TIGA atlit olahrata (dari kiri) Norjannah Hafizah, Nurul Sarah dan Mohd Noor Imran Abdullah Hadi yang 'melarikan diri' ke Bulgaria hadir ke Mesyuarat Jawatankuasa Siasatan KOM berhubung isu 'Anti-Doping' di Pejabat KOM, semalam. |
"KAMI berlari atas nama negara, tetapi mengapa diperlakukan begini,” demikian keluh atlit pecut, Norjannah Hafiszah Jamaluddin, semalam.
Dia yang sudah melayakkan diri beraksi acara 100 meter di Sukan SEA XXVI November ini mendedahkan elaun bulanan RM500 dan kemudahan penginapan dan makanan yang diterimanya bersama dua lagi rakan, Nurul Sarah Abdul Kadir serta Mohd Noor Imran Abdul Hadi ditarik balik Majlis Sukan Negara (MSN).
Tindakan MSN itu menyebabkan dia dan rakannya yang pernah menggemparkan olahraga negara apabila didakwa ‘melarikan diri’ daripada ujian anti doping Institut Sukan Negara (ISN) hujung Mei lalu, kini terpaksa ‘merempat’ dengan menumpang tidur di rumah saudara mara dan rakan.
“Mengapa hukum kami sedangkan kami belum dibuktikan bersalah. Lagipun, kami sudah menjalani ujian air kencing termasuk ujian darah ketika Kejohanan Dunia di Korea Selatan hujung bulan lalu dengan semua keputusan menunjukkan kami bebas daripada segala bahan larangan,” katanya.
Norjannah yang mara ke saringan kedua acara 100 meter selepas mengungguli saringan pertama di Kejohanan Dunia berkata, tindakan MSN itu bagaimanapun tidak mematahkan semangatnya dan rakan lain dalam mengibarkan Jalur Gemilang.
“Walaupun hidup kami tidak menentu dengan tindakan MSN itu, kami masih menggagahkan diri meneruskan latihan untuk membuat persiapan rapi supaya mampu memberikan cabaran bermakna di Sukan SEA nanti,” katanya.
Sementara itu, jawatankuasa yang ditubuhkan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) yang bersidang semalam bagi menyiasat cerita sebenar di sebalik enam atlit melarikan diri daripada ujian anti doping, menyifatkan mereka sudah mendapat gambaran sebenar.
“Semua enam atlit hadir memberi keterangan termasuk jurulatih Harun (Rasheed). Jadi, kami sudah dapat gambaran sebenar apa yang berlaku. Jawatankuasa akan bersidang semula 27 September ini bagi melengkapkan laporan sebelum menyerahkan kepada KOM untuk tindakan susulan,” kata pengerusi jawatankuasa itu yang juga Naib Presiden KOM, R Annamalai. - BHarian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan