slmt dtg

Pengikut

ads by mangga

HBeat

Rabu, 31 Oktober 2012

Kelantan menang Anugerah Persatuan Bola Sepak Terbaik

Kelantan FA
Kelantan FA

BERIKUT pemenang-pemenang Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 100Plus-Astro Arena-FAM 2012 yang diumumkan sebentar tadi:
Anugerah Persatuan Bola Sepak Terbaik- Kelantan


Anugerah Kelab Bola Sepak Terbaik - Sime Darby FC

Anugerah Kelab Penyokong Terbaik - Angkatan Tentera Malaysia ( ATM)

Penjaga Gol Terbaik - Khairul Fahmi Che Mat (Kelantan)


Pemain Pertahanan Terbaik - Mohd Aidil Zafuan Abdul Razak (ATM)

Pengadil Terbaik - Nafeez Abd. Wahab

Pemain Tengah Terbaik - Safiq Rahim (Selangor)

Penyerang Terbaik - Norshahrul Idlan Talaha (Kelantan)

Pemain Import Terbaik - Marlon Alex James (ATM)

Anugerah Khas Bola Sepak Kebangsaan - Allahyarham Tan Sri Abdul Ghani Mihat


Pemain Harapan Terbaik - Mohd Rozaimi Abdul Rahman (Sabah)

Jurulatih Terbaik - B Sathiananthan (ATM)

Pemain Paling Bernilai - Norshahrul Idlan Talaha (Kelantan)

Anugerah Khas Program Pembagunan Bola Sepak Kebangsaan: Kementerian Pelajaran Malaysia (Bahagian Pembagunan Sukan)

- SinarHarian

Selasa, 30 Oktober 2012

Kelantan belum sedia lepaskan Mat Yo

Norshahrul Idlan Talaha @ Mat Yo
Norshahrul Idlan Talaha

PERSATUAN Bolasepak Kelantan (Kafa) belum bersedia melepaskan penyerang berbisa mereka, Norshahrul Idlan Talaha mewakili pasukan lain musim depan, termasuk Johor yang dikatakan berminat mendapatkan khidmat pemain berkenaan.

Setiausaha Kehormat Kafa Azman Ibrahim berkata, berdasarkan kontrak yang ditandatangani, pemain berusia 26 tahun itu masih mempunyai baki setahun bersama Kelantan.

"Semalam, Setiausaha Kehormat PBNJ (Persatuan Bolasepak Negeri Johor, Suhairi Hashim) menghubungi saya memaklumkan bahawa beliau akan menghantar surat buat kali kedua untuk menawarkan pampasan bagi melepaskan Norshahrul.

"Kami akan membincangkan status Norshahrul dalam mesyuarat jawatankuasa pasukan yang akan diadakan tidak lama lagi," katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis Anugerah Bolasepak Kebangsaan 100PLUS-Astro Arena-FAM di Shah Alam, hari ini.

Media sebelum ini, melaporkan bahawa PBNJ berminat mendapatkan khidmat penyerang itu berikutan prestasi cemerlangnya bersama Kelantan musim ini termasuk menyumbat dua gol ketika perlawanan akhir menentang Angkatan Tentera Malaysia (ATM), sekali gus membantu The Red Warriors muncul juara Piala Malaysia buat kali kedua.

Norshahrul yang dikenali dengan panggilan 'Mat Yo' dalam kalangan rakan sepasukan dikatakan menghantar surat kepada Kafa baru-baru ini, untuk membolehkan beliau berhijrah ke pasukan lain namun jawatankuasa pasukan menolaknya dengan alasan pemain itu masih mempunyai kontrak setahun lagi.

Sementara itu, Norshahrul yang ditemui pemberita pada majlis itu berkata, beliau masih berminat mewakili pasukan Johor kerana ingin mencari angin baru.

"Saya difahamkan PBNJ masih menaruh minat untuk mendapatkan khidmat saya, namun semuanya terserah kepada pengurusan pasukan (Kelantan) untuk menentukan masa depan saya," katanya yang dipilih sebagai penyerang terbaik kebangsaan untuk kali ketiga berturut-turut pada majlis itu. 

Beliau berkata, fokusnya kini ialah persiapan bersama skuad kebangsaan untuk mempertahankan kejuaraan Piala AFF, yang dijadual bermula 23 November ini. - Bernama

Ahad, 21 Oktober 2012

Hafizh Syahrin lakar kejutan di Sepang

Hafizh Syahrin
KEJAYAAN pelumba Moto3 Zulfahmi Khairuddin memberi suntikan semangat kepada pelumba Moto2 negara, Hafizh Syahrin Abdullah untuk turut beraksi cemerlang dalam perlumbaan Motosikal Grand Prix Malaysia di Litar Sepang hari ini.

Hafizh Syahrin yang berlumba atas tiket 'wild card' menamatkan perlumbaan di tempat keempat dengan 15 daripada 19 pusingan selepas perlumbaan tersebut terpaksa dihentikan berikutan hujan lebat.

Hafizh Syahrin mencatat masa 37 minit 00.734 saat.

"Selepas Zulfahmi berjaya meraih tempat kedua pada perlumbaan Moto3, kejayaan beliau memberi suntikan semangat kepada saya untuk berada di hadapan. Tiada erti putus asa dan memang kegemaran saya berlumba dalam hujan.

"Saya percaya pada diri yang saya boleh buat di hadapan penonton, saya tidak berputus asa untuk pergi lebih ke depan," kata Pelumba Petronas Raceline Malaysia itu kepada pemberita di Pusat Media Sepang International Circuit (SIC).

Pelumba Republik San Marino, Alex De Angelis dari pasukan NGM Mobile Forward Racing menjuarai perlumbaan Moto2 selepas mencatatkan masa terpantas 36' 57.793s.

Tempat kedua menjadi milik pelumba Australia, Anthony West dari pasukan QMMF Racing Team dengan masa 36'58.503s manakala pelumba Great Britain, Gino Rea dari pasukan Federal Oil Gresini Moto2 di tempat ketiga dengan catatan masa 36'59.156s.

Bermula di petak ke-27, pelumba berusia 18 tahun itu mempamer aksi berani apabila berjaya mendahului perlumbaan di pusingan ke sembilan, sepuluh dan sebelas sekaligus mendapat sorakan gemuruh hampir 70,000 peminat sukan permotoran.

Bagaimanapun kedudukan itu gagal dipertahankan ekoran keadaan tayar mengalami masalah menyebabkan jenteranya sukar berfungsi dengan baik dalam keadaan hujan lebat.

"Semasa perlumbaan saya cuba dapatkan keyakinan. Di pusingan keenam, jentera ada masalah pada tayar belakang kerana saya guna 'full break' dan ketika di selekoh, tayar ada koyak sedikit. Apabila hujan kembali turun, saya terpaksa kawal jentera," katanya.

Hafizh Syahrin berkata beliau juga berpuas hati apabila berjaya berada di hadapan pesaingnya dari Sepanyol, Jordi Torres dari pasukan Mapfre Aspar Team Moto2.

"Sasaran selepas ini mengatasi Torres di pusingan akhir Kejohanan Motosikal Kebangsaan CEV Buckler di Valencia, Sepanyol. Saya juga mahu memberikan saingan sengit kepada Torres dalam trek yang kering," katanya.  - Bernama

Kelantan juara Piala Malaysia 2012

Piala Malaysia
Suasana dalam Stadium Shah Alam ketika perlawanan ATM-Kelantan bermula.
KELANTAN membuktikan kehebatan sebagai gergasi Pantai Timur apabila mencatat kejuaraan treble musim ini dengan merangkul Piala Malaysia 2012 setelah menewaskan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) 3-2 di Stadium Shah Alam, malam ini.
Sebelum ini, Kelantan menjuarai Liga Super dan Piala FA. Pencapaian Kelantan ini kali terakhir dilakukan oleh Kedah selama dua musim berturut-turut pada 2007 dan 2008.
Indra Putra Mahayuddin menjadi wira pasukan Kelantan apabila menjaringkan gol kemenangan sekali gus memastikan Piala Malaysia menjadi milik The Red Warriors setelah hampa pada tahun lepas.
Kelantan, juara Piala Malaysia 2010, tiga kali mendahului ATM sebelum wisel penamat masa tambahan.
Tahun lalu, Kelantan kalah pada Negeri Sembilan.
Dalam perlawanan malam ini, ATM  hampir mendapatkan jaringan awal pada babak awal perlawanan menerusi pemain pertahanannya bagaimanapun, sepakannya tersasar.


Angkatan Tentera Malaysia
Sebahagian dari penyokong ATM.
ATM sekali lagi hampir menjaringkan gol tetapi percubaan Kaptennya, Hairuddin Omar berjaya dikekang oleh pertahanan Kelantan.

Kelantan terus mengatur strategi dan melakukan serangan, namun percubaan Muhammad Afiq Azmi berjaya ditepis oleh Mohd Farizal Harun pada minit keenam.

Pada minit ke-12, Kelantan sekali lagi hampir mendahului lawan tetapi tendangan Norshahrul Idlan Talaha sedikit melencong ke tepi tiang gol.

Susulan serangan pasukan Kelantan, ATM melakukan serangan balas. Kali ini tandukan Hai-0 sekali lagi melambung tinggi pada minit ke-13.

Kelantan mula menemui rentak permainan apabila terus melakukan serangan diketuai Kaptennya, Mohd Badhri Radzi.

Begitupun, serangan menerusi Indra Putra dan Afiq terus gagal membolosi gawang lawan apabila berjaya didakap oleh Farizal Harun.

Keghairahan Kelantan dalam memburu gol pertama akhirnya tertunai apabila rembatan kencang NorShahrul Idlan Talaha berjaya menewaskan Farizal Harun pada minit ke-43.
penyokong pasukan Kelantan
Sebahagian dari penyokong pasukan Kelantan.
Bersambung babak kedua, tidak sempat Kelantan mengatur rentak permainan, ATM terlebih dahulu menjaringkan gol penyamaan menerusi Rezal Zambery Yahya iaitu minit ke-48.

