slmt dtg

Pengikut

ads by mangga

HBeat

Selasa, 6 Disember 2011

Tahap kecergasan Chong Wei menurun


PRESTASI jaguh perseorangan badminton negara, Datuk Lee Chong Wei akan kembali berada di puncak menjelang Mac atau April tahun depan.
Jurulatih perseorangan negara, Tey Seu Bock berkata, ketika ini Chong Wei masih lagi dalam proses pemulihan selepas mengharungi banyak kejohanan sepanjang tahun ini.
Jelasnya, dalam masa terdekat ini, agak sukar buat Chong Wei untuk kembali ke tahap terbaiknya kerana pemain berusia 29 tahun itu memerlukan masa bagi menjalani proses pemulihan terutama fizikalnya.
"Saya tidak nafikan, Chong Wei ketika ini memang keletihan selepas apa yang dilalui sepanjang tahun ini.
"Saya tidak mahu memberikan sebarang tekanan kepada Chong Wei. Biarlah dia menjalani proses pemulihan secara berperingkat kerana jika terlalu tertekan, ia boleh mengundang risiko buat dirinya," jelas Seu Bock.
Andai dibuat penilaian berdasarkan kenyataan yang diberikan Seu Bock itu, Chong Wei berkemungkinan gagal dalam misinya untuk mempertahankan kejuaraan pada Kejohanan Badminton Siri Super Akhir di Liu Zhou, China bermula 12 Disember ini.
Malah, peluangnya untuk merangkul kejuaraan ketujuh pada Terbuka Malaysia 2012 Januari tahun depan juga agak tipis.
Ini kerana, prestasinya masih belum kembali berada pada tahap sebenar bagi mengharungi dua kejohanan tersebut.
Bagaimanapun, Seu Bock menjelaskan bahawa apa yang paling penting ketika ini adalah persiapan Chong Wei bagi memburu pingat emas pertama buat kontinjen Malaysia pada temasya Sukan Olimpik 2012 di London.
"Saya tak cakap Siri Super Akhir dan Terbuka Malaysia tidak penting buat Chong Wei. Dia akan beraksi seperti biasa dalam dua kejohanan tersebut tetapi saya lebih memikirkan mengenai persiapan ke Sukan Olimpik nanti.
"Saya tidak mahu mengambil sebarang risiko. Seperti saya katakan, Chong Wei memerlukan masa untuk kembali berada pada tahap terbaiknya.
"Jadi, saya menjangkakan dia akan berada pada tahap prestasi terbaik pada Mac atau April dan mengekalkannya sehingga berlangsungnya Sukan Olimpik.
"Jika kita lihat, prestasi Chong Wei tahun ini mula berada di puncak ketika dia memenangi Seluruh England Mac lalu dan selepas itu aksinya cukup konsisten sehinggalah Terbuka China bulan lalu.
"Sebab itu, jika boleh saya mahu dia melakukan perkara yang sama tahun depan kerana Sukan Olimpik akan bermula pada Julai," kata Seu Bock.
Sebelum ini, faktor keletihan dianggap sebagai punca terhadap kemerosotan prestasi Chong Wei sehingga memaksa pemain No. 1 dunia itu menarik diri daripada beraksi pada Grand Prix (GP) Emas Terbuka Macau minggu lalu.
Ini kerana, Chong Wei terpaksa mengharungi jadual kejohanan yang padat sehingga menyaksikan dia gagal mara ke pentas final apabila tewas pada peringkat separuh akhir Terbuka Hong Kong pada 20 November dan Terbuka China lima hari kemudian.
Paling memeritkan, dia tewas kepada seteru utama, Lin Dan. - KOSMO

Majalah dakwa gambar aktres Pakistan tulen


GAMBAR yang dirakamkan pada 15 November lalu 
menunjukkan Veena Malik bergambar di lokasi penggambaran filem All U need. Love di Mumbai.

NEW DELHI, India - Pihak pengurusan majalah FHM versi India mempertahankan muka depan isu terbaharunya yang menampilkan aktres Pakistan, Veena Malik berbogel dengan lengannya dicacah tatu ISI iaitu singkatan untuk agensi perisikan Pakistan.
Majalah FHM edisi Disember masih belum berada di pasaran tetapi prebiu majalah berkenaan di laman webnya menimbulkan kontroversi terutamanya selepas Veena menafikan dia bergambar bogel.
Malah, aktres berkenaan menuduh FHM menggunakan teknik pertindihan gambar untuk mengubah imejnya.
Mengulas isu tersebut, pengarang FHM India, Kabeer Sharma memberitahu agensi berita AFP bahawa dia keliru dengan tuduhan aktres itu.
"Mungkin tindakan dia bergambar bogel itu telah memakan diri justeru, dia menafikannya.
"Kulit majalah ini tulen. Ia menampilkan tubuh sebenar Veera, dia memiliki tubuh yang hebat," kata Sharma.
Perbuatan berbogel untuk filem dan majalah masih tidak dapat diterima oleh komuniti India apatah lagi rakyat Pakistan yang majoritinya beragama Islam.
Veera yang sudah lama menceburi industri perfileman Pakistan, Lollywood, terkenal di India selepas muncul dalam program televisyen Big Boss yang diadaptasi daripada program realiti popular Big Brother di Eropah. - Agensi

Adik Apek meninggal akibat demam panas


Khairul Fahmi mengusung jenazah adiknya

KOTA BHARU: Kontroversi membabitkan dirinya baru saja reda, namun penjaga gol negara, Khairul Fahmi Che Mat, sekali lagi berdepan dugaan besar apabila menerima berita sedih kematian adik lelakinya yang meninggal dunia akibat demam panas, semalam.

Mohd Amirul Izat, 16, meninggal dunia di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian di sini, jam 11.30 pagi semalam selepas hampir 23 hari tidak sedarkan diri.

Allahyarham yang juga anak sulung kepada isteri kedua bapa penjaga gol kebangsaan itu dimasukkan ke hospital berkenaan sejak 10 November lalu, sebelum dipindahkan ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) pada 15 November lalu.

Dia yang pada mulanya disyaki menghidap demam denggi, sekali lagi dirujuk ke HUSM sebelum disahkan meninggal dunia.

Che Mat Hussin, 58, berkata, anak sulung dari dua beradik hasil perkongsian dengan isteri keduanya, Hasnah Mahmood, 47, disemadikan di Tanah Pekuburan Islam Kampung Pohon Tanjung kira-kira satu kilometer dari rumah Hasnah di Kampung Pak Lah dekat Wakaf Mek Zainab di sini, semalam.

Katanya, arwah yang begitu rapat dengan abangnya (Khairul Fahmi) dirujuk ke HUSM dan menjalani pembedahan pada leher selain melalui prosedur memasukkan alat untuk mengeluarkan kuman yang dikatakan menyerang otaknya. 

Menurut Che Mat, kematian anaknya itu dimaklumkan kepada Khairul Fahmi yang ketika itu berada di Kuala Lumpur menjalani latihan rutin harian menghadapi Sukan Olimpik.

Ketika ahli keluarga Che Mat menuju ke tanah perkuburan, kenderaan dinaiki Khairul Fahmi tiba 10 minit kemudian dan penjaga gol kebangsaan itu sempat mengusung jenazah adik lelakinya diiringi ahli keluarga lain.

Sementara itu, Khairul Fahmi berkata, kali terakhir beliau bertemu adiknya sebelum Aidiladha lalu dan sempat beramah mesra dengan seluruh ahli keluarganya.

“Walaupun rapat, kami jarang bertemu kerana sibuk menjalani latihan dan saya hanya sempat memberikan baju sebagai hadiah hari raya,” katanya. - myMetro

Jumaat, 2 Disember 2011

Search Bakal Gegarkan Pentas Di Borneo


Kumpulan Search
PETALING JAYA: Kumpulan rock lagenda, Search akan bertemu dengan peminat-peminat setia mereka menerusi siri jelajah Konsert Fenomena Search 30 Tahun pada Sabtu ini di Stadium Larkin, Johor Bahru dan seterusnya di Padang Astaka, Petaling Jaya (17 Disember) selepas siri jelajah yang telah pun berlangsung dengan jayanya di Stadium Batu Kawan, Pulau Pinang.
Menurut ketua kumpulannya, Nasir, peminat-peminat di negeri Sabah dan Sarawak juga tidak ketinggalan untuk menyaksikan persembahan mantap mereka dimana ia akan berlangsung di Kompleks Sukan Tawau (24 Disember) dan pada 31 Disember ini pula di Stadium Negeri Kuching.
"Kami akan menyampaikan sebanyak 20 buah lagu yang pernah popular, dipetik daripada album-album yang pernah dihasilkan sebelum ini.
"Dari segi produksi, kami menjanjikan satu kelainan pada rekabentuk pentas, penggunaan sistem bunyi serta lampu. Insya-Allah kami akan memberikan yang terbaik dengan segala persiapan yang dibuat kerana ini adalah cara Search menunjukkan penghargaan kami terhadap sokongan mereka yang tidak berkesudahan,"katanya.
Selain Nasir yang juga merupakan pemain gitar bass, Search dianggotai oleh Amy (vokalis), Nordin (gitar kedua), Nordin (Gitar kedua) dan Yazit (Dram).
Tambah Amy pula, Search berjanji menghadiahkan persembahan paling istimewa untuk peminat-peminat mereka pada konsert yang dianjurkan oleh Universal Credential Sdn. Bhd. dan Nova Music (M) Sdn. Bhd itu.
"Kami sangat berbangga dengan pencapaian terutama sekali kerana dapat kekal bersama selama TIGA dekad dalam industri muzik tanah air, pada masa yang sama memelihara muzik rock di Malaysia," ujarnya.
Kumpulan ini mempunyai pengaruh yang besar kepada seluruh peminat mereka malah lagu-lagu hit seperti Cinta Buatan Malaysia, Meniti Titian Usang, Fenomena, Rozana, Mentari Merah di Ufuk Timur dan Isabella masih lagi digilai ramai termasuklah peminat di kalangan anak muda.
Sementara itu, tiket konsert yangt dijual dengan harga semurah RM25 boleh ditempah melalui talian 013 800 3030. Senarai penuh lokasi jualan tiket boleh dilihat dalam laman sosial Facebook – FENOMENA SEARCH 30. - mStarOnline

Safiq anggap anugerah penyuntik baru karier


KEGIGIHAN perancang utama negara, Safiq Rahim membuahkan hasil apabila dia dinobat Pemain Tengah Terbaik pada Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 201, kelmarin.

Pemain berusia 24 tahun itu yang kini menjalani latihan bersama kelab Wales, Kelab Bola Sepak Cardiff City sudah mengukuhkan namanya di peringkat Asia Tenggara sejak beberapa tahun lalu.

Justeru bukan sesuatu yang mengejutkan apabila pemain kelahiran Negeri Sembilan itu menerima pengiktirafan atas persembahannya untuk kelab dan negara.

Anugerah pemain tengah terbaik tepat pada masanya buat Safiq yang kini berusaha memikat pengurusan Cardiff.

Safiq gembira dengan anugerah yang diterima itu dan menyatakan ia sebagai kemuncak karier khususnya dalam tempoh 12 bulan lalu.

“Selepas segala usaha dan sedikit tuah, pastinya akan berjaya. 

“Saya bernasib baik kerana semua yang dirancang berjaya dilaksanakan.

“Saya banyak berkorban untuk berada di tahap ini. Apabila melihat semula masa lalu, saya berasa semua pengorbanan yang dilakukan berbaloi,” katanya.

Safiq tidak dapat menerima anugerah itu kerana menjalani latihan bersama Cardiff. Dia juga turut berada di Stadium Cardiff City untuk menyaksikan kelab Liga Kejuaraan itu mencatat kemenangan 2-0 ke atas kelab Liga Perdana, Blackburn Rovers untuk meraih tempat ke separuh akhir Piala Liga. - myMetro

Hilang permata berharga jika Khairul bersara awal


JURULATIH skuad Olimpik negara, Ong Kim Swee menyifatkan Malaysia akan kehilangan permata berharga jika penjaga gol nombor satu negara, Khairul Fahmi Che Mat membuat keputusan bersara awal akibat kontroversi melampau yang melanda dirinya.

Selaku antara individu yang cukup mengenali personaliti kapten skuad Olimpik itu, beliau merayu semua pihak khususnya media tempatan memberi ruang kepada Khairul Fahmi untuk memberi tumpuan kepada kerjaya sebagai pemain bola sepak.

“Apek (Khairul Fahmi) baru berusia 22 tahun, dia masih muda dan tidak dapat lari daripada melakukan kesilapan. Kita harus ingat dia banyak memberikan sumbangan besar kepada negara.

