MANIAM (kanan) melawat Amri (dua dari kiri) yang mengalami kecederaan lutut kanan dan terlepas aksi menentang Terengganu, malam ini. |
SELANGOR berdepan Terengganu pada aksi separuh akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Shah Alam, malam ini tanpa kelibat kapten, Amri Yahyah yang mengalami kecederaan ligamen kolateral medial (MCL) pada lutut kanan.
Namun jurulatih Selangor, P Maniam tidak mahu ia dianggap kekurangan kerana yakin kehadiran puluhan ribu penyokong setia Merah Kuning mampu menyemarakkan lagi semangat pemain Selangor yang lain.
“Memang ketiadaan Amri dirasai kerana dia seorang pemain yang berkualiti dan penjaring utama. Rudie Ramli atau Azidan Sarudin akan isi tempat Amri. Jika saya tolak Azidan ke atas, tempatnya akan diisi Hardi Jaafar.
“Tapi apabila beraksi di tempat sendiri, dengan kehadiran sultan, menteri besar dan puluhan ribu penyokong, saya yakin ia akan membuatkan pemain lebih bersemangat, positif dan beraksi lebih baik.
“Saya sedar Terengganu pasukan mantap. Ia pasti bukan perlawanan mudah. Apa pun, sasaran kami adalah menang sekurang-kurangnya 1-0 untuk aksi pertama ini,” kata Maniam ketika ditemui selepas sesi latihan di Padang SUK, Shah Alam, petang semalam.
Dalam pada itu, Amri masih mengharapkan ‘keajaiban’ mampu pulih segera bagi membantu rakan-rakan sepasukan merealisasikan ‘Misi 33’.
“Keputusan ujian MRI akan diperolehi esok (hari ini). Harap kecederaan MCL ini tidak serius kerana jiwa saya begitu bersemangat untuk kembali pada aksi kedua, Sabtu ini,” kata Amri. - BHarian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan