slmt dtg

Pengikut

ads by mangga

HBeat

Sabtu, 1 September 2012

Safee saran tubuh persatuan pemain profesional

 Safee Sali
Mohd Safee Mohd Sali

BUKIT MERTAJAM - Penyerang kebangsaan Mohd Safee Mohd Sali atau lebih dikenali sebagai Safee Sali menyaran agar sebuah persatuan pemain bola sepak profesional diwujudkan bagi membantu, menjaga kebajikan dan memastikan hak pemain dapat dibela sekiranya mereka menghadapi masalah.
  
Beliau yang kini bermain dengan Pelita Jaya FC, Indonesia berkata bola sepak negara sedang mengalami transformasi dan pemain turut mengalami tempiasnya di mana keadaan itu memerlukan satu pihak yang profesional serta aktif untuk melindungi pemain.
    
"Situasi yang dialami dua pemain Terengganu iaitu Muslim Ahmad dan Ismail Faruqi (Asha'ri) sebagai contoh, betapa perlunya persatuan pemain bola sepak profesional di negara ini ditubuhkan yang dengan adanya persatuan tersebut, masalah yang dihadapi oleh pemain dapat ditangani dengan sewajarnya.
    
"Saya amat simpati dengan keadaan yang dialami kedua-dua rakan saya itu, hingga diaibkan sampai begitu sekali," katanya pada majlis sambutan Hari Raya SYM (Sanyang Motor) Bersama Safee Sali di kilang syarikat permotoran terbabit di Alma di sini hari ini.
    
Bekas pemain Selangor, Kuala Lumpur dan Sarawak itu mengulas mengenai nasib dua tonggak Terenganu tersebut yang didakwa jurulatih mereka Peter Butler bahawa mereka membawa wanita ke bilik hotel di Alor Setar pada awal pagi hari perlawanan Kumpulan B Piala Malaysia Terengganu menentang Kedah, Selasa lalu.
 
Kedua-duanya telah menafikan tuduhan tersebut dan menyifatkannya sebagai fitnah yang dilemparkan kepada mereka serta bercadang mengambil tindakan undang-undang.
    
Safee yang juga Duta SYM berkata pemain bola sepak negara ini amat memerlukan satu pihak yang dapat bertindak melindungi mereka seperti yang
dilakukan oleh pemain di Indonesia.
    
Katanya persatuan pemain bola sepak di republik itu begitu aktif dalam menjaga dan memberi panduan kepada pemain mereka.
    
"Bermacam hal dalam melindungi pemain dilakukan persatuan mereka hingga ke soal gaji turut dipantau, hingga ada yang merujuknya ke Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA)," katanya.
    
Sementara itu, Safee berkata fenomena pihak industri semakin banyak memilih pemain bola sepak sebagai ikon produk mereka juga memerlukan satu anjakan daripada pemain itu sendiri.

Katanya pemain bola sepak atau atlet harus lebih berpengetahuan supaya tidak mudah diperdayakan dan diambil kesempatan terhadap populariti yang dipergunakan ke atas mereka.
  
"Mereka (pemain bola sepak dan atlet) perlu lebih peka dan memahami prosedur sebelum bersetuju atau menandatangni sebarang kontrak bersama syarikat yang ada," katanya.
    
Beliau berkata mereka juga seharusnya bertindak secara profesional dengan melantik mana-mana pihak yang lebih berpengetahuan untuk menguruskan karier mereka kerana pendapatan tidak hanya datang dari arena sukan sahaja. - Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Iklan Mangga