LONDON - Penyerang muda Brazil, Neymar menjadi buruan Chelsea pada musim panas ini dengan nilai £30 juta (RM145.6 juta) bagi menggantikan Didier Drogba.
Chelsea sebenarnya sudah mengintai kelibat Neymar yang menjaringkan dua gol ketika membantu Brazil menewaskan Scotland 2-0 di Emirates, Ahad lalu sejak dari musim lalu.
Bagaimanapun, hajat Chelsea untuk mendapatkan penyerang berusia 19 tahun tersebut yang mengenakan imej rambut Mohican, tertangguh kerana dia dihantui masalah kecederaan ketika itu.
Sejak pulih, pemain kelab Santos itu sudah berjaya membuktikan semula tahap kecergasannya.
Pemilik Chelsea, Roman Abramovich sudah bersedia untuk menggandingkan Neymar dengan Fernando Torres yang dibeli dengan harga £50 juta (RM242.7 juta) manakala Drogba, 33, pula bakal dijual.
Abramovich melihat Neymar sebagai pemusnah berbahaya di dalam kotak penalti berdasarkan rekod 59 gol yang dijaringkannya sepanjang hanya 119 perlawanan bersama Santos.
Pada Jun tahun lalu, seramai 14,000 penyokong Brazil telah menandatangani petisyen mendesak jurulatih Brazil, Dunga untuk menyenaraikan Neymar bagi Piala Dunia 2010 tetapi ia tidak dilayan Dunga.
Kini dengan usia dan tahap kecergasan Drogba mula diragui, Neymar dilihat sebagai individu paling sesuai untuk mengisi tempat penyerang Ivory Coast itu di Stamford Bridge.
Dalam pada itu, Neymar memberitahu bahawa dia tidak akan membuat laporan berhubung isu perkauman setelah dia dibaling pisang oleh para penyokong Scotland tempoh hari.
"Ia sudah berlalu. Saya sudah pun melupakannya. Cuma saya berharap sesiapa yang melakukannya akan berfikir semula dan tidak mengulanginya," kata Neymar. - Agensi
Tiada ulasan:
Catat Ulasan