slmt dtg

Pengikut

ads by mangga

HBeat

Khamis, 12 Januari 2012

Safee sambung kontrak jika ISL jamin tak jejas karier


PENYERANG Harimau Malaya, Mohd Safee Sali dijangka menyambung kontrak bersama kelab Pelita Jaya FC jika kelab Liga Super Indonesia (ISL) itu boleh memberi jaminan kariernya bersama pasukan kebangsaan tidak terjejas.

Menurut pengurus pemain berusia 28 tahun itu, Zakaria Abd Rahim hingga kini perbincangan mengenai tawaran kontrak baru Safee yang tamat 31 Januari ini masih dijalankan dan hanya akan diputuskan apabila beliau mengadakan pertemuan sekali lagi dengan pihak pengurusan Pelita Jaya pada 22 Januari ini.

“Keputusan kontrak baru belum dibuat, setakat ini kami hanya mengadakan perbincangan mengenai tawaran mereka dan kemahuan Safee. 

“Segala perkara perlu diambil kira, termasuk permasalahan yang melanda PSSI (Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia) dan pihak kelab sedar Safee amat mengutamakan pasukan kebangsaan.

“Sememangnya Pelita Jaya berminat mengekalkan Safee tapi terpulang kepada kelab itu meyakinkan Safee dari semua aspek termasuk perjalanan liga, tempoh kontrak dan juga bayaran. 

“Soal masa semakin suntuk tidak timbul kerana Safee juga menerima tawaran lain termasuk yang terbaru, kelab dari Thailand,” katanya ketika dihubungi Arena Metro semalam.

Kebimbangan terhadap kedudukan Safee yang berhijrah ke Pelita Jaya, awal tahun lalu mula tercetus apabila PSSI menerusi Ketua Umumnya Djohar Arifin membuat keputusan drastik mengharamkan ISL sebaliknya mengiktiraf liga haram sebelum ini, Liga Premier Indonesia (IPL) sebagai liga utama.

Jika dikenakan tindakan oleh PSSI serta badan induk antarabangsa Fifa, pemain yang beraksi dalam ISL tidak akan dibenarkan menyarung jersi kebangsaan termasuk Safee.

Bagaimanapun Zakaria tetap menegaskan ISL masih berjalan seperti biasa dan Safee masih bebas daripada sebarang penggantungan.

“Safee masih fokus bermain dengan Pelita Jaya dan liga berjalan seperti biasa, tidak ada sebarang penggantungan. Bagaimana mereka nak gantung jika dua pertiga ahli PSSI tidak setuju. Jika masa depan Safee kabur di sana, saya orang pertama untuk tarik dia keluar,” katanya.

Safee yang dilantik sebagai kapten Pelita Jaya bagi musim ini sudah meledak empat gol dalam enam perlawanan untuk membantu kelabnya melonjak ke tangga kesembilan daripada 18 pasukan. - myMetro

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Iklan Mangga