BEKAS pengendali Terengganu, Irfan Bakti Abu Salim berazam membantu Selangor kembali berada di ambang kemasyhuran sebaik mengesahkan bakal mengemudi gergasi Lembah Klang itu musim depan.
Jurulatih kelahiran Kelantan berusia 60 tahun itu berkata, cabaran mengendalikan pasukan sehebat Selangor sememangnya satu tanggungjawab yang cukup besar.
Justeru Irfan Bakti berkata, beliau benar-benar berharap kehadirannya musim depan mampu menterjemahkan segala impian Gergasi Merah menjadi realiti terindah, selain berdoa agar turut direstui ribuan penyokong fanatik Merah Kuning.
"Siapa yang tidak kenal Selangor, di sini kehebatan mereka seolah-olah seperti Manchester United, sebab itu saya terima (tawaran).
"Mudah-mudahan saya dapat membantu Selangor menamatkan kemarau trofi termasuk Piala Malaysia," kata Irfan Bakti.
Meskipun gagal membantu Terengganu menamatkan penantian selama sedekad apabila tewas 1-2 kepada Negeri Sembilan di pentas final Piala Malaysia (Sabtu lalu), kredibiliti Irfan Bakti selaku jurulatih sememangnya tidak boleh dipertikai.
Walaupun kegagalan itu turut menyaksikan Irfan berterusan kempunan mendakap Piala Malaysia, beliau masih berjaya membantu Terengganu menjulang Piala FA musim ini, selain menamatkan kedudukan di tangga kedua Liga Super.
Irfan yang memulakan kerjayanya selaku jurulatih pada 1996 dan pernah membantu kelab Indonesia, Persipura muncul juara Liga Indonesia pada 2007 memberitahu, setakat ini beliau masih belum membuat pengesahan rasmi secara hitam putih dengan pengurusan Selangor.
"Belum bincang lagi, mungkin dua tahun, mungkin hanya setahun atau pilihan lanjutan tambahan kontrak selama setahun, semuanya bergantung dalam perbincangan itu nanti," katanya yang masih bercuti di Kota Bharu.
Mengenai pemain yang akan dipikatnya bagi menyarung jersi Selangor musim depan, Irfan enggan mengulas lanjut mengenai perkara itu kerana yakin dengan kredibiliti pemain-pemain Selangor yang sedia ada.
"Memang ada yang berkenan di hati tetapi belum ada kata putus. Lagi pun saya lebih gemar mendapatkan khidmat pemain yang mempunyai kehebatan 'tersembunyi', berbanding pemain berstatus bintang.
"Malah pada masa sama, suka saya ingatkan di sini, penghijrahan saya ke Selangor adalah keputusan saya sendiri dan bukannya dipengaruhi oleh tekanan mana-mana pihak," katanya yang pernah membimbing Negeri Sembilan, Perlis dan Telekom Melaka sebelum ini. - KOSMO
Tiada ulasan:
Catat Ulasan