Aksi pemain Aston Villa, Darren Bent ketika menjaringkan gol untuk pasukan barunya, Aston Villa ketika menentang Manchester City di Birmingham pada 22 Januari lalu. - AFP |
LONDON - Alex Ferguson akan menurunkan barisan pertahanan terkuat bagi membolehkan Manchester United mengekang gerakan penyerang Aston Villa, Darent Bent esok.
Pada perlawanan pusingan keempat Piala FA, Sabtu lalu, pertahanan United yang dibarisi pemain simpanan, diasak hebat oleh pasukan Liga Satu, Southampton dan melepaskan satu gol sebelum bangkit dengan kemenangan 2-1.
Pengalaman itu membuka mata Ferguson agar tidak mengulangi kesilapan sama dalam saingan liga menentang Villa di Old Trafford.
Edwin Van der Sar, Rio Ferdinand, Patrice Evra, Nemanja Vidic dan Rafael Da Silva dijangka kembali mengisi barisan kesebelasan utama selepas tidak beraksi ketika kunjungan ke St Mary.
"Kami patut mendapatkan kembali empat pemain pertahanan sewaktu menentang Villa. Vidic sepatutnya sudah pulih. Rio pula sudah boleh berlari dan diharap dia sempat cergas pada perlawanan, esok. Rafael juga berada dalam keadaan baik selepas mengalami gegaran di kepalanya ketika beraksi di Blackpool dan Patrice Evra pula menghadiri upacara pengebumian ahli keluarganya, jadi dia tidak bermain di Southampton,'' kata Ferguson.
Ferguson sedar Villa merupakan pasukan yang hampir mengalahkan mereka ketika kedua-dua kelab itu bertemu di Villa Park, November tahun lalu. Villa mendahului 2-0 dalam tempoh tidak sampai 10 minit, sebelum United bangkit menyamakan kedudukan menerusi jaringan Federico Macheda dan Vidic untuk mengutip satu mata.
Sejak itu, prestasi Villa semakin merudum sehingga mengheret mereka menghampiri zon penyingkiran, tetapi pasukan itu mula menunjukkan tanda peningkatan apabila mengejutkan Manchester City pada pertemuan terakhir menerusi jaringan Bent.
Ferguson berkata, Bent yang berpindah dari Sunderland dengan bayaran 24 juta pound (RM116 juta), merupakan pembelian paling bernilai untuk Villa.
"Apa sahaja yang anda perkatakan mengenai Bent, dia merupakan pemain yang memiliki jaringan seimbang dengan semua kelabnya. Dia merupakan pemain yang mahal, tetapi kebolehannya itu akan dinilai sejauh mana Bent mampu membantu membawa pasukannya kembali pada kedudukan yang lebih baik.
"Apabila anda berada pada kedudukan bawah liga, sukar untuk anda keluar. Namun dengan dua kemenangan, ia mampu mengubah keadaan, lebih-lebih lagi mereka kini memiliki skuad asal setelah pemain yang cedera kembali pulih,'' ujar Ferguson. - AFP
Tiada ulasan:
Catat Ulasan