BERNE - Liverpool berdepan tugas getir menjelang pertemuan menentang kelab Portugal, Braga pada aksi kedua pusingan ketiga saingan Liga Europa di Anfield awal pagi esok.
Ini kerana, skuad kendalian Kenny Dalglish itu tidak mempunyai pilihan selain melakar kemenangan dengan jumlah jaringan yang besar bagi memastikan kemaraan ke peringkat suku akhir.
Minggu lalu, skuad The Reds itu dikejutkan apabila tewas 0-1 di tangan Braga pada aksi pertama di Stadium AXA.
Jika dalam saingan Liga Perdana England, Liverpool mengharapkan sentuhan Luiz Suarez bagi mengetuai jentera serangan mereka, namun khidmat penyerang Uruguay itu terpaksa diketepikan pada pertemuan menentang Braga nanti.
Mengikut peraturan, Suarez tidak boleh beraksi kerana dia hanya dibeli oleh Liverpool pada Januari lalu kerana saingan Liga Europa telah pun bermula.
Ia sekali gus meletakkan Dalglish dalam dilema kerana dia perlu mencari formula baru dalam usaha menembusi kekebalan benteng pertahanan Braga.
"Kami lebih rela sebenarnya menyaksikan Suarez beraksi dalam saingan Liga Europa.
"Namun, dalam masa yang sama, kami juga mahu mengekalkannya untuk tempoh masa yang lama daripada sekadar hanya beraksi untuk tiga bulan sahaja.
"Kami berasa gembira selagi Suarez beraksi bersama kami dan kami hanya perlu menunggu sahaja," jelas Dalglish.
Tanpa kelibat Suarez, Dalglish dijangka mempertaruhkan penyerang Belanda, Dirk Kuyt bagi menge- tuai jentera serangan Liverpool bagi menggempur gawang Braga. - Reuters
Tiada ulasan:
Catat Ulasan