LONDON - Javier Hernandez menjaringkan gol pada minit terakhir perlawanan bagi membantu Manchester United layak ke suku akhir Piala Liga, selepas menang 3-2 ke atas Wolves, semalam.
Hernandez, yang menjaringkan dua gol ketika United menang ke atas Stoke City, sekali lagi menjadi hero Red Devils, apabila masuk sebagai pemain gantian pada sembilan minit terakhir perlawanan.
Penyerang berusia 22 tahun itu, yang kerap mengancam kubu Wolves sebaik sahaja dimasukkan, berjaya mengelirukan pertahanan lawan, sebelum melepaskan rembatan kencang pada minit ke-90.
United mendahului dua kali pada babak kedua melalui pemain Portugal terbaru, Bebe dan Park Ji-Sung, sebelum disamakan George Elokobi dan Kevin Foley.
Bos United, Alex Ferguson memuji prestasi Hernandez, selepas dia memastikan United mara untuk mempertahankan kejuaraan.
"Kami masih dalam proses membentuk Hernandez, tetapi dia cepat matang dan begitu profesional.
''Dia adalah orang pertama yang masuk ke dalam padang setiap kali latihan, juga orang terakhir meninggalkan padang.
''Jaringannya dalam setiap perlawanan, menunjukkan dia layak mendapat pujian.
''Dia seorang pemain yang tahu jika dia mendapat peluang, dia akan memanfaatkan peluang berkenaan.
''Dia mempunyai sikap positif setiap kali perlawanan. Dia adalah seorang pemain yang mahu belajar dan tahu cara untuk menjaringkan gol.
''Dia berusaha keras setiap hari dan layak mendapatkan gol pada penghujung perlawanan.
''Dia adalah hero terbaru United dan saya yakin dia boleh pergi lebih jauh, '' kata Wes Brown.
Dalam perlawanan pusingan keempat lain, impian Northampton untuk mara berkecai, apabila kalah 1-3 kepada Ipswich di Portman Road. - AFP
Tiada ulasan:
Catat Ulasan