Pemain Kelantan menggayakan jersi baru "home" dan "away" pada Majlis Pelancaran Jersi dan Barangan Rasmi The Red Warriors semalam - foto Bernama |
HANYA pemain yang menunjukkan kehebatan sebenar tanpa mengira usia yang akan dipilih dalam senarai kesebelasan utama The Red Warriors musim ini, kata jurulatih Bojan Hodak.
"Tiada pemain muda atau senior. Pemain perlu membuktikan mereka cukup baik untuk membarisi senarai pasukan Kelantan," katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Meskipun telah mempunyai senarainya sendiri, namun jurulatih kelahiran Croatia itu tidak mahu mendedahkannya kerana mahu para pemain terus bersaing untuk mendapat tempat.
"Saya sudah kenal pasti 11 pemain, nama mereka masih dirahsiakan, saya mahu pemain bersaing untuk mendapatkan tempat dalam pasukan," katanya.
Menurut Hodak beberapa pemain muda yang melalui sesi ujian sebelum ini, dipertimbangkan untuk mengisi kesebelasan utama pasukan Kelantan.
Mereka termasuk Nik Shahrul Azim Ab Halim, Mohamad Aris Zaidi, Muhammad Izuan Mohd Salahuddin, Norhadi Ubaidillah, Mohd Haris Safwan Mohd Kamal dan Tuan Muhammad Faim Tuan Zainal Abidin.
Mengulas mengenai perlawanan Sumbangsih merebut Piala Sultan Haji Ahmad Shah di Stadium Shah Alam malam esok, Hodak mengakui Kelantan berdepan tugas berat bertemu juara Liga Perdana musim lalu, Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Bagaimanapun, Hodak optimis Kelantan mempunyai peluang cerah memenangi perlawanan tersebut sekali gus memulakan musim 2013 dengan langkah kanan.
Katanya, pemain import, Keita Mandjou pula kini dalam proses menyesuaikan diri dengan skuad The Red Warriors dan beliau yakin pemain itu akan memberi sumbangan besar di bahagian serangan untuk Kelantan. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan