slmt dtg

Pengikut

ads by mangga

HBeat

Ahad, 27 Januari 2013

Fauzi: 'Kemalangan bagaikan mimpi, berlaku pantas'

Ahmad Fauzi Saari
Ahmad Fauzi Saari

SHAH ALAM - “Saya bagaikan bermimpi di siang hari. Kejadian itu berlaku dengan sangat pantas," demikian kata  pemain bola sepak Felda United, Ahmad Fauzi Saari ketika dihubungi Sinar Harian Online, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai kemalangan yang berlaku di Kilometer 407.5 Lebuh Raya Utara Selatan arah Ipoh, dekat Lembah Beringin, Kuala Kubu Bharu, awal pagi tadi.

Kejadian itu dipercayai berlaku apabila kereta BMW yang dinaikinya terbabas sendiri di selekoh kanan sebelum merempuh penghadang lebih raya lalu terbakar kira-kira 1.40 pagi tadi.

Dalam kemalangan itu, Fauzi mengalami patah tangan manakala rakannya, Muhammad Khairul Adnan Zakaria, 26, yang memandu kereta maut akibat kecederaan parah di kepala.

Fauzi yang masih trauma dengan kemalangan itu berkata, beliau sendiri tidak pasti bagaimana kemalangan berlaku kerana kejadian berlaku dalam sekelip mata.

"Saya tidak dapat ingati bagaimana kejadian itu berlaku.

"Saya cuma tahu kereta sudah berpusing dan selepas itu terbakar," katanya dengan nada sebak.

Tambah Fauzi, "apapun alhamdulillah, saya sangat bersyukur kerana hanya mengalami patah tangan sahaja, tetapi sangat terkilan selepas dimaklumkan mengenai kematian rakan saya.

"Saya tidak sangka perancangan kami mahu balik ke kampung di Kedah selepas perlawanan pusingan pertama Piala FA di Sabah bertukar tragedi untuk kami,” ujarnya.

Dalam pada itu, Fauzi yang kini dalam perjalanan pulang ke Kedah berkata, beliau akan bercuti dalam tempoh yang panjang dan akan menjalani rawatan selanjutnya di sana.

"Sekarang ini saya dalam van jenazah menuju ke Pokok Sena untuk urusan pengebumian rakan saya. Selepas ini, saya akan menjalani rawatan dan akan berehat di sini. Buat masa ini saya tidak boleh memikirkan apa-apa.

"Kejadian yang berlaku ini sangat mengejutkan saya. Saya perlukan rehat bagi melupakan tregedi ini," jelasnya lagi. - SinarHarian

Isnin, 14 Januari 2013

Chong Wei juara Terbuka Korea

Lee Chong Wei
Lee Chong Wei

KUALA LUMPUR - Datuk Lee Chong Wei sekali lagi membuktikan kehebatannya sebagai pemain nombor satu dunia dengan mempertahankan gelaran juara Terbuka Korea di Olympic Gymnasium 2 di Seoul, hari ini.
Pemain pilihan utama dan pemenang pingat perak Olimpik London 2012 ini hanya mengambil masa 42 minit untuk menundukkan pemain pilihan keempat Du Pengyu dari China 21-12, 21-15 pada perlawanan akhir perseorangan lelaki kejohanan itu.
Tahun lepas, Chong Wei mengalahkan pesaing utamanya Lin Dan dari China untuk meraih gelaran juara kali kedua Terbuka Korea melalui perlawanan rubber set, 12-21, 21-18 21-14, manakala gelaran juara kali pertama kejohanan ini diraihnya pada 2010 setelah mengalahkan pemain Denmark Pete Gade Christensen.
Sementara itu, China dan negara tuan rumah masing-masing muncul juara dalam dua kategori.
Beregu wanita nombor lima dunia Yu Yang/Wang Xiaoli dari China mengalahkan rakan senegara mereka Ma Jin/Tang Jinhua, 21-17, 21-13 untuk muncul juara dalam kategori wanita.
China meraih gelaran juara kedua melalui Zhang Nan/Zhao Yunlei, yang mengalahkan rakan senegara mereka Xu Chen/Ma Jin, 13-21, 21-16, 21-13 pada perlawanan akhir beregu campuran.
Pemain bukan pilihan Sung Ji Hyun dari Korea Selatan membuat kejutan dengan mengalahkan pemain pilihan keempat Wang Shixian dari China dengan mata 21-12, 22-20 untuk menjuarai kategori perseorangan wanita.
Beregu pilihan keenam Ko Sung Hyun/Lee Yong Dae dari Korea Selatan pula muncul juara setelah menumpaskan beregu lelaki nombor satu dunia Mathias Boe/Cartsen Mogensen dari Denmark 19-21, 21-13, 21-10 dalam perlawanan selama sejam.
Pemenang kategori beregu menerima hadiah AS$79,000 (RM238,619), juara perseorangan AS$75,000 (RM226,537), manakala naib juara bagi semua kategori menerima hadiah AS$38,000 (RM114,779). - Bernama

