slmt dtg

Pengikut

ads by mangga

HBeat

Khamis, 29 September 2011

‘Peduli apa orang kata’

SERIUS...Safee dikerumuni wartawan di KLIA, semalam.
SERIUS...Safee dikerumuni wartawan di KLIA, semalam.


“SAYA bukan pergi makan angin ke sana,” tegas penyerang sensasi Mohd Safee Sali, kurang senang dengan persepsi segelintir pihak yang menganggap kunjungannya ke Cardiff City bagi menjalani ujian percubaan selama dua minggu sebagai kerja sia-sia.

Malah dia yang tiba ke tanah air semalam juga menolak andaian dipergunakan pengurusan kelab Liga Kejuaraan itu untuk mendapat populariti di negara ini.

“Ini peluang yang amat bagus untuk saya, biarlah orang nak kata apa, janji saya dapat menjalani latihan di negara itu sudah dianggap satu penghargaan dan saya cukup berbangga. Saya bukan pergi makan angin ke sana.

“Saya rasa mereka tidak mengambil apa-apa kesempatan, sebab daripada reaksi pengurus Cardiff City (Malky Mackay), dia berminat dan terkejut dengan kemampuan pemain dari Malaysia. Bagi saya tawaran ini cukup berharga dan dapat menyertai latihan mereka adalah satu impian,” kata Safee sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur semalam.

Safee, 27, selesai menjalani ujian pemilihan selama dua minggu bermula 12 September lalu bersama Cardiff City dalam usahanya untuk melakar impian selaku pemain Malaysia pertama beraksi dalam kancah bola sepak Inggeris.

Namun ada yang menganggap ia sebagai kerja sia-sia memandangkan syarat ketat untuk pemain Asia untuk beraksi di United Kingdom khususnya membabitkan soal permit kerja.

Sehingga kini belum ada keputusan sama ada Safee berjaya ataupun tidak pada ujian pemilihan itu melainkan kenyataan Mackay yang mencadangkan supaya penyerang Pelita Jaya FC dari Indonesia itu mengikuti ujian sekali lagi selepas ini.

Ini kerana tempoh dua minggu ujian sebelum ini dianggap tidak cukup untuk Mackay membuat penilaian.

“Memang mungkin masa tidak cukup sebab saya tidak ada perlawanan persahabatan cuma hanya latihan. Mungkin mereka tidak puas melihat aksi saya ketika latihan dan saya harap dapat pergi ke sana lagi untuk membuktikan aksi sebenar,” kata Safee.

Dalam tempoh terdekat dia dijangka mengadakan pertemuan dengan pemilik kelab divisyen dua itu, Datuk Chan Tien Ghee bagi perbincangan lanjut.

"Selepas menjalani latihan dua minggu di sana memang ada tanda positif daripada pengurusan Cardiff City dan saya amat berminat untuk bermain di sana. Apa yang saya lihat, saya memang boleh bersaing di sana kerana boleh mengikuti latihan dan tidak berdepan masalah dengan cuaca. 

“Saya harap akan ada perkembangan positif dan berharap bukan saya seorang saja yang akan pergi menjalani ujian pemilihan sebaliknya pemain-pemain Malaysia yang lain jika diberi peluang oleh mana-mana kelab,” jelas Safee yang terus melapor diri bersama skuad kebangsaan semalam bagi persediaan menghadapi Australia dalam aksi persahabatan antarabangsa di Canberra, 7 Oktober ini. - myMetro

Wan Jamak salahkan pengadil punca Kedah kalah

JURULATIH Kedah, Wan Jamak Wan Hassan menyalahkan pengadil yang membatalkan dua gol skuad Hijau Kuning pada separuh masa pertama sebagai punca pasukan tuan rumah gagal layak ke suku akhir Piala Malaysia.

“Kami sepatutnya dapat dua gol bersih tetapi kami dirompak oleh pengadil perlawanan menyebabkan gagal untuk mencari gol kemenangan untuk ke peringkat suku akhir.

“Pengadil membuat keputusan yang langsung tidak masuk akal,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan menentang Perak dalam saingan Kumpulan A di Stadium Darulaman, malam kelmarin.

Jaringan Baddrol Bakhtiar seawal minit ke-11 dan Mohd Faizal Abu Bakar pada minit ke-38 dibatalkan pengadil dengan alasan pemain Kedah berada dalam keadaan ofsaid dan Faizal mengganggu penjaga gol Perak, Kamarul Affandi.

“Saya mahu FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia) dan pengerusi pengadil melihat semula ulang tayang perlawanan itu bagi memastikan tindakan dibuat pengadil itu betul atau pun tidak,” kata Wan Jamak.

Keputusan kontroversi pengadil itu juga menyebabkan lebih 20,000 penyokong setia pasukan itu tidak puas hati sehingga ada segelintir bertindak agresif membaling objek ke arah pengadil ketika tamat separuh masa pertama. - BHarian

Adib (Anak Datuk K) Mula Jaga Tingkah Laku


Adib
KUALA LUMPUR: Anak tiri Datuk Siti Nurhaliza Taruddin iaitu Adib Khalid, 21, mengakui dia sudah mula menjaga tingkah laku sejak melibatkan diri dalam industri hiburan tempatan.
Adib yang baru sahaja menubuhkan syarikat rakaman, What's Up Entertainment berkata, dia tidak boleh lagi berperangai kebudak-budakan memandangkan dia kini menjadi perhatian umum, lebih-lebih lagi selepas menerbitkan album Inggeris Siti Nurhaliza iaitu All Your Love.
"Sebelum ini, walaupun saya tidak ada kaitan dengan industri hiburan tempatan, pelbagai gosip dan gambar-gambar saya disebarkan di Internet.
"Jadi, apabila berada dalam industri, sudah pasti saya akan menjaga tingkah laku agar tidak dipandang serong oleh masyarakat," katanya.
Namun begitu, katanya, hal itu tidak bermakna dia perlu berpura-pura dan menjadi hipokrit dengan diri sendiri.
Adib bersama Siti Nurhaliza, Datuk K dan komposer Brian pada majlis pelancaran album All You Love. Foto SHAARI CHE MAT
Tambah Adib, dia tahu dirinya masih baru dalam perniagaan industri seni dan justeru, dia ingin lebih mendalami berkaitan bidang tersebut supaya misinya sebagai seorang peniaga muda berjaya tidak tersasar.
"Sekarang ini, saya masih lagi belajar di Universiti Royal Melbourne Institute of Technology (RMIT), Australia dalam bidang Pengurusan Perniagaan dan Pemasaran.
"Pada masa yang sama, saya cuba berkenalan dengan penggiat-penggiat seni di luar negara. Insya-Allah What's Up akan bertapak dengan kuat di samping sokongan dan bantuan ayah saya, Datuk Sero Khalid Mohamad Jiwa dan Siti," ujarnya.
Sementara itu, ditanya adakah dia turut mencuba menyertai di bidang perniagaan drama atau filem, kata Adib, dia masih belum memikirkan tentang hal tersebut lagi. - mStarOnline

Rabu, 28 September 2011

Kenali 11 Peserta 'Ustazah Pilihan'


Sebelas peserta Ustazah Pilihan yang bakal beraksi di Astro Oasis bermula Oktober ini. - Foto DANIL ROSLAN
KUALA LUMPUR: Pencarian pelapis pendakwah muda wanita berakhir apabila pihak Astro Oasis berjaya memilih 11 calon untuk program Ustazah Pilihan selepas beberapa siri uji bakat yang diadakan di beberapa lokasi seluruh negara bermula Julai lalu.
Pengurus Saluran Astro Oasis, Izelan Basar berkata, daripada 40 peserta yang di senarai pendekkan, pihaknya hanya memilih 11 peserta kerana mereka dilihat layak untuk menyertai rancangan berkenaan berdasarkan pengetahuan masing-masing.
"Antara kelebihan peserta kali ini apabila ada di kalangan mereka bukan sahaja berkelulusan pada peringkat universiti sebaliknya berkebolehan bertutur bahasa asing seperti Arab dan Parsi.
"Apabila program ini bermula, kami akan menguji dan melihat sejauh mana pesertaUstazah Pilihan ini dapat mengendalikan permasalahan berkaitan wanita dan berdakwah kepada orang lain.
“Kami juga mahu melihat mereka menjadi wanita yang berkualiti daripada segi pemikiran dan perwatakan agar dapat menjadi ikon muslimah sehingga ke peringkat antarabangsa,” katanya pada majlis memperkenalkan barisan peserta rancangan berkenaan Isnin lalu.
Individu yang terpilih menyertai Ustazah Pilihan terdiri daripada Nur Atieqah Mohd Zainudin (Atiqah),20, Nur Aqidah Mawardi (Aqidah),21, Nun Faizah Rohana Mustapha (Faizah),21, Siti Fatimah Mad Yatim (Fatimah), 21, dan Masfira Hilman (Fira),27.
Turut terpilih adalah Firuz Akhtar Mohamad Bohari (Firuz),27, Siti Nor Hafidza Razali (Fizah),21, Nurul Hidayah Kamarudin (Hidaya),26, Nina Syazmeen Mohd Din (Nina),23, Siti Fatimah Mohd Sharif (Siti),26, dan Maryanti Ramle (Yanti),23.
Sementara itu Izelan berkata menerusi program ini para peserta akan melalui proses penyingkiran mengikut tahap pencapaian masing-masing yang akan ditentukan oleh mudirah (pengetua) yang dilantik iaitu Dr Robiah K Hamzah dan mursyidah (tenaga pengajar) iaitu Prof Dr Muhaya Mohamad dan Ustazah Zawiyah Hassan.
Program yang dihoskan oleh penyampai radio IKIM, Siti Rohani Surani ini akan bersiaran pada setiap Khamis, pukul 9 malam bermula 6 Oktober depan. - mStarOnline

Lelaki gajah

BENGKAK...Pok Nik We menghidapi ketumbuhan pada wajah sejak 20 tahun lalu.
BENGKAK...Pok Nik We menghidapi ketumbuhan pada wajah sejak 20 tahun lalu.


KUALA LIPIS: Ada kalanya bengkak di mukanya membesar hingga ‘menenggelamkan’ matanya, tetapi apa yang anehnya, Ismail Yaakob atau lebih dikenali sebagai Pok Nik We, 64, dari Kampung Mentara Baru, di sini, tidak berasa sakit sebaliknya hanya mendatangkan rasa gatal.

Setiap kali mukanya gatal dan bengkaknya membesar, Pok Nik We menggaru menggunakan tuala kecil dan atas keganjilan serta rupanya pelik itulah membuatkan penduduk kampung memberi gelaran ‘Lelaki gajah’.

Sudah lebih 20 tahun Pok Nik We diserang penyakit misteri itu dan telinganya sudah lali mendengar orang memanggilnya ‘Lelaki gajah’ dan gelaran itu sedikitpun tidak melemahkan semangatnya untuk terus berusaha mencari nafkah keluarga dengan hasil pendapatannya sebagai penoreh getah.

Akibat ketumbuhan di kedua belah pipinya itu, mata Pok Nik We sering kali kelihatan ‘tenggelam’ dan keadaan itu bertambah buruk setiap kali bengkak di mukanya itu membesar, namun keadaan itu tidak menjejaskan penglihatannya.

Dia mengakui sudah biasa, tetapi apa yang menimbulkan rasa pelik ialah mengapa ketumbuhan di kedua-dua belah pipinya itu membesar dan mengecil pada masa-masa tertentu.

“Ia membuatkan bahagian berkenaan gatal. Apa yang pelik ia tidak pula sakit,” kata bapa kepada enam anak itu.

Pok Nik We berkata, dia pernah menjalani pembedahan membuang ketumbuhan berkenaan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, Kelantan kira-kira dua tahun lalu, namun penyakit misteri itu masih berulang.

“Sudah tidak terbilang rasanya bomoh yang saya temui, namun gagal mengubati,” katanya.Warga emas itu berkata, dia kini berserah kepada Allah kerana sudah puas berikhtiar mengubati penyakit dialaminya itu.

Dia yang berpendapatan RM600 sebulan kini menyara tiga anak berusia tujuh hingga 20 tahun manakala isterinya tidak bekerja. Pok Nik We berkata, walaupun mendapat bantuan RM300 sebulan daripada jabatan kebajikan masyarakat (JKM), namun tidak mencukupi. - myMetro

Jumaat, 23 September 2011

Pierre Andre Cemburu Dengan Syamsul Yusof


Pierre Andre
KUALA LUMPUR: Pengarah dan pelakon, Pierre Andre, 26, mengakui berasa cemburu dengan kejayaan yang di kecapi oleh rakan baiknya yang juga pengarah berbakat Syamsul Yusof.
Pierre bagaimanapun berkata, perasaan cemburu itu bukan ke arah negatif tetapi lebih kepada positif untuk lebih memajukan diri sebagai pengarah dan pelakon.
"Sejujurnya saya cemburu apabila melihat kejayaan Syamsul yang berjaya menghasilkan pelbagai genre filem dan mendapat kutipan mencecah lapan ke sepuluh juta.
"Itu adalah satu cabaran untuk saya untuk melakukan lebih baik untuk memajukan diri sekurang-kurangnya setanding dengannya," katanya.
Pierre ditemui pada sidang media selepas majlis pratonton filem terbaru arahannya, Al-Hijab di sini, baru-baru ini.
Dalam pada itu, Pierre berkata dia tidak kisah jika dilabel sebagai pengarah filem seram kerana menyedari kelebihannya dalam genre itu.
"Saya terpaksa akui apabila saya menghasilkan filem bukan berbentuk seram impaknya tidak sama seperti filem seram. Jadi saya tidak kisah jika dilabel sebegitu.
"Pun begitu itu bukanlah alasan untuk saya terus menumpukan kepada pembikinan filem seram kerana percaya mampu menghasilkan filem lain dengan baik," ujarnya.
Sebelum ini Pierre pernah mengarahkan dua buah filem berjudul Jangan Tegur dan 9 September di bawah produksi Metrowealth International Group (MIG).
Sementara itu, bercakap mengenai filem arahan terbarunya, Al-Hijab yang bakal menemui penonton di pawagam pada 6 Oktober depan, Pierre memberitahu ia terhasil melalui pengalamannya.
Mengharapkan ia mendapat sambutan hebat daripada penonton, Pierre berkata, Al-Hijabmempunyai kelainan dari segi penceritaan dan elemen seram yang ditonjolkan.
"Selama dua tahun menyepi ini adalah hasilnya dan berharap peminat filem tempatan akan menyukainya," ujarnya. - mStarOnline

NS tekad bangkit


Mohd Azraai Khor Abdullah

TERSENTAK dengan kekalahan 0-2 kepada PKNS Selangor di halaman sendiri Selasa lalu, Negeri Sembilan tidak mahu duka dialami itu berterusan menjelang pertemuan dengan Sime Darby, bagi saingan Kumpulan B Piala Malaysia, di Stadium Selayang, esok.

Sebaliknya, mereka mahu memastikan rekod cemerlang menewaskan pasukan dari Liga Perdana itu 5-0 pada pertemuan pertama di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi, dapat diulangi nanti.

Ketua jurulatih, Mohd Azraai Khor Abdullah mahu pemain Negeri Sembilan tidak memandang mudah keupayaan lawan sebaliknya perlu memberikan perhatian serius untuk memastikan kemenangan dicapai.

“Jaringan besar pada perlawanan pertama sebelum ini tidak boleh dijadikan ukuran misi yang ingin dicapai nanti adalah mudah kerana situasi perlawanan itu nanti sukar diramal apatah lagi beraksi di gelanggang lawan.

“Saya sudah mengingatkan pemain betapa pentingnya mereka memberikan tumpuan sepanjang tempoh 90 minit dan pada masa sama tidak melakukan kesilapan mudah selain bijak memanfaatkan setiap peluang jaringan,” katanya semalam.

Negeri Sembilan yang kini mendominasi Kumpulan B mengumpul sembilan mata hasil tiga kemenangan dan sama dengan Terengganu di tempat kedua, namun kedua-dua pasukan dibezakan dari segi jaringan gol.

Bagi Azraai, kemenangan ke atas Sime Darby perlu direalisasikan anak buahnya bagi mengesahkan tempat ke suku akhir sekali gus mengelak situasi tertekan apabila berhadapan Terengganu, di Kuala Terengganu pada perlawanan terakhir nanti. - myMetro

Kelantan tagih aksi hebat Apek



KECEMERLANGAN Khairul Fahmi Che Mat (gambar) ketika menafikan percubaan berbahaya Jepun dalam aksi kelayakan Olimpik, kelmarin ditagih oleh seluruh penyokong Kelantan dalam usaha mempertahankan mahkota kejuaraan Piala Malaysia.

Dalam empat aksi awal peringkat kumpulan sebelum ini, gawang The Red Warriors diambil alih penjaga gol berpengalaman, Shahrizan Ismail selepas khidmat Khairul Fahmi lebih diperlukan oleh skuad Olimpik negara.

Presiden Kelab Penyokong Siber Bola Sepak Kelantan (Kelate.Net), Mohd Khairi Yazid, bangga dengan prestasi cemerlang ditunjukkan Apek ketika membendung serangan berbahaya Jepun.

“Apa yang diharapkan, prestasi cemerlang ditunjukkan Apek dapat diteruskan membantu Kelantan dalam saingan Piala Malaysia sekali gus mempertahankan kejuaraan,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Selepas empat perlawanan tanpa kelibat Apek, Kelantan hanya kalah sekali dan berjaya menduduki tangga kedua Kumpulan C di belakang pasukan berstatus kelab, Felda United dengan mengumpul sembilan mata.

Walaupun hanya menduduki di tempat kedua, namun ia tidak mematahkan semangat anak buah Datuk M Karathu malah kepulangan penjaga gol berkenaan dalam pasukan dilihat mampu menambahkan keyakinan pemain untuk terus mengekalkan prestasi cemerlang.

“Berdasarkan aksi membanggakan Mat Cah (Shahrizan) dalam empat perlawanan, saya nampak ada persaingan positif antara dua pemain ini untuk merebut posisi sebagai penjaga gol utama bagi membantu Kelantan.”  - BHarian

Khamis, 22 September 2011

Kerenah birokrasi sekat misi Safee Sali!

SAFEE berlatih di Cardiff City hingga 26 September ini.
SAFEE berlatih di Cardiff City hingga 26 September ini.
BIARPUN penyerang sensasi negara, Safee Sali berjaya memikat hati pengurus Cardiff City, Malky MacKay setakat seminggu berlatih bersama kelab Liga Kejuaraan Inggeris itu, impiannya mungkin tidak kesampaian akibat menjadi mangsa birokrasi kerajaan Britain.

Mackay tampak memberi perhatian terhadap Safee, 27, pada setiap sesi latihan meskipun beliau hanya hadir untuk ujian percubaan selama dua minggu, namun isu masalah mendapatkan permit kerja buat Safee menjadi penghalang pengendali berkenaan menyunting terus pemain Pelita Jaya itu.

Safee yang menghubungi pengurus peribadinya, Zakaria Ab Rahim di tanah air memberitahu, peluangnya untuk menyarung jersi Cardiff City pasti lebih cerah andai Malaysia berada di ranking ke-70 atau ke bawah, sekali gus melepasi syarat mendapatkan permit kerja itu. 

“Kekangan pihak imigresen di sana untuk mengeluarkan permit kerja adalah urusan Kementerian Dalam Negeri United Kingdom, bukan Persatuan Bola Sepak (FA) England. Safee dilihat sebagai mangsa keadaan dan birokrasi. 

“Hanya kerajaan Malaysia sahaja yang boleh bantu dengan proses ‘Government to Government’ atas alasan tanggungjawab British membantu negara bekas jajahan takluknya atau Komanwel. 

“Bagi saya, Malaysia layak diberi keistimewaan seperti mana rakyat kita dapat keistimewaan tanpa visa untuk ke United Kingdom. Jadi kerajaan Malaysia harus bantu dalam perkara ini untuk berbincang dengan pihak kerajaan Britain,” kata Zakaria, semalam. 

Safee akan menjalani latihan bersama kelab berkenaan sehingga 26 September ini dan akan tiba di tanah air, dua hari kemudian.  - BHarian

Selasa, 20 September 2011

Konsert Maher Zain Di Sarawak Dijangka Meriah


Maher Zain sudah dua kali mengadakan konsert di Malaysia.
PETALING JAYA: Penyanyi yang terkenal dengan lagu "InsyaAllah", Maher Zain, 30, bakal mengadakan konsert sulungnya di Sarawak pada November depan.
Konsert yang diberi nama 'Maher Zain Live in Sarawak' itu dijangka bakal menarik minat penonton bukan sahaja dari negeri itu tetapi juga dari negara jiran seperti Brunei untuk berhibur bersama-sama pada konsert itu nanti.
Pernah mengadakan dua buah konsert di Kuala Lumpur sebelum ini, persembahan tersebut bakal diadakan di Stadium Perpaduan Kuching pada 19 November bermula pukul 8 malam.
Penyanyi kelahiran Lubnan itu sebelum ini mencatat sejarah apabila album “Thank You Allah” berjaya dijual sebanyak 120,000 unit di negara ini sekali gus melayakkannya menerima enam anugerah platinum atas kecemerlangannya itu.
Dia juga mempunyai lebih dua juta peminat di laman sosial Facebook sejak mula membuka akaun dua tahun lalu. Selain itu dia turut menjadi individu paling kerap mendapat perhatian melalui enjin carian Google Malaysia.
Dianjurkan oleh Marctensia Concerts, harga tiket yang dikenakan untuk konsert berkenaan ialah RM103, RM203 dan RM303.
Pembelian dalam talian diberi potongan sebanyak 10 peratus. Untuk maklumat lanjut boleh melayari www.ticketcharge.com.my atau menghubungi terus ke talian 03-9222 8811. -  mStarOnline

Raja gugur kapten negara

SAFIQ kini harungi tempoh prestasi kurang baik bersama Selangor.
SAFIQ kini harungi tempoh prestasi kurang baik bersama Selangor.
JURULATIH skuad negara, Datuk K Rajagobal membuat kejutan dengan menggugurkan kaptennya, Safiq Rahim dalam senarai 26 pelatih menghadapi siri persahabatan antarabangsa menentang Australia di Canberra pada 7 Oktober ini.

Turut tidak disenaraikan pengendali berkenaan adalah Sharbinee Allawee Ramli, Nasril Nourdin, Amirulhadi Zainal, Abdul Hadi Yahaya, Ashari Samsudin, Ismail Faruqi Ashari, Ahmad Fakri Saarani, S Chanthuru, Shakir Shaari, Rizal Fahmi Rosid, Helmi Remeli, Azmi Muslim dan Aidil Zafuan Radzak.

Sebaliknya, jurulatih berusia 55 tahun itu menyenaraikan lima muka baru - Yong Kuong Yong (Kuala Lumpur), Zubir Azmi (Terengganu), Wan Zaharulnizam Wan Zakaria dan Syahrul Azwari Ibrahim (Harimau Muda A) serta kapten skuad negara di Sukan Universiti Dunia di Shenzen bulan lalu, K Reuben.

“Saya kenal Safiq dari A hingga Z. Mungkin ketika ini dia mengharungi tempoh prestasi kurang baik bersama Selangor. Bukan sengaja saya tak panggil dia. Safiq pun tahu kenapa saya buat begitu. Tapi Safiq tetap pemain yang luar biasa dan dia akan kembali.

“Ini hanya satu perlawanan, bukan satu kejohanan. Jadi saya hanya memanggil pemain yang berada pada tahap prestasi terbaik dalam Piala Malaysia dan kekal konsisten. Sebab itu juga saya masukkan sembilan pemain skuad Olimpik,” kata Rajagobal ketika dihubungi, semalam.

Mengenai status ketua pasukan dia beranggapan persoalan itu kurang penting.

“Saya boleh memberi tugas itu kepada Norhafiz Zamani atau Safee Sali,” jelasnya yang bakal memulakan kem latihan pusat pada 28 September ini. - BHarian

Rabu, 14 September 2011

Serena hanya didenda RM6,000



NEW YORK: Serena Williams lega semalam apabila dikenakan denda sekadar AS$2,000 (RM6,000) kerana keceluparannya pada final tenis Terbuka Amerika Syarikat, apabila dia memaki hamun pengadil perlawanan pada perlawanan penentu kejuaraan kelmarin.

Pemain Amerika itu, yang masih di bawah pemerhatian Grand Slam kerana memaki hamun pada kejohanan 2009, mungkin berdepan penggantungan jika pegawai menganggap tindakannya pada final, awal pagi Isnin lalu, apabila dia tumpas kepada Samantha Stosur, sebagai satu ‘kesalahan besar’.

Serena dikenakan perlanggaran etika oleh pengadil dari Greece, Eva Asderaki selepas permainan pertama set kedua menentang Samantha dan dikenakan mata penalti kerana ‘gangguan disengajakan’ apabila berteriak ‘C’mon’ sebelum Samantha berpeluang untuk melakukan pukulan balas ketika rali itu.

Insiden itu berlaku ketika mata ‘break’, membolehkan Samantha meraih mata daripada servis lawannya.

Serena memaki hamun Eva selepas permainan itu dan terus membantah ketika pertukaran gelanggang tidak lama kemudian.

“Pengadil Terbuka AS, Brian Earley mendenda Serena Williams AS$2,000 berikutan perlanggaran etika dikenakan kerana mengeluarkan kata-kata kesat ketika final perseorangan wanita,” menurut Persatuan Tenis AS (USTA) dalam satu kenyataan semalam.

“Denda ini sejajar dengan kesalahan sama pada acara Grand Slam,” kata USTA yang menambah wang itu akan disalurkan kepada tabung Pembangunan Grand Slam.

Serena menerima keseluruhan AS$1.4 juta (RM4.27 juta) pada Terbuka AS.

Hadiah wang sebagai naib juara adalah sebanyak AS$900,000 (RM2.75 juta) dan dia meraih bonus AS$500,000 (RM1.52 juta) kerana menghuni tangga teratas dalam kedudukan Siri Terbuka AS, beberapa kejohanan gelanggang keras menjelang acara Grand Slam terakhir musim itu. - AFP

Watie (Elite) Keliru Mahu Kahwin Joey


Watie Elite dan kekasihnya Joey. (Gambar Ihsan Utusan Malaysia)
KUALA LUMPUR: Pelakon Watie (Elite) mengakui sedang keliru sama ada ingin meneruskan hasrat untuk berumah tangga dengan pelakon dan penyanyi, Joey ataupun tidak kerana tertekan dengan tohmahan sesetengah pihak terhadapnya.
Watie turut mengakui amat kecewa dengan tuduhan orang yang mengaitkannya sebagai dalang kepada keretakan rumah tangga Joey atau nama sebenarnya Zulkifli Daudwalaupun kes penceraian pelakon itu dengan bekas isterinya, Noraini Mohamad Nasir sudah selesai.
"Apa yang boleh saya katakan buat masa ini saya sedang buntu dan keliru sama ada ingin meneruskan hubungan dengan dia (Joey) ataupun tidak.
"Joey tidak melakukan apa-apa kesalahan tetapi kebuntuan ini datang daripada diri saya sendiri mengenangkan tohmahan orang sekeliling yang turut membuatkan saya berfikir kembali sama ada ingin meneruskan hubungan atau tidak," ujarnya.
Watie ditemui pada majlis pelancaran drama bersiri 13 episod lakonannya berjudul "Cuak" untuk siaran Astro Ceria di sini, Selasa.
Watie berkata Joey mengetahui tekanan yang dialaminya dan tidak pernah memaksa dia untuk membuat sebarang keputusan berkahwin dalam waktu terdekat.
"Saya sebenarnya bertuah kerana Joey seorang lelaki yang baik dan memahami keadaan saya walaupun ketika ini saya belenggu tentang hubungan kami tetapi dia tetap memberi sokongan kepada saya," katanya.
Dalam pada itu, Watie memberitahu dia tidak mahu mengeluarkan sebarang kenyataan mengenai segala tuduhan dilemparkan kepadanya kerana sudi lali dilanda pelbagai kontroversi.
"Jika saya menjawab segala tuduhan tersebut ia tidak akan berakhir. Pengalaman hampir 17 tahun dalam industri ini menyebabkan saya rasa lebih baik berdiam diri," ujarnya.
Sementara itu, Watie turut menafikan khabar angin mengatakan dia dan Joey telah berkahwin sebagaimana didakwa oleh sesetengah pihak tetapi tidak menafikan pernah merancang untuk bernikah pada Ramadan lalu.
"Sepatutnya saya dan Joey bernikah pada Ramadan lalu tetapi apabila terbaca satu laporan di dalam akhbar yang menuduh saya bukan-bukan, terus kami batalkan hasrat tersebut.
"Tetapi buat masa ini kami masih belum berkahwin dan jika perkara itu terjadi saya akan hebahkan kepada semua," ujarnya. - mStarOnline

Marsha Beransur Pulih, Tolak Tuduhan Bunuh Diri


PETALING JAYA: Kesihatan penyanyi Marsha Milan Londoh, 26 yang mendapat rawatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) pada 7 September lalu beransur pulih, namun masih berada di bawah pengawasan pihak hospital.
Penyanyi yang popular dengan lagu Ruang Kedua ini juga akan berehat dari segala aktiviti seni buat sementara waktu sehingga dia pulih sepenuhnya.
"Setelah menerima beberapa rawatan daripada pihak hospital, Marsha menunjukkan tanda-tanda positif dan semakin pulih. Beliau sudah boleh makan dan bertutur seperti biasa. Walau bagaimanapun Marsha masih di bawah pengawasan pihak hospital.
"Segala aktiviti seninya akan dihentikan buat seketika dan dia akan kembali aktif setelah sihat sepenuhnya dan juga mendapat kebenaran doktor," kata satu kenyataan yang dihantar oleh pihak pengurusan Marsha Londoh Entertainment kepada mStar Online, di sini, Selasa.
Kenyataan tersebut turut menafikan spekulasi yang mendakwa penyanyi tersebut bertindak membunuh diri dengan menelan pil akibat mengalami tekanan perasaan kerana putus cinta.
Kata kenyataan itu, Marsha telah dikejarkan ke PPUM oleh pihak pengurusan kediamannya di Taman Desa dekat sini pada pukul 11 pagi hari kejadian setelah ditemui pengsan berdekatan tempat letak kereta di kediamannya.
Setelah dimasukkan ke wad kecemasan, Marsha diberi rawatan rapi dan dipindahkan ke wad biasa selepas keadaannya stabil.
“Pada hari kejadian Marsha berada dalam keadaan tidak sihat dan demam, oleh yang demikian Marsha telah mengambil ubat bagi meredakan sakitnya.
“Setelah itu, Marsha keluar rumah sendirian. Dalam perjalanan pulang, Marsha terlibat dalam kemalangan apabila kenderaan yang dipandunya melanggar pembahagi jalan.
Akibat trauma dan kesan ubat yang diambil, Marsha hilang kawalan dan telah jatuh dari tangga berhampiran tempat letak kereta di kediamannya dan telah mengalami kecederaan di bahagian dahi, mata dan bibir,” kata kenyataan itu lagi.
Pihak pengurusan penyanyi ini turut berharap agar kenyataan yang dikeluarkan ini dapat memberi gambaran jelas keadaan yang berlaku pada Marsha tanpa membuat sebarang spekulasi yang memburukkan lagi keadaan.
Penyanyi itu dibenarkan keluar hospital dua hari selepas kejadian.
Dia turut dilaporkan akan membuat sidang media dalam waktu terdekat bagi menjelaskan masalah yang timbul. - mStarOnline

Selasa, 13 September 2011

Tuduhan Adda Melampaui Batas - Mamat (Sepah)


Mamat bersama kekasih barunya, Fida.
PETALING JAYA: Bekas anggota Sepah, Mohd Noor Murad atau Mamat menganggap tuduhan yang dibuat oleh bekas kekasihnya Nur Syuhada atau lebih dikenali sebagai Adda mengenai kisah cinta mereka sebagai melampau batas dan mempunyai agenda tertentu.
Kata Mamat, dia berani menjunjung kitab suci Al-Quran dan bersumpah bahawa kenyataan yang dibuat oleh vokalis kumpulan Butterfly itu adalah tidak benar.
"Saya mengaku meninggalkan dia dalam keadaan yang dia sangat sayangkan saya dan begitu juga saya terhadapnya. Namun ada perkara lain yang saya tidak boleh terima dalam hubungan itu sehingga membuatkan saya mengambil keputusan memutuskan hubungan.
"Biarlah saya dan dia sahaja yang mengetahui perkara tersebut kerana jika saya buka mulut ia tidak beri faedah kepada sesiapa pun, malah memburukkan lagi keadaan," katanya kepadamStar Online, di sini, Isnin.
Mamat diminta mengulas kenyataan Adda dalam sebuah akhbar mingguan yang mendakwa dia telah memutuskan hubungan cinta mereka tanpa sebarang alasan.
Adda - Foto daripada akaun Twitter Adda
Malah dalam kenyataan tersebut juga, Adda mendakwa Mamat sebagai individu yang menjadi punca perpecahan kumpulan Sepah.
Bagaimanapun, Mamat akui dia sedar perkara sebegini akan berlaku dan menasihatkan Adda agar tidak membesarkan lagi perkara ini.
"Saya tahu kekecohan ini terjadi disebabkan tindakannya yang mahu memperbesarkan perkara itu. Dia pernah beritahu saya tentang hajat berkenaan tetapi saya sudah mengingatkannya supaya tidak meludah ke langit, takut terkena muka sendiri.
"Tentang cincin yang saya telah berikan, memang saya minta semula daripadanya kerana itu adalah tanda ikatan sebuah hubungan, namun saya terus buang kerana tidak sanggup mengenangnya lagi," katanya kesal.
Dalam pada itu, mengenai perpecahan kumpulan Sepah yang dikatakan berpunca daripadanya, Mamat berkata keputusan berkenaan adalah persetujuan daripada ketiga-tiga pihak.
"Perkara itu sudah dijelaskan dan keputusan itu adalah daripada kami bertiga bukan kerana saya seorang," tuturnya.
Sementara itu, ketika diminta mengulas reaksi kekasih barunya iaitu pelakon Fida, Mamat berkata, pelakon Kasih Alia itu seorang yang profesional dan berfikiran terbuka.
"Fida menyuruh agar saya tidak melatah kerana ini adalah asam garam kehidupan sebagai artis dan dia sangat memahami situasi saya sekarang," ujarnya. - mStarOnline

