Safee Sali (kanan) tidak kekok menjalani latihan bersama skuad Pelita Jaya di Sawangan, Jakarta Selatan, semalam. |
JAKARTA - Penyerang pasukan kebangsaan, Mohd. Safee Mohd Sali secara rasmi memulakan latihan pertamanya bersama kelab baru yang disertainya, Pelita Jaya di sini, semalam.
Pemain itu berlatih bersama pasukan barunya pada pukul 8 pagi waktu tempatan di pusat sukan Pelita Jaya, Sawangan, Jakarta Selatan di sini.
Menurut pengurusnya, Zakaria Rahim, sesi latihan itu dikendalikan penolong jurulatih, I Made Pasek Wijaya dan Djadjang Nurjaman. Turut bersama dalam sesi latihan tersebut ialah Juan Ramirez yang berasal dari Paraguay yang bakal berganding dengan Safee di barisan depan. Tidak ketinggalan Tomoyuki Sakai dan Shibakoya Yuichi dari Jepun serta Walter Benitez (Argentina) dan Dramane Coulibaly (Mali).
Zakaria memberitahu, Safee dilihat dapat menyesuaikan dirinya dengan mudah bersama teman-teman barunya di Kelab Pelita Jaya.
"Dia (Mohd Safee) juga kelihatan sangat gembira biarpun penat kerana sesi latihan yang perlu dijalani," kata Zakaria.
Mohd. Safee dan pasukannya juga ujar Zakaria, akan bergerak ke pusat peranginan terkenal, Punchak esok untuk satu lagi sesi latihan pusat sehingga 25 Februari sebelum memulakan perlawanan pertama menentang Kelab Persib Bandung pada 7 Mac ini. - Utusan
Tiada ulasan:
Catat Ulasan