Tewaskan juara treble suntik semangat Titans

The Titans
Aksi pemain muda The Titans, Mohd Aizulridzwan (kanan) ketika cuba mengasak penyerang Red Warior, Mohd Haris Safwan pada babak pertama saingan Liga Super petang kelmarin.
MESKIPUN turun tanpa pemain bertaraf bintang, namun pasukan berstatus kelab T-Team berjaya mengejutkan juara treble musim lalu dengan mengutip tiga mata penuh di laman sendiri, pada aksi kedua Liga Super, kelmarin, lapor ZUBIR SULAIMAN.

Lebih manis kemenangan itu diraih ketika pengendalinya, Peter Butler berdepan dengan bekas anak didiknya dua tahun lalu.

Begitu pun, jurulatih kelahiran England itu enggan mendabik dada dan mengakui amat berpuas hati dengan semangat ditunjukkan anak buahnya sepanjang 90 minit perlawanan berlangsung.

Menurutnya, dia kagum dengan kesungguhan ditunjukkan setiap pemain dan berjaya mengekang setiap asakan pasukan Kelantan sepanjang perlawanan itu.

“Saya sangat gembira melihat corak permainan mereka hari ini (kelmarin), kita bermain dengan baik sekali dan secara teknikalnya semua amat baik.

“Malah, saya mengharapkan corak permainan sebegini dapat terus dikekalkan pada saingan seterusnya. Saya juga mahu ucapkan terima kasih kepada penyokong yang tidak putus-putus memberi sokongan kepada kami,” katanya ketika ditemui sejurus selepas tamat perlawanan, petang kelmarin.

Sementara itu, peledak gol tunggal kemenangan The Titans, Mohd Mohd Aizulridzwan Mustafa berkata, dia amat bersyukur kerana dapat membantu pasukan meraih tiga mata penuh dan akan terus memberikan aksi terbaik pada perlawanan seterusnya. - SinarHarian

Pafa: Pertemuan Perak, JDTFC dicemari kes judi bola

Cebisan tiket pertaruhan melibatkan Perak dan JDTFC.
Cebisan tiket pertaruhan melibatkan Perak dan JDTFC.
IPOH –Semua pihak khususnya Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) digesa untuk memantau kegiatan judi bola sepak yang diberitakan mula menular kembali dalam kancah saingan bola sepak tempatan.
Datuk Zainol Fadzi Paharuddin
Datuk Zainol Fadzi Paharuddin
Presiden Persatuan Bola Sepak Perak (Pafa), Datuk Zainol Fadzi Paharuddin berkata, pihaknya memandang serius perkara berkenaan dan menggesa agar ianya dilaporkan segera kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Menurutnya, kegiatan tidak bermoral sedemikian perlu dibanteras segera sebelum ianya kembali meresap dalam saingan bola sepak tempatan.

“Bagi saya, perkara seperti ‘judi bola’ seperti ini tidak sewajarnya berlaku khususnya dalam era bola sepak profesional negara hari ini.

“Ianya perlu dilaporkan segera kepada pihak polis dan sekiranya benar, sesuatu perlu dilakukan oleh FAM bagi membanteras gejala tidak bermoral ini.

“Bagaimanapun, sekiranya kegiatan berkenaan masih berleluasa, ianya dikhuatiri bakal memberi kesan buruk terhadap perkembangan bola sepak negara pada masa hadapan,” katanya kepada Sinar Harian.

Zainol berkata demikian berikutan penemuan keratan tiket judi bola setelah perlawanan Liga Super 2013 membabitkan skuad Johor Darul Takzim (JDT) FC menentang Perak, kelmarin.

Difahamkan, keratan tiket berkenaan turut memaparkan jumlah pertaruhan selain keputusan perlawanan berkenaan.