Mesej Lucah : Zain Saidin Akui Reputasi Terjejas


Zain Saidin
PETALING JAYA: Pelakon Zain Saidin, 27, merasakan reputasinya sebagai seorang selebriti agak terjejas apabila isu kononnya dia menghantar mesej lucah melalui Blackberry Messenger (BBM) kepada penyanyi Ika Nabila didedahkan oleh Melodi pada 4 September lalu.
Kata Zain yang menafikan tentang penghantaran BBM tersebut, dia terkejut apabila isu berkenaan tiba-tiba dibangkitkan sedangkan dia langsung tidak pernah rapat dengan penyanyi tersebut.
"Saya terkejut apabila dikatakan menghantar mesej lucah kepada Ika sedangkan kami tidak pernah berkawan rapat atau pun bergandingan bersama dalam mana-mana drama.
"Bila keadaan ini terjadi, saya percaya, reputasi saya sebagai seorang pelakon turut tergugat kerana bukan semua orang suka dengan cerita-cerita negatif tentang selebriti-selebriti tempatan," katanya yang dihubungi mStar Online, di sini, Isnin.
Sebelum ini, Ika pernah membuat kenyataan dalam rancangan Melodi terbitan TV3 bahawa Zain telah menghantar mesej lucah kepadanya sehingga membuatkan dia rimas dengan mesej-mesej tersebut.
Ika Nabila. Foto daripada http://ikanabila.blogspot.com
Bagaimanapun, Ika dan Zain telah dipertemukan dalam rancangan tersebut menyebabkan kedua-dua mereka saling bermaaf-maafan.
Tambah Zain, apabila dia disoal secara tiba-tiba oleh wartawan rancangan tersebut, dia terkedu dan tidak sangka namanya boleh dikaitkan tentang cerita-cerita negatif seperti itu.
"Apa-apa pun saya tidak bersalah tentang hal ini dan tidak mahu memanjangkan cerita. Biaslah, ada yang menyukai kita dan ada yang tidak.
"Lagipun saya tak ambil kisah dengan isu ini. Mana tahu, ada orang lain yang menggunakan nama saya dalam BBM dia (Ika), saya tak tahu. Biarlah saya terima isu ini sebagai perkara positif," ujarnya yang sedang sibuk dengan penggambaran drama Kiah Pekasam musim kedua di Perlis.
Dalam pada itu, Zain memberitahu, dia dan Ika tidak lagi mempunyai masalah selepas dipertemukan dalam rancangan tersebut. - mStarOnline

Badminton tuai 4 emas YCG

pix_gal0


Sasaran tiga pingat pelbagai warna pada penyertaan Sukan Komanwel Remaja IV diatasi dengan skuad badminton negara menghadiahkan empat pingat emas, dua perak dan satu gangsa di Pusat Sukan Kebangsaan, Isle Of Man.

Catatan keseluruhan tujuh pingat dalam perlawanan akhir yang berlangsung kelmarin itu sekali gus mengatasi pungutan pingat pada edisi Sukan Komanwel Remaja 2008 di India apabila negara memenangi tiga emas.

Emas pertama diperoleh menerusi gandingan beregu campuran, Teo Ee Yi-Chow Mei Kuan yang menumbangkan pasangan India, Srikanth Kidambi-Maneesha Kukkpalli, 18-21, 21-16, 21-8 dan seperti dijangka, juara remaja Asia dan pilihan pertama, Zulfadli Zulkiffli menewaskan musuh ketat dari India, Sameer Verma, 21-16, 17-21, 21-15.

“Tugas kami sudah selesai dan tujuh pingat memang tidak diduga sama sekali. Kemantapan pemain akan terus diasah untuk Kejohanan Remaja Dunia di Taiwan, November depan,” kata jurulatih badminton, Yap Kim Hock.

Beregu wanita negara, Mei Kuan-Lee Meng Yean mengatasi rakan sepasukan, Sonia Cheah-Yang Li Lian 21-17, 21-8 untuk emas ketiga manakala pingat emas keempat hadir menerusi beregu lelaki, Nelson Heg-Ee Yi yang menumbangkan Ryan McCarthy-Tom Wolfenden (England) 24-22, 21-16.

Terdahulu, Nelson-Meng Yean turut meraih gangsa dalam acara beregu campuran apabila membenam McCarthy-Emily Westwood dari England, 21-14, 21-10.

Malaysia terlepas satu pingat emas dalam final perseorangan wanita apabila Sonia terpaksa berpuas hati dengan perak selepas tunduk kepada pilihan pertama dari India, Pusarla Sindhu 20-22, 8-21 sementara Li Lian tewas kepada Kirsty Gilmour dari Scotland 16-21, 20-22 bagi penentuan gangsa.

Dalam acara berbasikal kriterium, pelumba wanita negara, Ju Pha Som Net menduduki tangga ke-11 manakala Hamdan Hamidun di tempat ke-24 kategori lelaki.  - BHarian

Norjannah kesal hukuman MSN

TIGA atlit olahrata (dari kiri) Norjannah Hafizah, Nurul Sarah dan Mohd Noor Imran Abdullah Hadi yang 'melarikan diri' ke Bulgaria hadir ke Mesyuarat Jawatankuasa Siasatan KOM berhubung isu 'Anti-Doping' di Pejabat KOM, semalam.
TIGA atlit olahrata (dari kiri) Norjannah Hafizah, Nurul Sarah dan Mohd Noor Imran Abdullah Hadi yang 'melarikan diri' ke Bulgaria hadir ke Mesyuarat Jawatankuasa Siasatan KOM berhubung isu 'Anti-Doping' di Pejabat KOM, semalam.
"KAMI berlari atas nama negara, tetapi mengapa diperlakukan begini,” demikian keluh atlit pecut, Norjannah Hafiszah Jamaluddin, se­­malam.

