PETALING JAYA: Bintang baru, Faralyna Idris mengakui berdebar setiap kali drama lakonannya disiarkan di televisyen.
Pelakon drama Kali Kedua yang mula bersiaran pada malam Rabu (semalam) di TV9 (pukul 8.30 malam) ini berkata dia takut menerima reaksi daripada penonton.
“Biarpun ini bukan drama pertama saya tapi saya tetap berdebar apabila ia ditayangkan apatah lagi menerusi slot-slot yang popular.
“Saya takut menerima pandangan orang terhadap lakonan saya, macam-macam perasaan yang timbul,” katanya.
Drama 13 episod menerusi slot Aurora itu turut dibintangi oleh Nas Muammar Zar, Faralyna Idris, Anne Ngasri dan Nazim Othman.
Ketika ditanya tentang perbezaan watak drama ini berbanding drama popularnya Asmara, Fara berkata, kali ini dia lebih banyak memainkan emosi.
“Saya juga takut penonton bosan dan tak dapat bezakan watak drama sebelum ini. Kali ini saya lebih membawakan karakter yang bermain dengan emosi,” katanya.
Bercerita tentang watak gadis lemah lembut dan air mata yang kerap kali dibawakan, Faralyna berkata dia mahu mempelbagaikan sesuatu karakter biarpun watak baik.
“Ya, saya akui banyak menerima tawaran untuk melakonkan watak-watak baik, buat masa ini memang saya tiada pilihan kerana masih baru.
“Tapi jika diberi pilihan sudah tentu saya mahu cuba watak-watak yang lain,” katanya.
Drama “Kali Kedua” mengisahkan tentang Qaseh (Faralyna) dan Reza (Nas-T). Namun, godaan daripada wanita sepejabat Reza yang telah membuatkan dia mengkhianati cinta Qaseh.
Keadaan ini membuatkan Qaseh berada dalam keadaan trauma kerana amat menyayangi Reza, namun akhirnya dia reda dengan ujian itu.
Perpisahan mereka adalah disebabkan oleh orang ketiga. Qaseh amat kecewa namun lama-kelamaan kehadiran Zarin iaitu abang kepada sahabat baiknya Rina sedikit sebanyak mengubati kekecewaan Qaseh. - mStarOnline
Tiada ulasan:
Catat Ulasan