slmt dtg

Pengikut

ads by mangga

HBeat

Ahad, 13 Februari 2011

Rizal hadiahkan emas pertama


MOHD. RIZAL TISIN

KORAT – Malaysia akhirnya meraih pingat emas pertama pada Kejohanan Berbasikal Asia (ACC) 2011 di sini menerusi Mohd. Rizal Tisin dalam acara 1 kilometer ujian masa elit di Velodrom Kompleks Sukan Korat, semalam. Lebih menceriakan satu lagi pingat berjaya diraih oleh pelumba elit, iaitu gangsa oleh Fatehah Mustapa dalam acara 500 meter ujian masa wanita.

Mohd. Rizal mengesahkan pingat emas pertama buat kem Malaysia apabila mengungguli acara kegemarannya itu dengan masa 1:04.953 saat, mengatasi kepantasan jaguh China, Zhang Miao (1:05.949s) manakala tempat ketiga milik peserta Korea Selatan, Han Jaeho (1:07.644s).

Mengulas kejayaan memberikan pingat emas pertama kepada kem negara, Mohd. Rizal berkata, dia lega kerana akhirnya berjaya merealisasikan harapan emas, setelah menunggu sejak hari pertama kejohanan yang bermula Selasa lalu. Tambahnya, sejak sebelum perlumbaan lagi dia menyematkan azam untuk memberikan pingat emas walaupun menyedari dia berdepan saingan jaguh China, Zhang Miao.

‘‘Sebelum saingan, saya berikrar walau apa cara sekali pun saya harus mengatasi Zhang Miao dalam acara ini, bagi membalas dendam kekalahan saya kepadanya pada ACC 2009 di Banjarmasin. Saya sedar tugas saya untuk mengatasinya memang sukar kerana dia merupakan juara bertahan dalam acara ini.

‘‘Setelah dia gagal memintas masa yang saya catatkan, barulah saya berpuas hati. Dendam saya kepadanya sudah pun berbalas dan ia amat memuaskan apatah lagi saya sudah lama tidak mencatat kemenangan sebegini,” katanya.

Rizal juga pernah memenangi pingat emas acara yang sama pada ACC 2008 di Nara, Jepun, namun menyerahkan kejuaraan acara tersebut apabila kalah kepada Zhang Miao pada penentuan pingat emas pada ACC 2009.

Sementara itu, Fatehah memenangi pingat gangsa dalam acara 500m ujian masa dengan masa 37.016s.

Acara tersebut diungguli pelumba Hong Kong, Lee Wai Sze (35.414s) dan perak milik Shuang Guo dari China (36.016s).
Fatehah menjelaskan, dia gembira dengan kejayaan memenangi pingat pertama pada ACC kali ini.

Menurutnya, walaupun gangsa, ia tetap memberi kepuasan kepadanya setelah pulang tanpa sebarang pingat pada ACC 2010 di Sharjah, UAE.

‘‘Saya amat berpuas hati dengan kejayaan tempat ketiga dalam acara 500m ujian masa ini kerana sebenarnya saya tidak menaruh harapan begitu tinggi untuk memenangi apa-apa pingat dalam acara ini.

‘‘Pingat ini sekurang-kurangnya mengubat kehampaan kerana saya sudah lama tidak mencatat keputusan yang baik dalam kejohanan antarabangsa,” katanya. – Utusan

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Iklan Mangga