Dia yang sudah melayakkan diri beraksi acara 100 meter di Sukan SEA XXVI November ini mendedahkan elaun bulanan RM500 dan kemudahan penginapan dan makanan yang diterimanya bersama dua lagi rakan, Nurul Sarah Abdul Kadir serta Mohd Noor Imran Abdul Hadi ditarik balik Majlis Sukan Negara (MSN).

Tindakan MSN itu menyebab­kan dia dan rakannya yang pernah menggemparkan olahraga negara apabila didakwa ‘melarikan diri’ daripada ujian anti doping Institut Sukan Negara (ISN) hujung Mei lalu, kini terpaksa ‘merempat’ dengan menumpang tidur di rumah saudara mara dan rakan.

“Mengapa hukum kami sedang­kan kami belum dibuktikan bersalah. Lagipun, kami sudah menjalani ujian air kencing termasuk ujian darah ketika Kejohanan Dunia di Korea Selatan hujung bulan lalu dengan semua keputusan menunjukkan kami bebas daripada segala bahan larangan,” katanya.

Norjannah yang mara ke saringan kedua acara 100 meter selepas mengungguli saringan pertama di Kejohanan Dunia berkata, tindakan MSN itu bagaimanapun tidak mematah­kan semangatnya dan rakan lain dalam mengibarkan Jalur Gemilang.

“Walaupun hidup kami tidak menentu dengan tindakan MSN itu, kami masih menggagahkan diri meneruskan latihan untuk membuat persiapan rapi supaya mampu memberikan cabaran bermakna di Sukan SEA nanti,” katanya.

Sementara itu, jawatankuasa yang ditubuhkan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) yang bersidang semalam bagi menyiasat cerita sebenar di sebalik enam atlit melarikan diri daripada ujian anti doping, menyifatkan mereka sudah mendapat gambaran sebenar.

“Semua enam atlit hadir memberi keterangan termasuk jurulatih Harun (Rasheed). Jadi, kami sudah dapat gambaran sebenar apa yang berlaku. Jawatankuasa akan bersidang semula 27 September ini bagi melengkapkan laporan sebelum menyerahkan kepada KOM untuk tindakan susulan,” kata pengerusi jawatankuasa itu yang juga Naib Presiden KOM, R Annamalai.  - BHarian

Isnin, 12 September 2011

Stacy Tidak Keliru Imej


Stacy sewaktu majlis pelancaran albumnya di Zeta Bar, Hotel Hilton, Kuala Lumpur. - Foto YAP CHEE HONG
PETALING JAYA: Penyanyi popular, Stacy, 21, akui tidak keliru dengan imej sebenarnya apabila ada pihak mempersoalkan imej yang ditampilkan semasa majlis pelancaran album terbarunya, Stay-C lebih ringkas berbanding imej di dalam album tersebut.
Selesa dengan imej ringkas berseluar panjang ketat dan baju t, Stacy menjelaskan kelainan imej yang dilihat dalam album Stay-C itu hanyalah untuk memenuhi kehendak yang diingini pada album itu bagi menampakkan kematangan album keduanya yang turut memuatkan lagu berentak balada.
“Saya lebih selesa memakai pakaian yang ringkas dengan berseluar dan berbaju t apabila menari kerana kebanyakan lagu-lagu saya berentak rancak.
“Biarpun saya turut menyanyikan lagu balada untuk album kedua ini, tetapi saya tetap selesa memakai pakaian yang selesa kerana terdapat lagu rancak lain yang memerlukan saya menari,” katanya ketika sidang media dan pelancaran album Stay-C di Zeta Bar, Hotel Hilton, Kuala Lumpur.
Tambahnya: “Saya hanya akan memakai pakaian seperti gaun labuh ketika ke majlis tertentu, sesi fotografi atau pun membuat persembahan mengikut kesesuaian lagu.
“Tetapi untuk majlis pelancaran kali ini, saya lebih selesa memakai pakaian seperti ini yang lebih melambangkan imej sebenar saya dan bersesuaian dengan umur saya yang baru memasuki 21 tahun.”
Stacy yang baru menyambut hari kelahirannya pada 18 Ogos lalu tampil dengan tujuh buah lagu dalam album keduanya itu iaitu Kasanova, Cemburu, Bosan, Lalai, Kapsul, Gempur dan Pelangi Senja.
Antara lagu-lagu tersebut, lirik lagu berjudul Cemburu ditulis oleh sahabat baiknya, Akim AF7.
Biarpun pasangan ini pernah digosipkan bercinta, namun Stacy menganggap lirik lagu itu hanyalah sekadar lirik dan tidak pasti ditujukan kepada sesiapa mahupun dirinya.
“Pada mulanya saya tidak tahu Akim menulis lirik Cemburu kerana lagu itu dihasilkan bersama-sama dengan komposer KunciDemak.
“Jadi, saya terkejut setelah mendapat tahu Akim telah menulis lirik lagu itu dan turut gembira kerana liriknya menarik.
“Tetapi saya tidak pasti maksud yang cuba disampaikan oleh Akim menerusi lirik itu dan sekadar menyanyikan lagu itu,” ujarnya lagi yang mengambil masa dua tahun untuk menyiapkan album tersebut.
Berhubung tajuk album yang menggunakan nama Stay-C yang memberikan kelainan kepada ejaan namanya sebelum ini, dia berkata Stay-C hanya digunakan untuk tajuk album itu dan tidak akan mempengaruhi ejaan nama asalnya.
“Saya masih mengekalkan ejaan nama Stacy tetapi untuk album ini saya memberikan kelainan dari segi ejaan tetapi masih mengekalkan sebutannya.
“Malah peminat boleh kaitkan juga Stay-C dengan ‘stay cool’ atau ‘stay creative’,” katanya yang turut berduet dengan idolanya iaitu Amy Search menerusi lagu Gempur. - MStarOnline

Iklan Mangga