TIEN GHEE (kiri) menyampaikan jersi Cardiff City kepada Subahan selepas majlis perasmian 1 Malaysia Cardiff City (1MCC) di Bukit Kiara Equestrian, Kuala Lumpur semalam. |
SETELAH sekian lama berteka-teki, masa depan dua pemain negara, Safee Sali dan Safiq Rahim bersama Cardiff City akhirnya terjawab semalam.
Meskipun kedua-dua pemain itu dilaporkan berjaya memikat hati pengendali skuad The Bluebirds, Malky Mackay sepanjang menjalani ujian bersama kelab itu sebelum ini, ‘jodoh’ mereka bersama pasukan tersebut jelas tidak berpanjangan gara-gara faktor usia dan masalah permit kerja.
Begitupun pemilik Cardiff, Datuk Chan Tien Ghee mahu semua pihak memandang positif perkara itu.
Katanya, tempoh latihan selama dua minggu bersama pasukan itu perlu dilihat sebagai suatu pendedahan yang bagus buat pemain- pemain negara.
Tien Ghee memberitahu, selepas mengenal pasti peraturan-peraturan berhubung isu permit kerja, pihaknya kini lebih bersedia untuk membawa pemain-pemain muda menjalani latihan di sana sebagai pendedahan dan pengalaman kepada pasukan negara.
“Safee (Sali) sendiri pernah menghantar teks kepada saya dengan mengatakan ‘bagaikan terbang tinggi ke langit’.
“Apa yang dimaksudkan oleh Safee itu adalah selepas dia menjalani sesi latihan bersama Cardiff (City), dia merasa satu jurang tahap permainan yang begitu berbeza.
“Saya percaya, pemergian kedua-dua pemain itu ke Cardiff bakal menjadi satu contoh untuk pemain-pemain muda negara yang lain.
“Mereka (Safee dan Safiq) harus berbangga kerana membuka jalan untuk pemain-pemain muda. Pihak Cardiff akan sentiasa berusaha untuk membantu pemain-pemain Malaysia.
“Terserah kepada mereka (untuk memilih hala tuju) sebagai pemain bola sepak profesional dan jika berminat untuk beraksi di luar negara, kami pasti akan membantu,” katanya pada sidang akhbar majlis perasmian 1 Malaysia Cardiff City (1MCC) di Bukit Kiara Equestrian, Kuala Lumpur semalam.
Turut hadir, pengurus dan jurulatih Harimau Malaya, Datuk Seri Subahan Kamal serta Datuk K. Raja- gopal, Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Azzuddin Ahmad dan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Zolkeples Embong.
Dengan jawapan Thien Ghee itu, peminat bola sepak tempatan kini sudah boleh melupakan hasrat untuk menyaksikan Safee dan Safiq beraksi di kancah saingan bola sepak England.
Namun pada masa sama, ilmu yang diperoleh kedua- dua pemain itu sepanjang ‘berguru’ di England haruslah dilihat dari sudut yang positif.
Sementara itu, Subahan yang turut menyokong pendapat Tien Ghee berkata, langkah itu dilihat sebagai satu platform yang sihat untuk terus melahirkan pemain-pemain negara berbakat.
Katanya, selain melihat kerjasama melalui FAM dan Cardiff, ia juga membantu meningkatkan imej pemain bola sepak negara di persada dunia melalui 1MCC.
“Dahulu, ramai yang mengatakan, menjadi pemain bola sepak negara tidak memiliki masa depan, namun tanggapan itu perlu diubah kerana dunia bola sepak moden dan saya menyokong pendapat Menteri Belia dan Sukan, Datuk Shabery Cheek yang berhasrat melahirkan pemain bola sepak bertaraf jutawan.
“Saya percaya selepas ini ramai lagi pemain muda seperti Muhammad Nazmi Faiz Mansor, Khairul Fahmi Che Mat dan Muhammad Fadhli Saas akan menyusul mencuba nasib di liga luar negara, sekali gus memberikan sinar kepada pembangunan bola sepak negara,” katanya. - KOSMO
Tiada ulasan:
Catat Ulasan