PEMINAT tidak dapat menerima kekalahan Lin Na pada pusingan pertama Kejohanan Tenis Terbuka China kelmarin. |
BEIJING - Ratu tenis China, Li Na menerima kritikan yang hebat selepas tersingkir pada pusingan pertama Kejohanan Tenis Terbuka China kelmarin.
Peminat Li Na yang kecewa dengan kekalahan tersebut menuduh juara Terbuka Perancis itu tidak begitu serius dan bekerja keras sehingga menyebabkan dia kalah.
Li Na yang mencuri tumpuan selepas dia melakar sejarah di Paris pada Jun lalu apabila menjadi pemain Asia pertama memenangi gelaran perseorangan pada kejohanan Grand Slam tewas 4-6, 0-6 kepada pemain kelayakan dari Romania, Monica Niculescu.
"Dia (Li Na) menjadi juara. Selepas itu dia mengikat perjanjian dengan pengiklan dan memperoleh pendapatan yang lumayan. Jadi bila masa untuk berlatih?" menurut satu poster yang mengulas lanjut kekalahan pemain itu dalam satu portal berita popular.
Beberapa produk berjenama seperti Mercedes-Benz, Rolex dan pengeluar ais krim, Haagen-Dazs serta syarikat sukan gergasi, Nike telah memilih untuk bekerjasama dengan Li Na di China.
"Ia bukan sesuatu yang pelik (kekalahan itu) kerana lebih mengejutkan ketika dia menang sebelum ini. Begitupun, dia tidak begitu serius sejak akhir-akhir ini."
Li Na yang ketika ini menduduki ranking No. 5 dunia, tewas kepada Niculescu tidak sampai 90 minit di hadapan peminat sendiri di Beijing.
Sementara itu, juara bertahan, Caroline Wozniacki dipaksa bekerja keras sebelum menang 3-6, 6-0, 7-5 ke atas Lucie Hradecka pada pusingan pertama semalam.
Wozniacki yang menduduki ranking tertinggi dalam WTA tetapi belum pernah memenangi gelaran Grand Slam, menampilkan aksi tidak menentang sejak beberapa bulan lalu.
Begitupun, Beijing adalah tempat yang dianggap istimewa buat pemain Denmark itu yang memenangi enam gelaran musim ini.
Dia dinobatkan selaku pemain No. 1 dunia di bandar China itu setahun yang lalu. - AFP
Tiada ulasan:
Catat Ulasan