Selang satu minit kemudian, Kelantan memperkemaskan corak permainan dengan aksi lebih tersusun dan Mat Yo sekali lagi menjadi wira apabila menjaringkan gol kedua.

Kegembiraan Kelantan bagaimanapun tidak bertahan lama, apabila jaringan Marlon Alex James pada minit ke-61 berjaya menyamakan kedudukan, sekali gus menggegarkan stadium dengan sorokan penyokong ATM.

Setelah kedua-dua pasukan terikat 2-2, perlawanan diteruskan di masa tambahan selama 30 minit.

Umpama mendapat semangat dari gol kedua, anak didik B.Sathianathan melancarkan gerakan bertali arus melalui kombinasi pemain Hai-0, Marlon dan Aidil namun berjaya dikekang oleh pertahanan Kelantan.

Sebaliknya, Kelantan yang mendapat sorokan lebih 60,000 penyokong nyata menyuntik semangat dalam diri mereka.

Dengan itu, pada minit kelima masa tambahan, gerakan menarik Indra Putra akhirnya berjaya menewaskan penjaga gol ATM, Farizal Harun sekali gus memadam impian skuad The Army untuk menjulang Piala Malaysia buat julung kali.

Pencapaian anak buah Bojan Hodak mendakap piala keagungan bola sepak tanah air itu kali ini adalah yang kedua selepas kali pertama memenanginya pada 2010 apabila menumpaskan Negeri Sembilan 2-1 di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Walaupun turun tanpa penyerang import dari Lubnan, Mohamed Ghaddar di jentera serangan, ia tidak sedikit pun menjejaskan asakan pasukan dari Pantai Timur itu bagi menyekat ATM daripada melakar sejarah menjulang piala berprestij itu buat pertama kali. - SinarHarian

Moto3: Zulfahmi Ditempat Kedua, Cortese Muncul Juara


Pelumba Airasia SIC-Ajo/KTM, Zulfahmi Khairuddin (kiri) bersalaman dengan pemenang tempat pertama pelumba Red Bull KTM Ajo, Sandro Cortese (kanan) selepas berjaya menduduki tempat kedua pada saingan Grand Prix Motosikal Malaysia 2012 (MotoGP 2012) di Litar Antarabangsa Sepang di sini, Ahad. Zulfahmi menduduki tempat kedua dengan catatan masa 40'54.123. --fotoBERNAMA
SEPANG: Pelumba Jerman Sandro Cortese dari pasukan Red Bull KTM Ajo merangkul kejuaraan Moto3 selepas mencatatkan masa terpantas 40 minit 54.123 dalam perlumbaan 18 pusingan Grand Prix Motosikal Malaysia.
Di tempat kedua ialah pelumba Malaysia Zulfahmi Khairuddin dari pasukan AirAsia-SIC-Ajo dengan masa 40'54.151s, manakala penunggang Jerman Jonas Folger dari Mapfre Aspar Team Moto3 di tempat ketiga dengan masa 40'54.370s. -BERNAMA

Jumaat, 19 Oktober 2012

Reputasi Scha & Awal Terjejas Dituduh Jadi Pencuri


Scha Al Yahya
PETALING JAYA: Pelakon Scha Al Yahya tertekan apabila namanya dan suami, Awal Ashaari menjadi bualan selepas dituduh mencuri pakaian yang bernilai RM2,000 di sebuah gedung pakaian jenama terkenal.
Scha atau nama sebenarnya Sharifah Norazean Syed Mahadzir, 29, berkata, hal tersebut benar-benar menjejaskan reputasinya dan Awal walaupun mereka tidak melakukan perkara terkutuk itu.
"Saya pening sebenarnya. Ada yang mengatakan saya yang mencuri pakaian jenama itu dan ada yang kata Awal yang melakukan perbuatan itu.
"Walaupun saya tahu untuk orang mempercayai penjelasan saya sangat sedikit, tetapi saya mahu katakan bahawa saya tidak melakukan perkara terkutuk itu, tidak mungkin.
"Perkara ini benar-benar membuatkan saya tertekan kerana nama saya sudah tercalar," katanya.
Scha ditemui pada majlis pelancaran treler filem Awan Dania The Movie di Kafe Barbara, Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang dekat sini, Khamis.
Pada September lalu, timbul gosip mengenai seorang pelakon terkenal yang dijemput menghadiri majlis pembukaan sebuah gedung pakaian telah mencuri beberapa helai pakaian yang bernilai RM2,000.
Selepas pelbagai spekulasi timbul, pasangan suami isteri itu dituduh mempunyai kaitan dengan gosip tersebut. Mereka dikatakan telah menjual semula pakaian tersebut di kedai milik mereka.
Tambah Scha dia telah berjumpa dengan pengurusan gedung pakaian itu dan meminta pihak terbabit untuk membuat satu kenyataan khas bagi menjelaskan situasi sebenar.
"Saya siap tanya kepada mereka adakah benar kes kecurian itu berlaku? Tetapi mereka kata, tidak ada.
"Kemudian saya meminta pihak gedung berkenaan untuk melakukan sesuatu kerana nama kami sudah tercalar, namun mereka enggan membuat sebarang penjelasan secara formal kerana menganggap tiada sebab untuk mereka berbuat demikian.
“Nak buat macam mana, saya hormat keputusan mereka," tuturnya. - mStarOnline

Denda RM40,000 tidak jejas semangat Kelantan


Liga Super: Kemenangan amat bermakna buat Kelantan, kata Bojan Hodak
Bojan Hodak
"INI bukan petanda buruk buat kami." Itulah kata-kata jurulatih Kelantan, Bojan Hodak ketika ditanya sama ada masalah kehilangan dua penyerang sensasi, Mohamad Ghaddar dan Mohd Nor Farhan, dan denda RM40,000 dikenakan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) semalam melemahkan semangat mereka menjelang final Piala Malaysia, esok.
Kelantan bertemu Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Stadium Shah Alam.
Jelasnya, situasi itu adalah secara kebetulan dan tidak memberi sebarang makna buat Kelantan.
"Ketiadaan Ghaddar, Farhan dan hukuman yang dikenakan denda adalah satu kebetulan, bukannya satu petanda buruk buat kami.
"Lagipun saya tidak tahu menahu berkaitan denda tersebut, jadi saya tidak memikirkannya," tegas Bojan.
Semalam, Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) dikenakan denda RM40,000 atas kesalahan penyokongnya membaling botol ke dalam padang, akhir Ogos lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib FAM, Datuk Taufik Abdul Razak berkata, kesalahan ini dilakukan oleh penyokong Kelantan ketika perlawanan menentang ATM di Stadium Selayang pada 28 Ogos lalu.
Ketika ditanya sama ada kehadiran penyokong The Red Warriors di stadium hanya pembawa masalah kepada pasukan itu, Bojan menyangkal sama sekali dakwaan itu.
Sebaliknya kata beliau, kehadiran mereka adalah pembakar semangat buat pemain bagi mencipta kejayaan.
"Penyokong adalah semangat buat kami, bukannya mendatangkan masalah.
"Isu penyokong buat hal ataupun tidak, itu hak mereka, lagipun mereka sudah matang untuk memikirkan mana yang terbaik.
"Jadi, bagi saya kehadiran penyokong amat penting untuk memeriahkan lagi sesuatu kejohanan, di samping memberi semangat kepada pemain untuk beraksi," kata jurulatih yang berasal dari Croatia itu.
Pada masa yang sama, Bojan turut menasihati para penyokongnya agar dapat mengawal emosi dan mematuhi segala arahan pihak berkuasa supaya tidak timbul sebarang insiden yang tidak diingini.
"Patuhilah segala peraturan FAM dan jagalah nama baik Kelantan sepanjang perlawanan itu nanti," katanya lagi. - SinarHarian

Peter Butler: ‘Saya sangat gembira’


Peter Butler
Peter Butler
“SAYA sangat gembira.” Itulah reaksi Peter Butler ketika dihubungi selepas hukuman gantung yang dikenakan oleh Persatuan Bola Sepak Terengganu (PBSNT) ke atasnya dibatalkan.

Jelasnya, keputusan itu membuktikan bahawa Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sangat profesional.

"Saya mengucapkan terima kasih kepada FAM kerana profesional dalam mengendalikan kes ini.

"Jadi, saya berharap dengan keputusan ini, pihak PBSNT akan menghormati kontrak saya yang masih berbaki 15 bulan bersama skuad Penyu," katanya kepada Sinar Harian Online, hari ini.

Petang tadi, Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib FAM, Datuk Taufik Abdul Razak mengumumkan bahawa hukuman Butler selama enam bulan dan denda RM4,000 dibatalkan.

Dalam pada itu, ketika ditanya perancangannya selepas hukuman itu terbatal, Butler  menjelaskan bahawa beliau akan pulang ke England terlebih dahulu sebelum melakukan sebarang perbincangan dengan PBSNT.

"Setakat ini saya masih belum memikirkan apa-apa.

"Saya akan pulang ke England, selepas 10 hari, baru saya akan ke Malaysia kembali untuk  berbincang mengenai kontrak bersama Terengganu," kata beliau. - SinarHarian

Sabtu, 13 Oktober 2012

Sathia: ‘Saya sudah jangka temu Kelantan’

B Sathianathan
B. Sathianathan

JURULATIH Angkatan Tentera Malaysia (ATM), B. Sathianathan mengakui bahawa beliau memang sudah menjangkakan pasukannya akan bertemu dengan The Red Warriors pada final Piala Malaysia edisi 2012, Sabtu ini.

"Saya sudah jangka akan bertemu Kelantan," kata beliau kepada Sinar Harian Online, hari ini.


Beliau menambah: "Kemenangan Kelantan ke atas Selangor memang sudah saya jangkakan kerana Kelantan merupakan satu pasukan yang terkuat."


Pertemuan dua kali antara ATM dengan Kelantan dalam saingan Kumpulan B telah memberi petunjuk awal kepada Sathia, di mana ATM pernah seri 1-1 dan tumpas di tangan Kelantan 3-4 bulan lalu.


"Kelantan telah menjadi juara Piala FA dan Liga Super ini sudah cukup untuk membuktikan mereka satu pasukan yang kuat," katanya.


Meskipun pasukan bimbingan Bojan Hodak mengalami masalah besar berikutan ketiadaan dua tunjang utamanya iaitu Mohd Norfarhan dan Mohamed Mahmoud Ghadar di final, ia bukan satu kelebihan besar buat ATM.


"Kelantan bukan bergantung pada kesebelas pemain utamanya sahaja... kekuatan Kelantan pada 18 orang pemainnya.


"Kesemua pemainnya sangat berpengalaman, malah semua pemain simpanannya boleh beraksi dengan baik, jadi ketiadaan dua pemainnya masih boleh digantikan dengan pemain lain," jelas Sathia.


Menurut Sathia lagi, kehilangan dua pemain Kelantan itu bukanlah satu kepincangan buat The Red Warriors kerana Mohd Badri Mohd Radzi atau dikenali dengan nama Piya mampu menggantikan tempat mereka.


"Bagi saya Piya mampu menggantikan posisi Farhan dan Ghadar, malah yang lain juga boleh menggantikan tempat mereka kerana keserasian mereka sangat kuat," jelasnya lagi.


Persediaan ATM menjelang saingan akhir Piala Malaysia musim ini, Sathia menyatakan bahawa pasukannya akan berusaha sebaik mungkin untuk menentang Kelantan.


"Kami akan bertungkus-lumus dan kerja kuat untuk saingan final nanti. Kami akan bermain dengan baik dan tidak boleh melakukan sebarang kesilapan," tambah Sathia.


Walaupun Sathia mengakui kekuatan Kelantan, namun beliau masih menyimpan hasrat untuk ATM muncul sebagai juara Piala Malaysia edisi 2012 buat julung kalinya.


"Tidak mustahil untuk ATM muncul sebagai juara musim ini yang penting usaha dan kerja keras sangat penting.


"Saya mahu semua pemain saya bermain dengan 'enjoy' di final nanti tapi bermain dengan penuh disiplin," tambah beliau. - SinarHarian

Piala Malaysia: Kelantan mara ke final

Aksi pemain Kelantan dan Selangor pada perlawanan separuh masa pertama pusingan kedua separuh akhir
Aksi pemain Kelantan dan Selangor pada perlawanan separuh masa pertama pusingan kedua separuh akhir Piala Malaysia di Stadium Shah Alam. - Foto Safwan Mansor

GERGASI Pantai Timur, Kelantan mengesahkan slot ke pentas final Piala Malaysia dengan bergaya selepas mengetepikan Selangor menerusi agregat 3-0 dalam saingan separuh akhir kedua  di Stadium Shah Alam, malam ini.
Malah ini Kelantan memperoleh dua gol. Dengan kemenangan ini, misi Kelantan dalam mencari kejuaraan treble musim ini semakin tercapai.
Kelantan - Piala Malaysia
Sebahagian pemain dan pengurusan pasukan Kelantan menunjukkan isyarat tiga selepas berjaya mara ke final Piala Malaysia.
Tuan rumah hampir mendapatkan jaringan awal pada babak awal perlawanan menerusi percubaan Safiq Rahim. Bagaimanapun sepakannya tersasar.
Pasukan pelawat melakukan serangan balas dan percubaan Mohamed Ghaddar pada minit ke-12 menerusi hantaran cantik Nik Mohd Shahrul gagal dilaksanakan apabila tandukannya berjaya ditepis keluar oleh penjaga gol Selangor, NorAzlan Razali.
Selang seminit kemudian, Ghaddar sekali lagi terlepas peluang apabila tendangannya melambung tinggi.
Memasuki pertengahan babak pertama perlawanan, pasukan pelawat melalui detik cemas  Amri Yahya bangkit melancarkan serangan nyaris merobek gawang Kelantan pada minit ke-22,  begitu pun berjaya didakap kemas oleh Khairul Fahmi Che Mat.
Tuan rumah bagaimanapun masih tidak berputus asa dan terus membuat beberapa percubaan bagi mendapatkan gol meskipun percubaan Bosko Balaban pada minit ke-43 masih gagal untuk menewaskan Khairul Fahmi.
Sepuluh minit separuh masa kedua bermula, Kelantan terus ghairah mencari jaringan gol apabila tendangan kencang  Nurul Azwan Roya hampir membolosi gawang lawan, namun berjaya ditolak keluar oleh Azlan.
Kelantan sekali lagi melancarkan serangan menerusi penyerang berbisanya, Modh Idhan Talaha pada minit ke-57, tetapi tendangannya juga ditepis keluar oleh Azlan.
Biarpun ketika Kelantan dilihat lebih menguasai perlawanan, Selangor tetap enggan menyerah kalah apabila Shafiq Rahim terus mara membuat cubaan ke arah pintu gol lawan pada minit ke-64. Bagaimanapun ia mudah diselamatkan Khairul Fahmi.
Pada minit ke-67, giliran Indra Putra Mahiyudin pula melancarkan serangan. Tendangannya tersasar melepasi tiang gol.
Keghairahan pelawat mencari jaringan gol akhirnya tertunai apabila tendangan pemain import Kelantan, Ghaddar berjaya menewaskan penjaga gol Selangor, Azlan.
Selepas itu, Mohd Badri Radzi menutup tirai perlawanan dengan menjaringkan gol kedua buat Kelantan  sekali gus meranapkan Misi 33 yang dicanang anak buah Irfan Bakti.
Dengan itu, Kelantan akan bertemu Angkatan Tentera Malaysia di pentas final yang akan berlangsung 20 Oktober ini di Stadium Shah Alam. - SinarHarian

Jumaat, 12 Oktober 2012

Pengurus harap masalah Safee selesai segera

Safee Sali
Safee masih boleh sarung jersi Harimau Malaya.

PENGURUS Safee Sali, Zakaria Rahim yakin masalah yang dihadapi penyerang kebangsaan itu ekoran penggantungan kelabnya, Pelita Jaya dan 31 kelab lain oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa), dapat diselesaikan dalam masa terdekat.

"Saya tak boleh komen, tapi apa yang boleh saya katakan masalah ini akan diselesaikan dengan segera," kata beliau ketika diminta mengulas kenyataan Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Azzuddin Ahmad yang mengesahkan bintang penyerang Pelita Jaya itu tidak boleh lagi membantu skuad negara di pentas antarabangsa ekoran keputusan penggantungan itu.

"Bagi saya kedudukan Safee tetap selamat dan beliau masih boleh beraksi bersama skuad kebangsaan," kata Zakaria kepada Sinar Harian Online, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya nasib Safee yang tidak dibenarkan beraksi bersama skuad Harimau Malaya sehingga PSSI bersidang pada satu Kongres mereka hujung tahun ini.

Dalam pada itu, Zakaria turut menegaskan masalah tersebut hanyalah salah faham yang timbul di peringkat Persatuan Bola Sepak Seluruh Indonesia (PSSI).

"Kami sudah merujuk kepada kelab itu dan biarlah mereka yang menguruskannya.

"Lagipun, bagi saya masalah ini tiada isu sebenarnya. Ini hanyalah salah faham. Apa pun, kami akan cuba membantu Safee dan Pelita Jaya sendiri sudah membuat kenyataan kepada media Indonesia mengenai isu ini," jelas beliau lagi.

Menurut laporan berita tempatan hari ini, penyerang prolifik negara itu tidak dibenarkan beraksi dalam mana-mana pertandingan termasuk menyertai latihan skuad kebangsaan ekoran kelab disertainya, Pelita Jaya digantung bersama 31 kelab lain oleh Fifa.

Azzuddin mengesahkan beliau telah menerima salinan surat penggantungan daripada PSSI yang turut melibatkan setiap pegawai dan pemain kelab Liga Super Indonesia.

Ini bermakna Safee turut digantung daripada beraksi dalam mana-mana pertandingan termasuk menyertai latihan bersama skuad kebangsaan.

Dalam pada itu, laman Facebook fanpage yang didaftar atas nama ‘Muhd Safee Sali’ juga menyatakan perkara sama, pagi ini.

“Safee mungkin tidak akan bermain untuk Malaysia pada AFF Suzuki Cup disebabkan penggantungan oleh PSSI/FiFA,” kata laman fanpage itu.

Kenyataan yang dibuat sekitar  jam 8 pagi tadi itu mendapat pelbagai reaksi daripada peminat Safee.

Mohamad Nazren menyatakan, Safee Sali tidak ada dalam (senarai) pemain utama, rasa macam tak garang la.”

Stanly Japang pula menulis, “orang suruh tinggalkan Pelita tidak mahu, kan sudah kena.”

Peminat bernama Raimi Ramli pula berkata, “tak apa bro, yang penting terbaik dari Malaysia.”

Penggantungan Safee turut dirasai oleh jurulatih kebangsaan, Datuk K Rajagobal.

Beliau menyatakan bahawa perkara itu sukar untuk diterima terutama buat pasukan kebangsaan, namun Rajagobal tetap berharap akan ada berita baik. - SinarHarian

Piala Malaysia: ATM mara ke final

Piala Malaysia: Kami layak menang, kata Sathia
Pemain Angkatan Tentera Malaysia diasak oleh pemain Lions XII malam tadi. - Foto Sinar Harian oleh Safwan Mansor
PENANTIAN selama 46 tahun Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk beraksi di pentas final Piala Malaysia akhirnya menjadi kenyataan apabila  menewaskan Lions XII  menerusi sepakan penalti 5-4, selepas kedua-dua pasukan terikat agregat 2-2 selepas berakhirnya 120 minit masa perlawanan.