Terdahulu Zainol berkata, dunia bola sepak hari ini sememangnya berbeza berbanding dahulu.

Katanya, bola sepak pada hari ini bukan lagi sekadar  satu ‘permainan,’ tetapi lebih kepada salah satu sumber ekonomi.

“Rasanya, tak salah kalau saya katakana ianya (bola sepak) adalah satu kerjaya atau pekerjaan pada hari ini.

“Oleh itu sudah pasti banyak kos melibatkan dari segi wang ringgit serta tenaga yang disalurkan khususnya bagi menguruskan pasukan mahu pun sesebuah persatuan bola sepak,” katanya lagi.

Sementara itu Zainol berkata, pihak pengurusan pasukan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan sekiranya ada bukti yang mengesahkan ada pemain Perak yang terlibat dalam kegiatan judi bola ini.

Bagaimanapun menurutnya, sekiranya perkara tersebut hanya sekadar khabar angin pihak pengurusan tidak mahu membuang masa melayan tuduhan sedemikian.- SinarHarian

Khamis, 10 Januari 2013

'Liverpool musuh sejati'

'Liverpool musuh sejati'
Scholes (kanan) antara pemain lama yang masih beraksi untuk kem The Red Devils
PEMAIN  tengah berpengalaman, Paul Scholes berkata, Liverpool masih musuh sejati Manchester United menjelang pertembungan terhebat Liga Perdana Inggeris di Old Trafford, Ahad ini.

Scholes, 38, akui walaupun pasukan Merseysiders itu gagal menyerlah sejak beberapa musim ini, tetapi pertemuan kedua-dua kelab ini cukup dinantikan seluruh peminat seluruh dunia.

Malah, dia menjelaskan, aksi malam itu nanti antara perlawanan terbesar dalam liga musim 2012/2013.

"Saya fikir, Liverpool salah satu pasukan terhandal dunia. Mereka agak tenggelam kali ini tetapi anda harus ingat mereka masih kelab terbaik.

"Kita harus menghormati mereka. Walaupun United lebih satu kejuaraan liga berbanding Liverpool yang meraih 18 kali, tapi mereka sudah lima kali menjulang Liga Juara-Juara.

"Liverpool dan United adalah kelab terbaik di Inggeris," katanya.

Jika menewaskan Kop, anak buah Sir Alex Ferguson itu boleh mengukuhkan cengkaman liga dan mereka kini dalam misi merangkul kejuaraan buat kali ke-20. - SinarHarian

FAM: Mat Yo hanya perlu bayar RM299,000

Norshahrul Idlan Talaha (Matyo)
Mat Yo
NORSHAHRUL Idlan Talaha, yang turut dikenali sebagai Mat Yo, hanya perlu membayar RM299,000 kepada Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), bukannya RM1 juta seperti yang dituntut oleh badan itu baru-baru ini.

Perkara itu diumumkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Status Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Takiyuddin Hassan.

"Apabila seorang pemain menamatkan kontrak sebelah pihak dengan pasukannya, pemain tersebut hanya perlu membayar bayaran tebus kontrak sahaja.

"Pasukan asal tidak berhak menuntut bayaran perpindahan, jadi Kelantan hanya berhak menuntut tebusan (nilai) kontrak kepada Mat Yo (yang berbaki) selama 13 bulan sahaja.

"Maka jawatankuasa yang bersidang hari ini memutuskan bahawa bayaran yang dituntut Kafa  tidak dapat dibenarkan kerana ia bukan melibatkan perpindahan pemain, ia cuma tamat kontrak ," katanya ketika pemberita di Wisma FAM, hari ini. - SinarHarian

FAM: Affize sah milik ATM

FAM



KEMELUT antara bekas pemain Harimau Muda A,  Mohd Affize Faisal Mamat antara Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) menemui noktah apabila Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) memutuskan pemain berusia 24 tahun itu kini sah menjadi milik Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Perkara itu diumumkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Status FAM, Datuk Takiyuddin Hassan di Wisma FAM, hari ini.

Takiyuddin berkata berikutan keputusan itu, Affize boleh mewakili pasukan ATM dalam Liga Malaysia 2013 berkuat kuasa hari ini.

"Selepas Affize tidak dinamakan sebagai pemain Harimau Muda A musim ini, pemain itu telah dihantar kembali ke pasukan asalnya, Terengganu.

