KUALA LUMPUR - Siti Zalina Ahmad semalam membuat pendedahan yang mengejutkan mengenai punca kegagalannya mempertahankan pingat emas pada Sukan Komanwel XIX.
Dakwanya, wujud 'gangguan' daripada kem boling padang Malaysia sendiri hingga menyebabkan konsentrasinya pada hari terakhir terjejas teruk.
Bagaimanapun sebelum isu 'gangguan' yang didakwa Siti Zalina itu timbul, semangat sebahagian besar pemain negara sudahpun merudum ekoran tindakan Persekutuan Lawn Bowl Malaysia (PLBM) mengetepikan jurulatih kebangsaan, Mohd. Aziz Maswadi daripada kontinjen ke New Delhi pada saat akhir.
Tindakan tersebut memberi tamparan hebat kepada pemain, terutama yang berada di bawah bimbingan Aziz iaitu acara berpasangan dan perseorangan.
Natijahnya, keadaan di New Delhi menjadi huru hara, termasuk berlakunya perubahan kombinasi pada saat akhir sehingga mewujudkan suasana tidak selesa yang akhirnya membawa kepada kegagalan Malaysia membawa pulang walau sebutir pun daripada empat emas yang disasarkan.
"Sesuatu telah terjadi (pada hari terakhir). Ia menyebabkan saya sangat marah, tertekan dan akhirnya menganggu konsentrasi. Begitupun saya minta maaf kerana tidak dapat mendedahkan insiden itu dengan lebih terperinci,'' kata Siti Zalina, yang tidak dapat 'membuka mulut' kerana terikat dengan surat aku janji yang telah ditandatangani dengan persatuan.
Dia ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang sekembalinya dari New Delhi, semalam.
Bagaimanapun, kata pemain No. 3 dunia itu, dia merayu Presiden PLBM, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid agar memberi perhatian serius kepada masalah tersebut dan mendengar sendiri cerita dari mulut atlet yang bertanding pada Sukan Komanwel.
Sementara itu, pemain trio dan berpasangan wanita pula didakwa menjadi mangsa kekalutan pengurusan PLBM di New Delhi.
Kombinasi pemain berpengalaman, Norhashimah Ismail dan Nor Iryani Azmi dipecah pada saat akhir, biarpun kedua-dua pemain tidak melakukan latihan bersama.
Norhashimah digandingkan dengan Zuriani Khalid manakala Nor Iryani pula membarisi acara trio bersama Azlina Arshad dan Nur Fidrah Noh. Mujurlah, pengalaman besar Norhashimah sepanjang mewakili negara sejak Sukan Komanwel 1998 membantu acara berpasangan meraih pingat perak.
Namun, acara trio wanita, yang disasarkan emas gagal tersingkir pada suku akhir.
Aziz ketika dihubungi mengakui, kecewa melihat perkembangan di New Delhi dan berasa 'kasihan' kepada atlet kerana gagal meraih sebarang emas biarpun mereka mampu melakukannya.
Paling menyedihkan, adalah kegagalan Siti Zalina mempertahankan kejuaraan yang dimenangi di Manchester 2002 dan Melbourne 2006.
"Dalam apa sukan sekalipun, atlet memerlukan jurulatih. Ia bukan saja soal menaikkan semangat tetapi membuat keputusan berkaitan teknikal dan strategi.
"Ramai pemain menyuarakan rasa tidak gembira sebaik mendapat tahu nama saya diketepikan, masakan tidak kami telah bekerjasama rapat sepanjang persiapan ke Sukan Komanwel. Kami selalu berbincang mengenai teknikal dan strategi, malah saya sering menjadi tempat atlet mengadu masalah. Tetapi saya tiada kuasa apa-apa untuk membuat keputusan,'' ujar Aziz.
PLBM diberi tiga kuota untuk pegawai, satu dipenuhi oleh timbalan presiden, Jamal Abdul Nasir Bakar yang bertindak sebagai pengurus, satu lagi oleh Azizan Mohd. Zain (Naib Presiden PLBM, Penolong Pengurus) dan kuota ketiga diisi Ariffin Abdul Ghani selaku ketua jurulatih.
Majlis Sukan Negara (MSN) ketika diminta menjelaskan bagaimana nama Aziz boleh tercicir daripada pasukan menjelaskan, keputusan dibuat oleh PLBM.
"Kami sendiri sebenarnya tidak bersetuju apabila nama Aziz diketepikan, tetapi PLBM memberi hujah dalam boling padang pengurus juga boleh bertindak sebagai jurulatih.
"Biarpun tidak bersetuju dengan PLBM dalam soal jurulatih, tetapi MSN tidak mahu terlalu mencampuri keputusan persatuan, lagipun mereka sebelum ini mempunyai rekod baik apabila bertanding pada kejohanan individu sama ada dengan atau tanpa diiringi jurulatih,'' kata Pengarah Cawangan Elit MSN, Ariffin Ghani, yang mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Kerja antara MSN dengan PLBM.-Utusan Malaysia Online 19.10.10
Macam mana sukan nak maju kalau asyik ada pertelingkahan dalam persatuan.... banyak sangat politik......
Tiada ulasan:
Catat Ulasan