Zuhairi menunjukkan tangan kanannya yang berbalut selepas lima jarinya tersepit mesin tebu ketika menerima rawatan di HSNZ, Kuala Terengganu semalam. |
KUALA TERENGGANU 17 Ogos - Seorang pemain bola sepak Piala Presiden pasukan T-Team tidak menyangka hasratnya mencari pendapatan sampingan bulan Ramadan ini, berakhir dengan tragedi apabila lima jari tangan kanannya putus akibat digilis mesin pengisar tebu.
Kejadian berlaku di Bazar Ramadan Marang, 7 Ogos lalu, ketika mangsa, Zuhairi Ahmad, 21, yang bermain di posisi pertahanan pasukan itu, bekerja seorang diri memasukkan ruas-ruas tebu ke dalam mesin itu, pukul 5.30 petang.
Namun tanpa disangka sangka, tangan kanannya tersangkut dan termasuk ke dalam mesin itu lalu digilis.
Menurut Zuhairi, dia yang menjerit kesakitan dan panik melihat tangannya berlumuran darah cuba mematikan suis mesin itu namun tidak berjaya kerana kedudukannya agak jauh.
"Saya menjerit dan meminta tolong tetapi tidak didengari oleh peniaga lain. Saya masih tidak perasan lima jari saya putus sehinggalah saya dapat tarik keluar tangan kanan," katanya ketika ditemui di wad Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini, hari ini.
Zuhairi berkata, dia berniaga di bazar Ramadan itu untuk mencari pendapatan sampingan dan ibunya, Maimun Salim, 52, mengeluarkan wang simpanan untuk membeli mesin tebu yang berharga RM1,300.
"Namun tak sangka pula baru pertama kali nak berniaga perkara ini pula berlaku. Apa yang saya risau masa depan saya dalam bola sepak kerana sukar saya kembali bermain dalam keadaan seperti ini," ujarnya.
Sementara itu, Maimun berharap agar pihak pengurusan T-Team yang juga majikan anaknya sedia membantu meringankan beban mereka sekeluarga.
"Ada orang kata, kalau hanya dua jari tangan yang putus, dia ((Zuhairi) masih boleh bermain bola lagi tetapi kalau kesemua lima jari di tangan kanannya putus, tidak tahulah apa nasibnya," ujarnya.
Sementara itu, Jurulatih Piala Presiden T-Team, Yusuf Ali, ketika dihubungi hari ini berkata, pihak pengurusan berusaha membantu Zuhairi dan memaklumkan perkara itu kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk tindakan lanjut.
"Kita juga akan panjangkan perkara itu kepada Yang Berhormat Menteri Besar untuk menentukan status Zuhairi sama ada boleh bermain atau tidak memandangkan kontrak dia juga sudah tamat pada Jun lalu," ujarnya. - UTUSAN
Tiada ulasan:
Catat Ulasan