CHIANG MAI - Siapa kata skuad sepak takraw Malaysia tidak mampu menewaskan Thailand?
Ternyata ia merupakan suatu tanggapan yang perlu dibuang jauh sama sekali.
Semalam, skuad sepak takraw Malaysia beraksi cemerlang untuk menewaskan Thailand 2-0 pada aksi final acara regu pada temasya Sukan Universiti ASEAN (AUG) ke-15 di Gimanasium Maejo University.
Sekalipun Thailand sekadar membariskan pemain skuad kedua negara mereka, pujian seharusnya diberikan ke atas regu Malaysia yang dibarisi Ahmad Sufi Mohammed Hashim, Norshahruddin Mad Ghani dan Farhan Adam yang tampil dengan aksi penuh bertenaga sepanjang tempoh sejam setengah beraksi.
Pada aksi tersebut, skuad negara menang straight set 21-14, 21-19.
Pengurus skuad sepak takraw negara, Salim Mohd. Yusof ternyata merupakan individu yang paling bangga dengan kejayaan yang dilakarkan anak-anak buahnya itu.
Bagi Salim, ia petanda positif buat sukan sepak takraw tanah air memandangkan sudah lama Malaysia tidak mencatatkan kemenangan ke atas negara Gajah Putih itu.
"Kejayaan ini menandakan kebangkitan skuad sepak takraw negara memandangkan dibarisi oleh barisan pemain elit yang turut beraksi pada temaysa Sukan Asia di Guangzhou, China bulan lalu.
"Memang sasaran kami (skuad sepak takraw negara) adalah untuk membawa pulang satu pingat emas tetapi kami akan cuba yang terbaik untuk mengulanginya dalam acara berpasukan yang akan bermula Selasa ini," jelas Salim.
Mengimbas kembali laluan skuad sepak takraw negara dalam acara regu pada temasya AUG kali ini, kemenangan pertama mereka dicatatkan ketika menentang Indonesia 2-0.
Aksi cemerlang tersebut apabila menang 2-0 ke atas Loas sebelum tewas ditangan Thailand 1-2.
Begitupun, regu negara kembali bangkit apabila membenam cabaran Myanmar 2-0 untuk membolehkan mereka mengakhiri saingan yang dijalankan secara liga sepusingan itu ditangga kedua dengan mengumpul 9 mata.
"Kami sebenarnya tidak mahu membuang tenaga pada aksi awal pertemuan dengan Thailand kerana kami tahu laluan kami untuk ke final adalah cerah.
"Namun, selepas kami berjaya beraksi di final, barulah kami mempamerkan persembahan terbaik kami dan syukur akhirnya kami berjaya juga menang ke atas Thailand.
"Ia semua berkat kerja keras kami kerana pada waktu itu kami hanya memikirkan untuk menggunakan seluruh tenaga yang kami ada," kata Norshahruddin yang merupakan apit kanan skuad sepak takraw negara.
Sementara itu, Indonesia meraih gangsa setelah menewaskan Myanmar 21-16, 21-10. - Kosmo
Tiada ulasan:
Catat Ulasan