ALEX YOONG (belakang, kiri) meraikan kejayaan memenangi pingat emas ke-40 buat negara di Kompleks Luncur Air, Stadium Jakabaring, Palembang semalam. |
PALEMBANG - Peluncur air lelaki negara, Alex Yoong melakar sejarah tersendiri apabila menjadi atlet negara yang berjaya meraih emas yang ke-40 semalam.
Kejayaan tersebut melengkapkan sasaran yang ditetapkan oleh Majlis Sukan Negara (MSN) sebelum ini.
Selepas lawan pedang meraih emas ke-38 di Jakarta dan Phillipa Yoong yang ke-39, Alex Yoong yang juga bekas pelumba Formula Satu (F1) negara tampil meraih emas keramat itu dengan menjuarai acara keseluruhan yang menggabungkan disiplin jumping, tricks dan slalom.
Alex Yoong menewaskan dua peluncur air dari Indonesia, Muhammad Zahidi di tempat kedua dan Fajar Eka Samudra, ketiga.
"Saya tidak memikirkan langsung tentang angka 40 itu dan hanya beraksi sebaik mungkin untuk menang pingat emas walaupun hanya berlatih sejak lima bulan lalu.
"Saya hadiahkan pingat emas ini kepada semua warga permotoran termasuk yang telah meninggal dunia baru-baru ini. Ia sesuatu yang hebat dapat menang emas di sini," katanya.
Sebelum ini dalam acara slalom, Alex Yoong memenangi perak, manakala adiknya, Phillipa Yoong meraih emas. Ini tidak termasuk adik tirinya, Aalliyah Yoong Hanifah yang memenangi emas acara tricks.
Sementara itu, Phillipa turut menyumbang pingat emas semalam dengan menjuarai acara keseluruhan wanita dengan menewaskan peluncur Singapura, Christian Sasha di tempat kedua dan P. Sareeya dari Thailand, ketiga.
Walaupun berdepan masalah kecederaan lutut, ia ternyata tidak menghalang ibu kepada dua anak ini untuk menambah pingat emas buat kontinjen negara.
Dengan kejayaan itu, ski air telah berjaya menyumbang empat pingat emas setakat ini pencapaian yang boleh dianggap mengejutkan dan merupakan emas bonus buat Malaysia di Palembang. - KOSMO
hebat laa..
BalasPadammalaysia boleh ..
alhamdulillah.....setakat ni kita mmg hebat.....
BalasPadam