Dengan kemenangan ini, ATM bakal bertemu sama ada Selangor atau Kelantan, yang akan beraksi di Shah Alam, malam esok.

Tuan rumah hampir mendapatkan jaringan awal pada babak awal perlawanan menerusi percubaan Hai-0. Bagaimanapun sepakannya tersasar.

Pasukan tuan rumah terus  mengatur strategi dan melakukan serangan namun percubaan Christie Jayaselan  berjaya ditepis oleh Izwan Mahbud  pada minit ke-12.

Pada minit ke-14, ATM sekali lagi hampir mendahului lawan tetapi, tendangan Marlon Alex James sedikit melencong ke tepi tiang gol.

Susulan  serangan pasukan tuan rumah, pasukan pelawat  melakukan serangan balas. Namun percubaan pemain Lions XII berjaya didakap kemas  oleh Farizal Harun  pada minit ke-20.

Keghairahan pelawat dalam memburu gol pertama akhirnya tertunai apabila hantaran menarik Shahril Ishak berjaya dilaksanakan dengan baik oleh Agu Casmir pada minit ke-26.

Bersambung babak kedua, pasukan tuan rumah memperkemaskan corak permainan dengan aksi yang lebih tersusun dan pemain importnya, Marlon hampir mencemaskan kem pasukan pelawat, namun tendangan berjaya didakap kemas oleh Izwan pada minit ke-73.

ATM sekali lagi hampir menyamakan kedudukan. Pun begitu tendangan Bruno Marteloto pada minit ke-75 sedikit tersasar ke tepi tiang gol.

Berbaki  minit-minit  terakhir, ATM  masih terus melancarkan serangan tetapi kekebalan benteng pertahanan pasukan pelawat  menafikan hasrat The Army untuk menyamakan kedudukan.

Beraksi di hadapan 11,000 penonton di gelanggang sendiri, ATM bagai dirasuk apabila serangan demi serangan, akhirnya gol penyamaan tuan rumah terhasil setelah tandukan Marlon pada minit ke-96 berjaya menewaskan penjaga gol Lions XII, Izwan.

Setelah kedua-dua  pasukan terikat  agregat 2-2, perlawanan diteruskan dengan masa tambahan.

Dilihat mendapat semangat dari gol pertama, anak didik Sathianathan melancarkan gerakan bertali arus melalui kombinasi pemain Hai-0, dan Aidil  namun berjaya dikekang oleh pertahanan Lions XII.

Lions XII terus dihimpit tekanan apabila pemainnya, Isa Halim terpaksa keluar dari padang kerana dilayangkan kad merah.

Dalam pada itu, kegagalan Baihakki untuk menyudahkan sepakan penalti akhirnya  memberi kemenangan kepada ATM untuk aksi di final 20 Oktober ini di Stadium Shah Alam. - SinarHarian

Ahad, 7 Oktober 2012

T-Team diurus lebih profesional musim depan

Rozi Mamat
Rozi Mamat

HULU TERENGGANU - Pengurus T-Team, Rozi Mamat menyatakan hasrat mahu melepas jawatannya di musim depan untuk memberi laluan kepada pihak yang lebih berpengalaman dan profesional menguruskannya.
Namun beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Terengganu menegaskan, beliau tetap akan memantau pasukan Penyu Muda itu sebagai sebahagian daripada tugasnya memajukan sukan di Terengganu.
"Tambahan pula kerajaan negeri memberikan dana kepada T-Team, jadi saya akan terus membantu pasukan ini untuk maju ke hadapan. Kerajaan negeri berharap pasukan T-Team pada masa akan datang ada badan-badan profesional atau individu yang lebih profesional mengurus pasukan ini," katanya kepada pemberita di sini.
Beliau berkata kerajaan negeri tidak akan selama-lamanya memayungi T-Team dan ia perlu belajar untuk berdikari.
Rozi berkata, T-Team akan membuat rombakan besar-besaran termasuk mengenai sistem pengurusannya yang akan diuruskan satu badan khas yang dilantik kerajaan negeri.
T-Team kini diuruskan Majlis Sukan Negeri Terengganu.
Katanya, mulai tahun depan, pasukan itu akan bergerak ke arah lebih profesional dan terbuka serta mengikut corak pengurusan pasukan dalam Liga Perdana Inggeris (EPL).
Beliau berkata, T-Team sedang memanggil dan mencuba beberapa pemain berpotensi untuk di serap musim depan dengan menyenarai 25 pemain. - Bernama

Bekas pemain Selangor Ezmi mungkin disihir

Mohd Habib Ahmad
Mohd Habib Ahmad
BATANG KALI - Rawatan menggunakan daun sirih, pati ibu kunyit, air garam Laut Merah dan roti memberi kesan serta perubahan terhadap luka pada wajah bekas pemain bola sepak Selangor, Mohd Ezmi Mad Jan, 35, yang menghidap kanser hidung.

