PETALING JAYA: Kesihatan penyanyi Marsha Milan Londoh, 26 yang mendapat rawatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) pada 7 September lalu beransur pulih, namun masih berada di bawah pengawasan pihak hospital.
Penyanyi yang popular dengan lagu Ruang Kedua ini juga akan berehat dari segala aktiviti seni buat sementara waktu sehingga dia pulih sepenuhnya.
"Setelah menerima beberapa rawatan daripada pihak hospital, Marsha menunjukkan tanda-tanda positif dan semakin pulih. Beliau sudah boleh makan dan bertutur seperti biasa. Walau bagaimanapun Marsha masih di bawah pengawasan pihak hospital.
"Segala aktiviti seninya akan dihentikan buat seketika dan dia akan kembali aktif setelah sihat sepenuhnya dan juga mendapat kebenaran doktor," kata satu kenyataan yang dihantar oleh pihak pengurusan Marsha Londoh Entertainment kepada mStar Online, di sini, Selasa.
Kenyataan tersebut turut menafikan spekulasi yang mendakwa penyanyi tersebut bertindak membunuh diri dengan menelan pil akibat mengalami tekanan perasaan kerana putus cinta.
Kata kenyataan itu, Marsha telah dikejarkan ke PPUM oleh pihak pengurusan kediamannya di Taman Desa dekat sini pada pukul 11 pagi hari kejadian setelah ditemui pengsan berdekatan tempat letak kereta di kediamannya.
Setelah dimasukkan ke wad kecemasan, Marsha diberi rawatan rapi dan dipindahkan ke wad biasa selepas keadaannya stabil.
“Pada hari kejadian Marsha berada dalam keadaan tidak sihat dan demam, oleh yang demikian Marsha telah mengambil ubat bagi meredakan sakitnya.
“Setelah itu, Marsha keluar rumah sendirian. Dalam perjalanan pulang, Marsha terlibat dalam kemalangan apabila kenderaan yang dipandunya melanggar pembahagi jalan.
Akibat trauma dan kesan ubat yang diambil, Marsha hilang kawalan dan telah jatuh dari tangga berhampiran tempat letak kereta di kediamannya dan telah mengalami kecederaan di bahagian dahi, mata dan bibir,” kata kenyataan itu lagi.
Pihak pengurusan penyanyi ini turut berharap agar kenyataan yang dikeluarkan ini dapat memberi gambaran jelas keadaan yang berlaku pada Marsha tanpa membuat sebarang spekulasi yang memburukkan lagi keadaan.
Penyanyi itu dibenarkan keluar hospital dua hari selepas kejadian.
Dia turut dilaporkan akan membuat sidang media dalam waktu terdekat bagi menjelaskan masalah yang timbul. - mStarOnline
Tiada ulasan:
Catat Ulasan