SHAH ALAM: Dua juri tetap program Vokal Bukan Sekadar Rupa, iaitu penyanyi Erra Fazira dan komposer Azmeer berhati-hati dalam membuat keputusan penyingkiran peserta yang bertanding.
Menurut Azmeer, dia terpaksa tegas mengatakan ‘ya’ atau ‘tidak’ pada pusingan awal ini sebelum peserta terpilih untuk ke peringkat seterusnya bermula minggu ketiga.
“Ini bukan lagi sesi uji bakat dan saya perlu membuat pilihan yang tepat. Namun, pada minggu pertama ini, saya berpuas hati dengan tahap vokal setiap peserta.
“Cuma Muhd Fakhrullah Mohd Yusoff (Epiit) terpaksa disingkirkan pada malam ini kerana kemerduan suaranya hilang pada bahagian korus,” katanya sewaktu sidang media selepas konsert mingguan pertama di Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, di sini, Ahad.
Sementara itu, Erra mempunyai pendapat tersendiri dalam menentukan peserta yang layak kekal dan disingkirkan bilamana dia berbeza pemikiran dengan Azmeer dan juri undangan, penyanyi Datuk Siti Nurhaliza.
“Saya mengikut pendirian sendiri dan mahu lebih jujur tetapi tidak bermakna jika saya mengatakan ‘tidak’, peserta itu tidak bagus.
“Epiit boleh menyanyi tetapi suaranya agak biasa kerana saya menjangkakan setiap peserta memberikan vokal yang luar biasa,” ujarnya.
Dalam pada itu, Epiit yang menjadi peserta pertama disingkirkan dalam program realiti itu manakala empat peserta lain berjaya mara ke minggu ketiga terpaksa akur dengan nasibnya.
“Saya anggap tiada rezeki untuk meneruskan langkah dalam program ini dan hanya berserah.
“Bagaimanapun saya bersyukur kerana diberikan peluang berbanding sebelum ini apabila selalu terkandas ketika sesi uji bakat. Saya juga reda dengan kekalahan ini memandangkan saya terpilih antara 2,000 orang yang menghadiri sesi uji bakat,” katanya yang sempat menjalani latihan vokal selama seminggu sepanjang menyertai program ini.
Kesemua finalis telah dibahagikan kepada dua kumpulan di mana kumpulan pertama terdiri daripada Asmidar, Epiit, Boby, Mafa dan Azmarul manakala Fakhrul, Irsa, Aswad, Boy dan Adeq dalam kumpulan kedua.
Bermula minggu ketiga, setiap finalis akan dinilai mengikut format pemarkahan 50 peratus daripada juri tetap dan 50 peratus undian khidmat pesanan ringkas (SMS).
Dua finalis yang berjaya peringkat akhir pada minggu kesepuluh bakal membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM50,000 untuk juara manakala RM30,000 (naib juara).
Program ini disiarkan secara langsung di TV3, pukul 9 malam selama 10 minggu dan pertandingan akhir dijadualkan berlangsung pada 25 Disember depan. - mStarOnline
Tiada ulasan:
Catat Ulasan