KUALA LUMPUR: Pelumba Androni Giocatti (AND), Jonnatha Monsalve dinobatkan sebagai Pelumba Terbaik Keseluruhan perlumbaan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2011 sekaligus menyarung Jersi Kuning secara mutlak selepas tamat perlumbaan akhir dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam ke Dataran Merdeka , Selasa.
Monsalve mencatat masa keseluruhan sepanjang sepuluh hari perlumbaan 30 jam 08 minit 57 saat, lima saat di depan mendahului pelumba benua Malaysia, Le Tua (L2A) Libardo Nino Corredor (30j09'02"), manakala tempat ketiga terbaik dipegang oleh pelumba Emanuele Sella dari pasukan Androni Giocattoli (AND) dengan catatan masa 30j09'21".
Pelumba kelahiran Venezuela ini bukan sahaja menjadi pelumba terbaik keseluruhan, malah turut menyimpan Jersi Merah selaku Raja Bukit yang dimenangi sejak peringkat kelima (Tapah -Genting Highlands).
"Ini adalah kejayaan pertama sebagai pelumba profesional dan ia adalah jalan terbaik bagi permulaan karier saya.
"Saya sangat teruja dengan kejayaan ini, bukan bukan sahaja bergelar Raja Bukit, tetapi menjadi juara keseluruhan perlumbaan ini," katanya pada sidang media selepas tamat perlumbaan.
Sementara itu, pada perlumbaan akhir peringkat kesepuluh ini menyaksikan pelumba Farnese Vini-Neri Sottoli (FAR), Andrea Guardini membuktikan kehebatannya sebagai pakar pecut apabila sekali lagi menawan podium sebagai pemenang buat kali kelima , menjadikan dia sebagai pelumba paling banyak menjadi juara peringkat sepanjang sepuluh perlumbaan.
Guardini menamatkan perlumbaan dengan catatan masa 2 jam 24'30", meninggalkan pemenang peringkat kelapan Robert Forster dari pasukan United Healthcare Pro Cycling (UHC) dan tempat ketiga diraih oleh pelumba tempatan dari pasukan Terengganu Cycling (TSG) Anuar Manan.
Paling manis, Guardini dengan rasminya dinobatkan sebagai Raja Pecut 2011 (Jersi Biru) dengan mengumpul 117 mata keseluruhan, meninggalkan 16 mata di depan pencabar terdekat Anuar (101 mata) yang terpaksa melupakan hasrat untuk meraih jersi yang menjadi miliknya tahun lalu.
Bagi kategori Pelumba Terbaik Keseluruhan Asia (Jersi Putih), pelumba dari pasukan Azad University Cycling (IUA), Rahim Emami mendahului pelumba Asia lain dengan mencatat masa keseluruhan 30 jam 09'22".
Selain itu, bagi kategori pasukan terbaik keseluruhan, Tabriz Petrochemichal (TPT) membuktikan penguasaan pada tahun ini apabila mengumpul masa terbaik keseluruhan pasukan 90 jam 30'59", diikuti satu lagi pasukan dari Asia, Azad University Team dan ketiga pasukan Chipotle Development (CDT), manakala pasukan kebangsaan Malaysia hanya mampu berada di tangga ke-21 daripada 23 pasukan.-theStarOnline
Tiada ulasan:
Catat Ulasan