"Tetapi, walaupun dihantar kembali, persetujuan untuk bermain di pasukan asal harus dipersetujui oleh kedua-dua pihak. Sekiranya pemain itu tidak bersetuju untuk bermain dengan pasukan asal, maka Terengganu tidak boleh mengikat beliau.

"Jadi, oleh kerana tidak mencapai kata sepakat kedua-dua pihak, dalam peraturan FAM, Affize tidak terikat untuk bermain dengan negeri asal, dan  ATM berhak menandatangani perjanjian dan menggunakan khidmat Affize dalam Liga Malaysia musim ini," katanya.

Dalam pada itu, Takiyuddin turut menjelaskan sebagai penghargaan kepada Terengganu yang banyak mendidik Affize, pihaknya telah membuat keputusan agar pasukan ATM membayar RM5,000 sebagai saguhati.

"Oleh kerana Terengganu banyak mendidik Affize, maka Jawatankuasa Status membuat keputusan agar ATM membayar saguhati berjumlah RM5,000 sebagai saguhati buat Terengganu.

"Dan pembayaran ini perlu dijelaskan dalam tempoh 30 hari," ujarnya.

Selain itu, Takiyuddin turut mengumumkan bahawa pihaknya akan memotong defisit daripada Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) berikutan kegagalan persatuan itu membayar pampasan kepada bekas jurulatih pasukan itu, Mohd Nidzam Adha Yusoff.

Jelasnya, terdahulu FAM telah mengarahkan persatuan tersebut agar membayar pampasan dalam tempoh sebulan dari tarikh surat dikeluarkan, namun tiada tindakan yang dilakukan oleh PFA sehingga sekarang.

"Sepatutnya PFA membayar pampasan tersebut, namun disebabkan kegagalan melunaskan pampasan tersebut, kami terpaksa memotong defisit mereka," kata beliau. - SinarHarian

Sabtu, 5 Januari 2013

AJL27: Aizat ganti Yuna

Aizat Amdan
Aizat Amdan

TEKA-teki siapa bakal menggantikan Yuna untuk menyanyikan lagu Terukir Di Bintang sudah terjawab apabila pihak penganjur mengesahkan Aizat Amdan dipilih untuk mengambil alih peranan itu pada malam penyampaian Anugerah Juara Lagu ke-27, Ahad ini.
Penyanyi dan komposer berusia 24 tahun ini akui tidak menyangka apabila dimaklumkan Yuna memilih dirinya untuk menyanyikan lagu tersebut.
“Memang tak sangka sebenarnya. Apa pun, saya kena hafal lirik dulu dan sesuaikan diri dengan lagu itu cepat. Tinggal dua hari saja sebelum AJL27,” katanya kepada Sinar Harian Online.
Aizat memberitahu, hanya ingin membantu rakannya, Yuna yang memerlukan dirinya serta berharap agar dapat menyampaikan lagu tersebut dengan baik Ahad ini.
“Persediaan belum mula apa-apa lagi. Cuma, saya akan cuba untuk beri yang terbaik... kawan dah minta tolongkan,” katanya yang mengetahui keputusan pemilihan itu semalam.
Mengulas soal lagu Terukir Di Bintang ciptaan Yuna itu, Aizat menyifatkan ia ‘simple’ dan ‘sweet’.
“Ia sebuah lagu yang klasik dan sesuai juga apabila dinyanyikan oleh lelaki. Lirik lagu ini universal dan melodi ala-ala Eropah,” katanya.
Semalam, Yuna memaklumkan menarik diri dari malam final AJL27 yang bakal berlangsung di Stadium Putera Bukit Jalil.
Yuna terpaksa menarik diri daripada pentas final AJL27 demi memenuhi tuntutan rakaman di Los Angeles. - SinarHarian

Zarina Anjoulie dijamin adik tiri


Zarina Anjoulie
PETALING JAYA - Pelakon dan model Zarina Anjoulie Mohamad Fahizul, 27, lebih dikenali sebagai Zarina Anjoulie dijamin adik perempuan tirinya hari ini selepas dua hari berada dalam Penjara Kajang.
Pelakon berkenaan yang dijamin adik tirinya itu keluar dari bilik lokap kompleks mahkamah Petaling Jaya kira-kira pukul 10 pagi kelihatan tenang, memakai baju-T warna kelabu dan bercermin mata gelap. 
Zarina bersama rakan lelakinya, Mohamad Fakhruzaim Mohamad Fawzi, 27, didakwa di Mahkamah Majistret di sini Rabu lepas memiliki dua biji pil Eramin 5 anggaran seberat 0.6 gram, di sebuah kediaman di Jalan PJU 10/1C Damansara Damai, pukul 5.30 petang pada 30 Dis lalu.
Kedua-duanya pelajar sebuah kolej swasta, dituduh mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 12(3) akta sama yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda RM100,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Majistret Nazri Omran membenarkan kedua-dua tertuduh, yang mengaku tidak bersalah, dijamin RM2,000 sementara menunggu sebutan semula kes pada 8 Feb depan.
Hanya Mohamad Fakhruzaim dapat mengemukakan penjamin manakala Zarina Anjoulie terpaksa dihantar ke penjara kerana tiada ahli keluarga yang hadir untuk menjaminnya.
Nazri memerintahkan kedua-dua tertuduh hanya boleh dijamin oleh ahli keluarga sahaja.- Bernama

Nicol layak ke separuh akhir Siri Akhir Dunia 2013

Nicol David
Nicol David
JUARA dunia tujuh kali, Datuk Nicol David sudah berada di landasan yang betul untuk mempertahankan kejuaraan skuasy Siri Akhir Dunia 2013 apabila layak ke separuh akhir.

Pada pertandingan di The Queens Club, London semalam, Nicol, 29, hanya mengambil masa 19 minit untuk menempa tiket separuh akhir apabila mengatasi pemain Belanda, Natalie Grinham 11-4 dan 11-8 dalam perlawanan terakhir Kumpulan A.

Nicol muncul juara edisi sulung kejohanan itu tahun lepas dengan mengalahkan pemain Ireland Madeline Perry 11-9, 11-9, 11-9.

Kejohanan, yang menjadi kemuncak penghujung musim skuasy dunia itu, menampilkan lapan pemain terbaik wanita dan lelaki dunia. - Bernama

Bojan rahsiakan nama 11 pemain terbaik

Bojan rahsiakan nama 11 pemain terbaik
Pemain Kelantan menggayakan jersi baru "home" dan "away" pada Majlis Pelancaran Jersi dan Barangan Rasmi The Red Warriors semalam - foto Bernama
HANYA pemain yang menunjukkan kehebatan sebenar tanpa mengira usia yang akan dipilih dalam senarai kesebelasan utama The Red Warriors musim ini, kata jurulatih Bojan Hodak.

"Tiada pemain muda atau senior. Pemain perlu membuktikan mereka cukup baik untuk membarisi senarai pasukan Kelantan," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Meskipun telah mempunyai senarainya sendiri, namun jurulatih kelahiran Croatia itu tidak mahu mendedahkannya kerana mahu para pemain terus bersaing untuk mendapat tempat.

"Saya sudah kenal pasti 11 pemain, nama mereka masih dirahsiakan, saya mahu pemain bersaing untuk mendapatkan tempat dalam pasukan," katanya.

Menurut Hodak beberapa pemain muda yang melalui sesi ujian sebelum ini, dipertimbangkan untuk mengisi kesebelasan utama pasukan Kelantan.

Mereka termasuk Nik Shahrul Azim Ab Halim, Mohamad Aris Zaidi, Muhammad Izuan Mohd Salahuddin, Norhadi Ubaidillah, Mohd Haris Safwan Mohd Kamal dan Tuan Muhammad Faim Tuan Zainal Abidin.

Mengulas mengenai perlawanan Sumbangsih merebut Piala Sultan Haji Ahmad Shah di Stadium Shah Alam malam esok, Hodak mengakui Kelantan berdepan tugas berat bertemu juara Liga Perdana musim lalu, Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Bagaimanapun, Hodak optimis Kelantan mempunyai peluang cerah memenangi perlawanan tersebut sekali gus memulakan musim 2013 dengan langkah kanan.

Katanya, pemain import, Keita Mandjou pula kini dalam proses menyesuaikan diri dengan skuad The Red Warriors dan beliau yakin pemain itu akan memberi sumbangan besar di bahagian serangan untuk Kelantan. - Bernama

Isu Mat Yo: Annuar mahu Tunku Ismail profesional

Milik Mat Yo
Mat Yo

PRESIDEN Persatuan Bolasepak Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa membidas kenyataan Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang memintanya menghentikan drama dan politik melibatkan Norshahrul Idlan Talaha.

