KUALA LUMPUR: Walaupun serimg diapit dengan kontroversi, pelakon jelita Neelofa, bersyukur kerana dia masih lagi diterima dalam industri lakonan tempatan.
Menurut bekas juara Dewi Remaja 2011 itu, pada mulanya, dia risau apabila sering dikaitkan kontroversi yang negatif kerana ia mampu menjejaskan kariernya.
"Saya menyertai bidang hiburan tempatan kerana satu tujuan iaitu mahu mengukuhkan nama menerusi prestasi lakonan dan pengacaraan. Namun, ia tidak semudah yang disangkakan.
"Alhamdulillah, walaupun nama saya dikenali kerana kontroversi, tawaran lakonan juga tidak putus-putus," katanya.
Tambah pelakon filem SAM (Saya Amat Mencintaimu) itu, dia tahu, sebagai seorang selebriti yang dikenali umum, dia tidak boleh elak daripada sebarang gosip yang menimpanya.
"Saya percaya, kita tidak boleh elak kontroversi dan menjadi seorang selebriti bukannya mudah.
"Apa-apapun, selain kontroversi, saya juga mahu orang ramai melihat hasil kerja yang saya usahakan," ujarnya.
Selain itu, Neelofa turut menerima tawaran sebagai pengacara majlis dan juga kini dia sedang mengendalikan program hiburan terbitan KRU TV, Paparazzi bersama dua hos lain iaitu Aina Suzaily Zailanny dan Sharifah Sakinah.
"Saya juga sedang berjinak dalam bidang pengacaraan dan Paparazzi merupakan pengacaraan program pertama saya.
"Lagipun, matlamat saya ke bidang hiburan sebenarnya untuk menjadi seorang pengacara dan harap, bakat saya dapat dikembangkan dalam selain lakonan," tuturnya.
Paparazzi merupakan sebuah prgram hiburan yang menyampaikan berita-berita panas mengenai selebriti Malaysia dan Indonesia. Program tersebut disiarkan menerusi laman web www.tonton.com.my dan akan bersiaran di sebuah televisyen tidak lama lagi. - mStarOnline
Tiada ulasan:
Catat Ulasan