SUBANG JAYA - Kejohanan Boling Komanwel kelima yang menutup tirai di Megalanes Sunway Pyramid semalam, menyaksikan penguasaan berterusan Malaysia, Singapura dan England dengan kesemua tiga pasukan bersaing sesama sendiri untuk merebut pingat yang dipertandingkan.
Akhirnya, Singapura menerajui senarai kedudukan pingat keseluruhan 13 negara bertanding dengan tiga emas dan dua perak, diikuti England (3-1-2) dan Malaysia (2-3-3).
Malaysia yang mengungguli kedudukan teratas sejak hari pertama lagi, dipintas pada hari terakhir selepas Singapura dan England masing-masing mengutip satu emas dalam acara Masters.
Bagaimanapun, tanpa disedari, Malaysia sebenarnya muncul juara keseluruhan kejohanan dan dianugerahkan 'Trofi Tiga Berlian' berdasarkan jumlah jatuhan pin yang berjaya dikumpul pasukan selepas lapan acara (tidak termasuk Masters).
Malaysia berjaya mengumpul jumlah jatuhan tertinggi 20,318, mengatasi England (19,717), Singapura (19,614) dan Australia (19.364).
Ketepikan soal kedudukan pingat dan kedudukan jumlah jatuhan pin. Persembahan empat pemain kita jika dinilai secara keseluruhannya boleh dianggap membanggakan.
Biarpun gagal menghasilkan emas selepas permulaan cemerlang pada hari pertama dengan dua pingat emas menerusi Zulmazran dan Siti Safiyah dalam acara perseorangan, sekurang-kurangnya mereka dapat mengekalkan prestasi 'tiada hari tanpa pingat'.
Apa sekali pun, sukan boling merupakan sejenis sukan yang subjektif dan kalah menang bergantung kepada banyak faktor. Justeru, beraksi di gelanggang sendiri pun tidak semestinya menjadi kelebihan.
Seperti mana-mana pertandingan, faktor utama yang dilihat membelenggu kebanyakan pemain untuk kejohanan ini adalah kesukaran menyesuaikan diri dengan keadaan lorong yang bertukar-tukar corak 'minyak panjang' dan 'minyak pendek'.
Di sini, kepakaran membuat penyelarasan menjadi faktor penting untuk mengembalikan persembahan seseorang itu jika balingannya tidak menjadi.
Zulmazran misalnya, dia mempamerkan persembahan mantap ketika acara perseorangan dan berpasukan, tapi tidak untuk beregu lelaki, campuran dan Masters.
Selepas tamat bermain dalam acara berpasukan, dia mengakui telah menggunakan bola yang sesuai di samping dia juga menggemari lorong bercorak 'minyak panjang'.
Begitu juga dengan bekas juara dunia dari Singapura, Remy Ong, walaupun datang selaku pemain pilihan, agak terumbang ambing prestasinya pada awal kejohanan sehinggalah dia bangkit untuk acara berpasukan dan Masters lelaki, yang dia berjaya memenangi dua emas.
Malaysia juga kempunan emas dalam acara berpasangan dan berpasukan apabila berlakunya keadaan yang menyaksikan seorang bermain cemerlang sedangkan seorang lagi tidak.
Adrian merupakan pemain paling konsisten bagi Malaysia namun tiga acara terlepas emas dan akhirnya sekadar berpuas hati dengan tiga perak dan satu gangsa.
Zandra Aziela pula tidak begitu menyerlah selepas merangkul gangsa pada hari pertama, namun jika apa yang dinyatakan jurulatih, Ben Heng, bahawa dia mengadu lengannya tidak selesa, maka itu mungkinlah sebabnya.- Uusan
Tiada ulasan:
Catat Ulasan