Esther Cheah hanya menyaksikan rakan-rakannya menjalani latihan selepas mengalami kecederaan lutut kanan akibat terjatuh dari tangga bas di Jakarta, semalam. |
JAKARTA – Pemain boling wanita negara, Esther Cheah mungkin terpaksa beraksi pada Sukan SEA XXVI dengan mengambil ubat penahan sakit ekoran kecederaan serius kaki kanan yang dialaminya akibat terjatuh ketika turun dari bas sejurus tiba di hotel penginapan, kelmarin.
Akibat kejadian itu, pergelangan kakinya bengkak manakala lututnya bercalar. Ekoran kecederaan tersebut, dia terpaksa berehat dan hanya menyaksikan rakan sepasukan menjalani latihan di Pusat Boling Jaya Ancol di sini, semalam.
Menurut Esther, mengambil ubat penahan sakit merupakan pilihan terakhir jika kecederaannya tidak sembuh menjelang saingan acara boling yang bermula Selasa ini.
“Saya agak bernasib baik kerana kecederaan berlaku pada kaki kanan, yang mana ia tidak begitu menjejaskan imbangan badan ketika menghayun bola.
“Namun kesakitan tetap dirasai. Saya yakin dalam tempoh dua tiga hari sebelum saingan bermula, kecederaan ini boleh pulih.
“Jika tidak saya terpaksa mengambil ubat penahan sakit demi untuk beraksi. Jika ia berlaku (mengambil ubat penahan sakit), prestasi saya mungkin terjejas,” katanya.
Boling dijangka mampu meraih lebih tiga emas menerusi 10 acara pada Sukan SEA iaitu lima lelaki dan wanita yang dipecahkan kepada perseorangan, beregu, trio, berpasukan dan master.
Boling cemerlang dengan tujuh emas pada Sukan SEA 2001 Kuala Lumpur dan di Korat pada 2007 empat pingat emas.
Enam pemain lelaki yang akan beraksi di Jakarta ialah Aaron Kong, Alex Liew, Adrian Ang, Muhamad Syafiq Ridhwan Abdul Malek, Muhammad Nur Aiman Muhammad Khairuddin dan Zulmazran Zulkifli.
Skuad wanita pula diperkuatkan dengan kehadiran juara dunia, Jacqueline Jenelee Sijore.
Sementara itu, jurulatih skuad boling kebangsaan, Holloway Cheah berkata, dia belum memikirkan untuk memanggil pengganti Esther.
“Kita masih ada masa lima hari sebelum acara boling bermula dan saya percaya kecederaan Esther boleh sembuh, jadi saya tidak ada cadangan untuk menyenaraikan pemain lain bagi menggantikan Esther,” katanya. – Utusan
Tiada ulasan:
Catat Ulasan