Pengamal perubatan Islam, Mohd Habib Ahmad yang merawat bekas pemain bola sepak Selangor itu berkata, sel tisu hidung Mohd Ezmi sudah mulai tumbuh kemerahan dan menyifatkan perubahan ketara itu satu petanda baik untuk pulih.

“Saya menggunakan wap rebusan daun sirih untuk membunuh kuman dan virus, manakala nanah dicuci dengan roti kemudian setelah bersih luka disapu dengan air garam serta pati ibu kunyit.

“Alhamdulillah, setelah lebih tiga minggu merawat Mohd Ezmi kesan lukanya sudah mula surut dan daging baru juga tumbuh kemerahan,” katanya ketika ditemui semalam.

Mohd Habib yang juga peneroka Felda Gedangsa berkata, tindak balas positif itu sebenarnya memberi petanda berbeza dengan tanggapan Mohd Ezmi menghidap barah.

"Kemungkinan besar Mohd Ezmi terkena sihir.

"Ulat yang memakan daging pada hidung Mohd Ezmi pernah dibuang di dalam tandas tetapi hanya selang sehari ulat kembali semula dengan jumlah yang sama," katanya.

Namun, katanya, setelah dibacakan ayat al-Quran dan menghembusnya pada ubun-ubun Mohd Ezmi, ulat itu mudah dibersihkan dan setelah dimasukkan ke dalam botol lalu dibuang ke sungai ia tidak lagi kembali.

“Selepas itulah sel tisu muka dan hidung Mohd Ezmi kelihatan bersih dan kemerahan.

“Jadi, ini berkemungkinan satu perbuatan khianat,” katanya.

Bagaimanapun, Mohd Habib berkata, dia tidak dapat membantu memulihkan sel tulang hidung Mohd Ezmi kerana sudah rosak dipercayai kesan kimoterapi.

"Kita akan teruskan rawatan terhadap Mohd Ezmi bagi memastikan dia pulih sepenuhnya dan terhalang daripada gangguan berulang," katanya. - SinarHarian

Piala Malaysia: Kelantan menang tipis 1-0

Selangor - Kelantan
Pemain Kelantan, Nik Shahrul cuba menanduk bola ketika perlawanan Piala Malaysia Kelantan menentang Selangor malam tadi - Foto Bernama

JUARA Piala FA dan Liga Super, Kelantan memulakan aksi separuh akhir pertama dalam saingan Piala Malaysia kali ini dengan langkah kanan apabila berjaya menewaskan Selangor 1– 0 di Stadium  Sultan Muhammad VII, Kota Bharu malam ini.

Dengan kemenangan ini, Kelantan membawa bekalan selesa apabila bakal bertandang ke halaman lawan untuk menghadapi pertemuan kedua minggu depan.

Gawang tuan rumah sedikit cemas apabila percubaan pada babak awal perlawanan menerusi hantaran cantik Amri Yahya gagal dilaksanakan dengan baik oleh pemain import Selangor apabila tendangannya melambung tinggi.

Susulan serangan pasukan pelawat, pasukan tuan rumah mengatur strategi dan melakukan serangan balas namun percubaan Nurul Azwan Roya berjaya ditepis oleh Mohd Azlan Razali pada minit ketujuh.

Pada minit ke-15, Kelantan sekali lagi hampir mendahului lawan tetapi, tendangan Mohammad Ghaddar sedikit melencong ke tepi tiang gol.

Pasukan tuan rumah tidak berputus asa dan Kelantan bagai dirasuk apabila melancarkan serangan bertali arus ke kubu Selangor. Pun begitu banyak kali percubaan Ghaddar dan Azwan Roya terus ke dalam dakapan penjaga gol Selangor.

Memasuki babak kedua perlawanan menyaksikan pasukan tuan rumah memperkemaskan corak permainan dengan aksi yang lebih tersusun dan pemain importnya, Ghaddar hampir mencemaskan kem pasukan pelawat, namun tendangan lencongnya  dari jarak 15 meter berjaya didakap kemas oleh Azlan.

Keghairahan tuan rumah dalam memburu gol pertama akhirnya tertunai apabila gerakan menarik Nor Farhan Muhammad  berjaya menewaskan penjaga gol Selangor pada minit ke-63.

Selangor terus dihimpit tekanan apabila pemainnya, Snasriq Baharom terpaksa keluar dari padang kerana dilayangkan kad merah pada minit ke-64.

Berbaki 12 minit terakhir, Selangor masih terus melancarkan serangan tetapi kekebalan benteng pertahanan tuan rumah menafikan hasrat The Red Giants menyamakan kedudukan sekali gus menggagalkan misi anak buah Irfan untuk menamatkan badi kekalahan ketika beraksi di stadium keramat itu.

Dalam aksi timbal balik, Kelantan akan bertandang ke Stadium Shah Alam pada 12 Oktober ini. - SinarHarian

Iklan Mangga