LONDON: Permusuhan antara Sir Alex Ferguson dan Kenny Dalglish kembali membara esok apabila Manchester United meneruskan usaha memburu kejuaraan Liga Perdana dengan menentang Liverpool di Anfield.
Ferguson dan Dalglish mewakili pasukan berbeza pada tahun 1960-an ketika masing-masing mewakili Rangers dan Celtic. Insiden paling diingati Dalglish sudah pastinya ketika dia disiku Ferguson.
Ketika Ferguson membimbing Manchester United pada 1986 beberapa bulan selepas Dalglish memastikan kejuaraan berganda Liverpool, sasaran utamanya adalah untuk menyingkirkan kelab Merseyside itu daripada tampuk kemahsyuran.
Ferguson bagaimanapun terpaksa menunggu lebih tujuh tahun sebelum berjaya merangkul trofi liga pertama kariernya dengan United ketika Liverpool yang dikendalikan Dalglish berjaya menambah tiga lagi kejuaraan dalam tempoh itu, kali terakhir pada 1990.
Tempoh 20 tahun berlalu begitu pantas dan nasib kedua-dua kelab itu kini terlalu berbeza. Tempoh dua dekad menyaksikan kemerosotan kelab Anfield itu meskipun berjaya melakar kejayaan di peringkat Eropah dan kejohanan lain selain Liga Perdana.
Ia berbeza dengan United yang terus melonjak menjadi kuasa besar dalam bola sepak Inggeris. United kini menyamai rekod 18 kejuaraan liga milik Liverpool dengan 11 daripadanya di bawah bimbingan Ferguson dan hanya memerlukan satu lagi kejuaraan untuk mengatasi musuh tradisi itu yang gah dengan status kelab terhebat dalam sejarah bola sepak Inggeris.
Hingga minggu ini, pendahulu liga United dilihat berada di landasan terbaik untuk menjulang trofi liga ke-19. Namun, kekalahan 1-2 kepada Chelsea, Rabu lalu di Stamford Bridge kembali menyuntik harapan kepada pencabar terdekat dan Liverpool boleh membuka kembali perebutan kejuaraan esok jika berjaya menambah satu lagi kekalahan untuk anak buah Ferguson.
Dalglish bagaimanapun menegaskan, tugasnya di Anfield adalah untuk mengukuhkan semula kelab itu berbanding merosakkan rancangan United merangkul kejuaraan. “Kami mahu memperbaiki diri kami dulu,” kata Dalglish. “Jika memperbaiki prestasi dan boleh menjejaskan peluang pasukan lain, itu bukan masalah kami tapi itu masalah mereka.
“Jika kami mendapat keputusan baik Ahad ini (esok), ia akan banyak membantu,” katanya. - AFP
Tiada ulasan:
Catat Ulasan