Annuar berkata, dalam isu penyerang itu, yang turut dikenali sebagai Mat Yo, yang patut berhenti drama dan bersikap profesional adalah Tunku Ismail sendiri kerana isu tebus kontrak adalah antara pemain itu dengan bekas majikannya.

“Sebenar saya belum pernah membuat sebarang komen secara langsung terhadap Presiden PBNJ kerana saya memandang tinggi dan hormat statusnya sebagai seorang anak Raja bergelar Tengku Mahkota.

“Namun hari ini saya terpanggil memberi reaksi dan juga ingin menegur Presiden PBNJ agar  jangan keterlaluan dalam berkata atau berbuat sesuatu kerana dalam sukan dan persatuan hanya ada satu peraturan untuk semua tanpa adanya beza berasaskan ras, warna kulit, pangkat atau keturunan,” kata Annuar yang dipetik menerusi laman Facebooknya, semalam.

Dalam laporan semalam, Tunku Ismail mahu Annuar menghentikan drama dan politik melibatkan Mat Yo.

Baginda juga mahu Annuar lebih bersikap matang dan profesional dalam mengendalikan pasukan bola sepak.

Tunku Ismail memberi jaminan Mat Yo akan membayar harga tebus kontrak seperti diminta Kafa.

"Jangan panjang-panjangkan cerita. Dia (Mat Yo) akan bayar (harga tebus kontrak) pada hari ini. Anda (Annuar) perlu matang. Dalam sukan bola sepak, mesti ada pemain yang datang dan pergi. Anda perlu terima dan bersikap profesional."

Sebagai contoh, jika satu hari nanti Safee Sali mahu keluar dari pasukan, saya akan terima. Beliau (Annuar) sepatutnya berterima kasih kepada Mat Yo atas sumbangan diberikan dan bukannya bercakap benda kurang menyenangkan terhadap pemain ini,” katanya.

Dalam pada itu, Tunku Ismail turut berkata, Mat Yo akan menjelaskan bayaran harga tebus kontrak sebanyak RM250,000 seperti ditetapkan oleh FAM.

Mengulas mengenai jumlah bayaran harga tebus kontrak sebanyak RM250,000 yang ditetapkan oleh FAM seperti yang dinyatakan Tunku Ismail, Annuar menyifatkan kenyataan Presiden PBNJ itu satu pembohongan.

Beliau menegaskan, isu tebus kontrak tidak kena-mengena dengan pihak ketiga iaitu PBNJ, malah kenyataan Tunku Ismail adalah bukti campur tangan dan 'inducement' di luar peraturan dan etika oleh Johor yang menjadi punca isu semasa.

“PBNJ hanya terkait isu perpindahan yang kita tiada halangan mengenainya bila isu tebus kontrak oleh Mat Yo selesai.

“Jadi, isu kontrak tak ada kena-mengena dengan PBNJ. Mereka tak perlu memberi  jawapan kononnya hari ini nak bayar RM250,000 dan kononnya FAM sudah putuskan jumlah tersebut, ia adalah satu pembohongan.

“Sedangkan FAM belum membuat keputusan, lagipun FAM sudah menetapkan bahawa kedua pihak Kafa dan Mat Yo memfailkan afidavit untuk dinilai oleh Jawatankuasa Status Rayuan,” ujarnya.

Tambah Annuar: “Setakat yang kita tahu jawatankuasa belum lagi berbuat demikian, kita belum dimaklum apa-apa dan kita tunggu saja."

“Jadi, tidak perlu Presiden PBNJ cuba menggunakan nama FAM. Had RM250,000 yang dirujuk adalah had bayaran perpindahan kiranya antara kelab gagal sepakat, namun ia tidak merujuk kepada jumlah pampasan terkait dari ingkar kontrak antara kedua-dua pihak yang ada prosedur menentukannya," katanya.

Sehubungan itu, Annuar mahu Presiden PBNJ yang jauh lebih muda daripadanya agar turut belajar jadi matang dan jangan berdrama serta mengelirukan fakta.

“Tunku Ismail perlu belajar merendah diri, sabar mengikut peraturan dan biarlah benar-benar profesional sebelum mahu menegur persatuan atau orang lain,” jelas beliau. - SinarHarian

Iklan Mangga