KUALA LUMPUR: Pelakon dan vokalis kumpulan Wings, Awie atau nama sebenarnya Ahmad Azhar Othman enggan dilabel sebagai seorang gengster Melayu hanya kerana imejnya.
Awie berkata, baginya gelaran itu tidak layak untuk dia kerana perwatakannya jauh berbeza di mana dia merupakan seorang yang suka melawak dan penyayang.
"Mungkin dari segi luaran saya nampak garang tapi sebenarnya saya seorang yang sangat penyayang tau," selorohnya ketika ditemui pada sidang akhbar penganjuran pertandingan nyanyian iaitu Barisan Nasional (BN) 1 Youth Music di pejabat Pemuda UMNO, Menara Datuk Onn, di sini, Khamis.
Bagaimanapun kata bintang filem Hantu Kak Limah Balik Rumah itu, gelaran tersebut diperkatakan mungkin kerana dia seorang yang lantang dalam mempertahankan haknya dalam apa jua perkara.
"Bagi mereka yang rapat dengan saya mereka akan tahu, saya seorang yang lantang bersuara dalam apa sahaja situasi bagi mempertahankan sesuatu hak.
"Paling tidak pun, saya seorang yang sangat tegas mengenai isu pembelaan artis. Mungkin dari situ orang nampak saya seorang yang kasar," katanya.
Sementara itu, pada sidang akhbar tersebut, Awie bersama rakan-rakan artis lain yang antaranya seperti Zed Zaidi, Adam (AF), Ezany Nizarif dan Rashdan Baba akan bekerjasama dengan Pemuda UMNO menganjurkan pertandingan BN 1 Youth Music.
Pertandingan yang dibuka kepada semua golongan itu akan bermula di sekitar pertengahan bulan November dan tarikhnya akan diumumkan tidak lama lagi.
Menurut Ketua Pemudanya, Khairy Jamaluddin, para peserta perlu melalui uji bakat dengan merakamkan video nyanyian masing-masing dan kemudian ia perlu dihantar ke laman web rasmi pertandingan berkenaan.
"Peserta-peserta yang dipilih akan melalui proses saringan pula sebelum ke peringkat seterusnya iaitu pertandingan separuh akhir dan akhir yang diadakan secara langsung pula.
"Saya harap, menerusi pertandingan ini, lebih ramai lagi remaja berbakat tampil menunjukkan skil nyanyian masing-masing lebih-lebih lagi apabila mereka hanya perlu merakamkan video nyanyian sahaja tanpa perlu rasa takut untuk berhadapan dengan juri," katanya.
Tambah Khairi, BN 1 Youth Music juga tiada kaitan dengan unsur-unsur politik, malah ia diadakan agar dapat mengumpulkan anak-anak remaja melakukan aktiviti-aktiviti berfaedah.
Antara selebriti yang akan bekerjasama dalam pertandingan ini ialah Awie, selaku ketua juri, Zed Zaidi, Adam AF, Ezany Nizariff, Rashdan Baba, Hairy (Kool) dan Alfa (Nico). - mStarOnline
Tiada ulasan:
Catat Ulasan