slmt dtg

Pengikut

ads by mangga

HBeat

Sabtu, 19 November 2011

Ujian Harimau Muda


KIM SWEE (dua dari kanan) dan pembantunya, Hassan Sazali berbincang sesuatu ketika mengendalikan sesi latihan skuad Harimau Muda di Jakarta semalam.

JAKARTA - Pengendali Harimau Muda, Ong Kim Swee sah tidak akan berada di bangku simpanan pemain ketika skuad bola sepak bawah 23 (B-23) tahun negara membuat perhitungan dengan Myanmar pada aksi separuh akhir temasya Sukan SEA di Stadium Gelora Bung Karno di sini hari ini.
Ia gara-gara penggantungan satu perlawanan yang dikenakan ke atas Kim Swee selepas beliau diarah keluar padang ketika barisan Harimau Muda membenam Indonesia 1-0 pada aksi terakhir Kumpulan A malam kelmarin.
Insiden itu berlaku selepas Kim Swee didakwa cuba mempertikai keputusan pengadil perlawanan, Fahad Alkasssar dari Emiriyah Arab Bersatu (UAE).
Kim Swee ternyata berang dengan tindakan Fahad yang hanya melayangkan kad kuning kepada pemain Indonesia, Ramdani Lestaluhu selepas melakukan terjahan keras terhadap Syahrul Azwari Ibrahim penjaring gol tunggal Harimau Muda kelmarin.
Pada mulanya, Kim Swee dilihat bertikam lidah dengan penjaga garisan dari Korea Selatan, Kim Sung-il di tepi padang sebelum Fahad terus mengarahkannya meninggalkan bangku simpanan pemain.
Ketiadaan Kim Swee di tepi padang hari ini menyaksikan pembantunya, Hassan Sazali bertindak sebagai perantara bagi menyalurkan setiap arahan kepada para pemain Harimau Muda.
"Untuk melancarkan setiap arahan yang diberikan kepada pemain, saya akan menggunakan walkie-talkie yang lebih berkesan dan efektif. Yang paling mustahak para pemain dapat mesej yang jelas daripada saya.
"Apa yang disampaikan oleh Hassan sudah pasti berpandukan kepada setiap arahan dan perancangan saya. Jadi saya harap para pemain faham dengan situasi esok (hari ini)," jelas Kim Swee semalam.
Biarpun tidak dapat menemani para pemainnya di bangku simpanan, Kim Swee tidak mahu menjadikan ia sebagai satu alasan buat mereka gagal menampilkan persembahan yang baik.
"Walaupun saya tidak akan berada di tepi padang atau bangku simpanan pemain, para pemain harus memberikan tumpuan sepenuhnya ketika beraksi menentang Myanmar nanti.
"Saya akan melihat permainan mereka dari atas (tempat duduk penonton) dan jika ada apa-apa arahan yang perlu disampaikan, saya akan terus memaklumkan kepada Hassan," kata Kim Swee.
Difahamkan, kem Harimau Muda yang diketuai pengurus, Datuk Hamidin Mohd. Amin akan mengemukan rayuan kepada Jawatankuasa Pertandingan acara bola sepak Sukan SEA 2011 pagi ini berhubung hukuman yang dikenakan terhadap Kim Swee.
Mengulas mengenai lawan yang akan ditentang Harimau Muda hari ini, Kim Swee berkata, skuad kendaliannya tidak boleh memandang rendah keupayaan Myanmar.
"Saya sudah melihat video rakaman perlawanan membabitkan Myanmar dengan Timor Leste. Pada perlawanan itu, mereka menampilkan corak permainan secara menyerang.
"Pada perlawanan menentang Vietnam pula, apa yang saya lihat mereka mengamalkan corak permainan bertahan. Jadi melalui video rakaman yang telah saya saksikan, Myanmar merupakan sebuah pasukan yang bergerak secara berpasukan.
"Sudah tentu, jika kita mahu menembusi benteng Myanmar, saya perlu menampilkan corak permainan pantas, bukan sahaja larian, malah hantaran juga harus pantas," katanya.
Kim Swee juga berharap aksi hari ini tidak berlanjutan hingga masa tambahan atau sepakan penalti.
"Melihatkan jadual yang agak padat, saya bimbang jika perlawanan terpaksa dilanjutkan pada masa tambahan, ia akan memberi kesan kepada para pemain.
"Bagaimanapun, saya tetap bersedia dengan sebarang kemungkinan jika perlawanan itu nanti berakhir dengan penentuan sepakan penalti," jelas Kim Swe.
Di sebalik hukuman terhadap Kim Swee, kem negara mampu menghela nafas lega kerana lapan pemain yang menerima satu kad kuning pada aksi peringkat kumpulan sebelum ini kembali 'bebas'.
Lapan pemain terbabit ialah kapten, Baddrol Bakhtiar, Izzaq Faris Ramlan, Mahali Jasuli, Mohd. Fadhli Shas, Mohd. Fandi Othman, Syahrul Azwari, Muhd. Nazmi Faiz Mansor dan K. Gurusamy. - KOSMO

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Iklan Mangga