CARROLL bergelut untuk menampilkan aksi terbaik sejak menyertai Liverpool dari Newcastle pada Januari 2011. |
LONDON - Liverpool menafikan laporan yang mendakwa Newcastle United bakal menandatangani semula bekas penyerang, Andy Carroll pada musim perpindahan bulan ini.
Carroll, 23, bergelut untuk menampilkan aksi terbaik sejak menyertai Liverpool dari Newcastle pada Januari 2011 dengan bayarah perpindahan berjumlah £35 juta (RM169 juta).
Untuk rekod, penyerang England itu hanya menjaringkan empat gol sepanjang 25 penampilan dalam kempen Liga Perdana England.
Menurut laporan beberapa akhbar di England semalam, masa depan Carroll di Anfield dilihat semakin tidak menentu.
Laporan tersebut turut mencadangkan skuad The Magpies kembali menandatangani penyerang tersebut.
Laporan akhbar itu juga mendakwa Newcastle bersedia untuk membuat tawaran berjumlah £10 juta (RM48.7 juta), sekali gus menyebabkan skuad The Reds kerugian sebanyak £25 juta (RM121.8 juta).
Bagaimanapun, pengurus Liverpool, Kenny Dalglish secara konsisten memberitahu masa depan Carroll di kelab Merseyside itu cerah.
"Tidak masuk akal (laporan media tersebut). Tidak ada apa-apa yang berlaku," menurut seorang jurucakap Liverpool semalam.
Sejak berpindah ke Liverpool, kehebatan Carroll dibayangi oleh bintang Liverpool, Luis Suarez.
Setakat ini, Carroll hanya menjaringkan enam gol daripada 31 perlawanan berbanding ketika beraksi bersama Newcastle (33 gol daripada 90 perlawanan).
Masalah kecederaan juga antara faktor yang menyebabkan prestasi Carroll yang tidak menentu. - Agensi
Tiada ulasan:
Catat Ulasan