IMBAS KEMBALI... Blatter (kiri) dan Hammam hadir pada Kongres Tahunan AFC ke-23 di Kuala Lumpur pada 2009 |
PRESIDEN Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), Mohamed Hammam semalam mengesahkan bahawa beliau akan mencabar Sepp Blatter pada pemilihan jawatan Presiden Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), Jun depan.
Menurut Hammam, beliau membuat keputusan untuk mencabar penyandang berusia 75 tahun itu yang telah memegang tampuk kepimpinan FIFA sejak 13 tahun lalu setelah membuat pertimbangan sewajarnya.
"Selepas membuat kajian dengan cermat dan segala pertimbangan, dengan rasa cintakan bola sepak, saya membuat keputusan untuk bertanding pada pemilihan Presiden FIFA, Jun depan.
"Pada saya, inilah masa paling tepat untuk bertanding jawatan Presiden FIFA.
"Saya sentiasa memiliki kemahuan untuk memimpin dan sentiasa berasakan bahawa pertandingan dan perubahan bagus untuk sesebuah organisasi," kata Hammam pada sidang media di Rumah AFC, Bukit Jalil, Kuala Lumpur semalam.
Hammam mula memegang jawatan selaku Presiden AFC sejak 2002 dan kini memasuki penggal ketiganya.
Ditanya tentang peluangnya untuk menewaskan Blatter, Hammam berkata, masanya sudah tiba untuk FIFA menerima muka baru sebagai presiden.
"Peluang saya 50-50. Blatter memang individu yang cukup berpengalaman. Beliau telah banyak memberi sumbangan kepada bola sepak di seluruh dunia.
"Tetapi saya yakin pasti ada kekangan masa untuk sesuatu perkara itu. Inilah masanya untuk FIFA menerima muka baru dan pemimpin baru.
"Saya harap Asia akan bersatu di belakang saya dan harap terdapat juga sokongan dari benua lain," jelas Hammam.
Kelmarin Blatter yang dianugerahkan pingat Sri Sultan Ahmad Shah Pahang (SSAP) yang membawa gelaran Datuk Seri daripada Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah menjelaskan bahawa beliau sedia mempertahankan jawatannya itu bagi penggal keempat.
Blatter yang mula memegang jawatan Presiden FIFA sejak 1998 berkata, pertandingan untuk merebut jawatan itu sentiasa terbuka setiap empat tahun biarpun beliau yakin masih mendapat sokongan majoriti. - Kosmo
Tiada ulasan:
Catat Ulasan