JAGUH negara, Datuk Lee Chong Wei (gambar) dipaksa bekerja keras sebelum mara ke pusingan kedua Kejohanan Badminton Siri Super Premier Terbuka Korea Selatan 2011.
Pemain nombor satu dunia itu yang baru bergelar juara Terbuka Malaysia 2011 Ahad lalu nyaris dikejutkan pemain Denmark, Jan O. Jorgensen pada pusingan pertama semalam.
Pada perlawanan tersebut, Jorgensen mengheret Chong Wei hingga ke set penentuan sebelum pemain kelahiran Pulau Pinang itu berjaya mencatatkan kemenangan 21-9, 18-21, 21-16.
Jika pada Terbuka Malaysia, Chong Wei mendapat suntikan semangat dengan kehadiran jurulatihnya, Datuk Misbun Sidek, di Korea Selatan dia hanya ditemani seorang lagi jurulatih perseorangan, Tay Seu Bock
Pada aksi pusingan kedua hari ini, Chong Wei akan berdepan cabaran pemenang pertemuan di antara pemain Korea Selatan, Park Sung-Hwan dan Przemyslaw Wacha dari Indonesia.
Sementara itu, seorang lagi perseorangan negara, Muhammad Hafiz Hashim gagal meneruskan kemaraan apabila tewas di tangan pemain Jerman, Marc Zwiebler 16-21, 13-21.
Begitupun, perseorangan wanita negara, Wong Mew Choo tidak menghampakan apabila turut melangkah ke pusingan kedua kejohanan selepas mengetepikan cabaran Liu Xin dari China, 21-18, 21-15.
Beregu lelaki negara, Mohd. Fairuzizuan Mohd. Tazari/Ong Soon Hock turut beraksi cemerlang apabila layak ke pusingan kedua setelah menundukkan pasangan Jerman, Ingo Kindervater/Johannes Schoettler 21-13, 20-22, 21-18.
Dua lagi beregu lelaki negara, Gan Teik Chai/ Tan Bin Shen serta Goh Wei Shem/ Teo Kok Siang pula terkandas pada pusingan pertama.
Teik Chai/Bin Shen tewas di tangan pasangan Denmark, Mathias Boe/Carsten Mogensen 20-22, 15-21 manakala Wei Shem/Kok Siang kecundang kepada Liu Xiaolong/Qiu Zihan dari China 13-21, 18-21.
Hasrat untuk menyaksikan beregu campuran negara mara ke pusingan kedua tidak kesampaian apabila Chan Peng Soon/Goh Liu Ying tewas di tangan He Hanbin/Yu Yang dari China 17-21, 12-21. - Kosmo
Tiada ulasan:
Catat Ulasan