PETALING JAYA: Pelakon veteran, Norlia Ghani, 63, (gambar) menafikan dia membuat gimik semata-mata ingin meraih publisiti murah kononnya wang pendahuluan untuk drama bersiri Mata Air sebanyak RM8,000 lesap akibat diragut.
Ia berikutan percanggahan kenyataannya mengenai laporan polis yang dibuat.
Norlia dalam kenyataan kepada mStar Online yang dihubungi beberapa jam selepas kejadian berkenaan pada Jumaat lalu memberitahu membuat laporan di sebuah pondok polis berhampiran pusat beli-belah Ampang Park, di mana lokasi kejadian ragut tersebut berlaku.
Kenyataan yang sama turut disiarkan di kebanyakan akhbar pada Ahad lalu.
Bagaimanapun Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Zulkarnanin Abdul Rahman berkata, pihaknya belum menerima laporan berhubung kejadian tersebut.
Dalam masa yang sama ada sumber memberitahu peristiwa berkenaan sebenarnya gimik pelakon itu sahaja.
Norlia ketika dihubungi mStar Online, Isnin, bagi menjelaskan perkara terbabit bagaimanapun berkata tidak membuat laporan polis selepas insiden tersebut kerana terkejut dengan apa yang berlaku.
“Astaghfirullah, saya belum gila untuk membuat publisiti seperti itu. Bagaimanapun sebenarnya memang saya tidak pergi membuat laporan polis kerana agak terkejut dan trauma dengan insiden tersebut.
“Lagipun, kalau saya buat laporan polis, saya tidak yakin yang duit itu akan dapat semula kepada saya,” katanya.
Norlia juga menafikan dakwaan yang dia mengeluarkan wang RM8,000 sekali gus dari sebuah bank sebaliknya hanya mengeluarkan sejumlah RM3,000 sahaja wang daripada deposit drama berkenaan.
“Waktu itu, saya sudah mempunyai RM5,000 di tangan dan baki lagi RM3,000 dikeluarkan daripada bank. Saya mahu gunakan duit RM8,000 untuk membayar pinjaman rumah yang tertunggak selama tiga bulan,” ujarnya lagi.
Dalam kejadian Jumaat lalu, Norlia yang popular dengan gelaran Joyah menerusi dramaOpah pada tahun 1980-an, mendakwa diragut oleh dua lelaki bermotosikal ketika sedang menunggu teksi di luar pusat beli-belah Ampang Park, dekat sini.
Menurutnya, wang berkenaan merupakan pendahuluan yang diterima daripada syarikat Zeel Production sebelum menjalani penggambaran drama Mata Air di Perlis pada 17 Februari depan. - mStar
Tiada ulasan:
Catat Ulasan