slmt dtg

Pengikut

ads by mangga

HBeat

Ahad, 27 Januari 2013

Fauzi: 'Kemalangan bagaikan mimpi, berlaku pantas'

Ahmad Fauzi Saari
Ahmad Fauzi Saari

SHAH ALAM - “Saya bagaikan bermimpi di siang hari. Kejadian itu berlaku dengan sangat pantas," demikian kata  pemain bola sepak Felda United, Ahmad Fauzi Saari ketika dihubungi Sinar Harian Online, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai kemalangan yang berlaku di Kilometer 407.5 Lebuh Raya Utara Selatan arah Ipoh, dekat Lembah Beringin, Kuala Kubu Bharu, awal pagi tadi.

Kejadian itu dipercayai berlaku apabila kereta BMW yang dinaikinya terbabas sendiri di selekoh kanan sebelum merempuh penghadang lebih raya lalu terbakar kira-kira 1.40 pagi tadi.

Dalam kemalangan itu, Fauzi mengalami patah tangan manakala rakannya, Muhammad Khairul Adnan Zakaria, 26, yang memandu kereta maut akibat kecederaan parah di kepala.

Fauzi yang masih trauma dengan kemalangan itu berkata, beliau sendiri tidak pasti bagaimana kemalangan berlaku kerana kejadian berlaku dalam sekelip mata.

"Saya tidak dapat ingati bagaimana kejadian itu berlaku.

"Saya cuma tahu kereta sudah berpusing dan selepas itu terbakar," katanya dengan nada sebak.

Tambah Fauzi, "apapun alhamdulillah, saya sangat bersyukur kerana hanya mengalami patah tangan sahaja, tetapi sangat terkilan selepas dimaklumkan mengenai kematian rakan saya.

"Saya tidak sangka perancangan kami mahu balik ke kampung di Kedah selepas perlawanan pusingan pertama Piala FA di Sabah bertukar tragedi untuk kami,” ujarnya.

Dalam pada itu, Fauzi yang kini dalam perjalanan pulang ke Kedah berkata, beliau akan bercuti dalam tempoh yang panjang dan akan menjalani rawatan selanjutnya di sana.

"Sekarang ini saya dalam van jenazah menuju ke Pokok Sena untuk urusan pengebumian rakan saya. Selepas ini, saya akan menjalani rawatan dan akan berehat di sini. Buat masa ini saya tidak boleh memikirkan apa-apa.

"Kejadian yang berlaku ini sangat mengejutkan saya. Saya perlukan rehat bagi melupakan tregedi ini," jelasnya lagi. - SinarHarian

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Iklan Mangga