SPEKULASI penghijrahan beberapa tonggak utama Kelantan - Khairul Fahmi Che Mat, S. Chanturu, Mohd. Rizal Fahmi Rosid serta kapten, Mohd. Badri Radzhi akhirnya reda.
Semalam, Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) mengesahkan keempat-empat pemain terbabit akan terus menyarung jersi Kelantan musim depan.
KAFA turut mengesahkan beberapa lagi pemain - Mohd. Shahrizan Ismail, S. Subramaniam, Mohd. Farisham Ismail, Mohd. Nizab Ayub, Mohd. Shakir Shaari, Mohamad Ab. Aziz Ismail, Mohd. Daudsu Jamaluddin, Muhammad Ramzul Zahini Adenan, Zairul Fitree Ishak, Nurul Azuan Roya serta peledak berbisa, Norshahrul Idlan Talaha akan kekal bersama juara Liga Super itu.
Presiden KAFA, Tan Sri Annuar Musa berkata, pengumuman tersebut terpaksa dibuat lebih awal untuk mengelakkan sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan persiapan pasukan untuk menghadapi cabaran yang lebih besar musim hadapan.
Menurutnya, keputusan untuk mengekalkan 15 pemain tersebut dibuat berdasarkan aksi dan persembahan yang dipamerkan mereka sepanjang beraksi dengan Kelantan musim ini.
"Keputusan ini diambil untuk mengelakkan pasukan yang ingin memancing pemain Kelantan mengetahui mereka masih mempunyai baki kontrak bersama The Red Warriors. Untuk makluman kesemua pemain itu sudah menandatangani kontrak bersama The Red Warriors.
"Baki sepuluh pemain lagi diisi oleh lima pemain tempatan (dari luar Kelantan) serta tiga tenaga import dan dua pemain skuad Piala Presiden Kelantan yang didaftarkan untuk beraksi bersama pasukan Liga Super iaitu Zamri Ramli dan Nik Mohd. Shahrul Azim Nik Ab. Halim," jelas Annuar.
Annuar berkata, pihaknya juga masih mengadakan rundingan dengan lima pemain tempatan dari luar Kelantan sedang berjalan dan empat daripadanya sudah bersetuju untuk bersama The Red Warriors.
"Buat masa ini, KAFA belum berhasrat untuk mengumumkan siapakah pemain tersebut," katanya.
Dalam pada itu, Annuar memberitahu, KAFA telah bersetuju untuk melepaskan sepuluh pemainnya untuk beraksi bersama pasukan baharu bagi saingan musim hadapan.
Antara pemain yang dilepaskan ialah Norhadi Ubaidillah, Wan Rohaimi Wan Ismail, Wan Zaman Wan Mustapha, Khairan Eruan Razali, Khairan Eroza Razali, Khalid Jamlus, Solehin Kanasian Abdullah, Daniel Fadzly Abdullah dan Zul Yusri Che Harun, manakala penjaga gol veteran, Mohd. Halim Napi mengambil keputusan untuk bersara daripada arena bola sepak.
"Keputusan untuk melepaskan pemain itu dibuat lebih awal bagi membolehkan mereka mencari pasukan baharu untuk beraksi musim hadapan dan untuk itu, KAFA bersedia membantu pemain terbabit," ujarnya.
Mengulas mengenai pemain import, Annuar berkata, beliau memberikan tempoh sehingga akhir bulan ini buat ketua jurulatih, Peter James Butler untuk memilih pemain.
"Saya memberikan kebebasan sepenuhnya kepada beliau (Butler) untuk membuat pemilihan dan kita berharap senarai pemain import dan keseluruhan pasukan dapat dilengkapkan sebelum sambutan Hari Raya Aidiladha.
"Sebaik sahaja kesemuanya selesai, kita akan memulakan sesi latihan sebagai persediaan awal sebelum bermulanya saingan liga musim hadapan," katanya. - KOSMO
Tiada ulasan:
Catat Ulasan