Mangga