“Sifat hasad dengki manusia memang ada, dengan statusnya seperti ‘superstar’, sudah pasti akan ada anasir luar yang cuba menjatuhkan dia. 

“Kalau benar dia akan bersara awal selepas ini kerana tidak tahan dengan masalah di luar padang, kita sendiri yang akan rugi. Dia pemain berbakat dan mampu menjadi pengganti bekas penjaga gol negara sebelum ini seperti Datuk R Arumugam (mendiang) dan Rashid Hassan,” kata Kim Swee.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan Arena Metro semalam terhadap kenyataan Khairul Fahmi yang sebelum ini pernah terfikir untuk bersara awal apabila dirinya sering kali dihimpit kontroversi.

Terbaru membabitkan penyebaran lima keping gambarnya bermesra bersama seorang gadis yang tersebar menerusi beberapa blog hiburan.

Kim Swee turut meminta peminat terus memberi sokongan kepada Khairul Fahmi dan tidak mudah terpedaya dengan laporan yang dianggapnya tidak benar.

“Peminat jangan mudah terpengaruh sebaliknya teruslah beri sokongan bukan saja kepada Apek tapi juga kepada pemain lain. Saya kenal Apek sebagai pemain yang berdisiplin. Dia tidak pernah datang lewat ketika sesi latihan dan sebagai kapten, dia dihormati rakan sepasukan,” katanya.

Seperkara yang turut merisaukannya ketika ini adalah bintang baru, Muhammad Nazmi Faiz Mansor yang mula mendapat tumpuan peminat dan media. - myMetro

Khamis, 1 Disember 2011

Norshahrul terbaik


NORSHAHRUL (kiri) menerima anugerah MVP Supermokh daripada Timbalan Presiden FAM, Annuar Musa. Turut kelihatan ialah Ketua Pegawai Eksekutif F&N Holding Berhad, Ng Jui Sia (kanan).

NORSHAHRUL Idlan Talaha sekali lagi dinobatkan Pemain Paling Bernilai (MVP) Supermokh Liga Malaysia bagi musim 2011.
Penyerang Kelantan itu menerima pengiktirafan tersebut pada majlis tahunan Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 100PLUS-Astro Arena-FAM 2011 di sebuah hotel terkemuka di ibu negara semalam.
Ini merupakan kali kedua berturut-turut Norshahrul, 24, menjulang anugerah tersebut selepas kali pertama menggenggamnya tahun lalu.
Musim lalu, anugerah itu dinamakan sebagai Pemain Paling Bernilai sebelum ditukar kepada Anugerah MPV Supermokh tahun ini.
Ia merupakan pengiktirafan tertinggi buat pemain bola sepak tempatan.
Norshahrul menewaskan rakan sepasukan, Khairul Fahmi Che Mat dan pemain Selangor, Safiq Rahim yang turut dicalonkan untuk menerima anugerah berprestij itu yang mengambil nama legenda bola sepak negara, Allahyarham Mokhtar Dahari.
Selain menerima anugerah tertinggi itu, Norshahrul turut terpilih untuk menerima anugerah Penyerang Terbaik Liga Malaysia sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai RM5,000 serta trofi.
“Saya tidak sangka menang. Ia sangat hebat dan memang merupakan satu penghormatan yang amat besar bagi saya selepas memenangi anugerah pertama Supermokh ini.
“Kejayaan memenangi anugerah yang dinamakan sempena nama legenda bola sepak negara ini memang benar-benar hebat bagi saya memandangkan saya juga seorang pemain yang beraksi di posisi penyerang,” kata pemain yang berasal dari Besut, Terengganu itu.
Turut hadir pada majlis tersebut ialah Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tan Sri Annuar Musa dan Ketua Pegawai Eksekutif F&N Holding Berhad, Datuk Ng Jui Sia.
Sementara itu, ketua jurulatih baru Selangor, Irfan Bakti Abu Salim dipilih memenangi anugerah Jurulatih Terbaik.
Kemenangan tersebut adalah hasil kejayaannya membawa Terengganu muncul juara Piala FA musim ini selain kemaraan pasukan itu ke final Piala Malaysia sebelum tewas kepada Negeri Sembilan.
Khairul Fahmi pula dipilih sebagai pemenang anugerah Penjaga Gol Terbaik sementara Safiq Rahim (Selangor) dinobatkan sebagai Pemain Tengah Terbaik. - KOSMO

Iklan Mangga