BERLIN — Dua kelab gergasi Eropah, Barcelona dan Manchester United semakin menghampiri pentas final saingan Liga Juara-Juara.
Kedua-dua kelab tersebut dilihat berpotensi untuk membuat perhitungan pada final yang bakal berlangsung di Stadium Wembley 28 Mei ini selepas mencatatkan kemenangan selesa ke atas lawan masing-masing pada aksi separuh akhir pertama minggu lalu.
Barcelona yang bakal melayan kunjungan musuh tradisi mereka, Real Madrid di Nou Camp awal pagi esok memiliki kelebihan dua gol setelah menang 2-0 pada aksi separuh akhir pertama di tempat lawan minggu lalu.
United juga turut mencatatkan kemenangan 2-0 ke atas Schalke 04 dalam satu lagi pertemuan separuh akhir pertama, sekali gus memudahkan tugas mereka untuk memburu slot ke final apabila menanti kunjungan kelab Jerman itu di Old Trafford awal pagi Khamis ini.
Andai pertemuan antara Barcelona dengan United di final menjadi kenyataan, ia pasti menjadi perlawanan tumpuan.
Apa tidaknya, ia merupakan peluang terbaik buat United melunaskan dendam mereka setelah tewas 0-2 kepada Barcelona pada aksi final musim 2009 di Stadium Olimpico, Itali.
Bagaimanapun, tugas getir bakal menanti pengurus United, Alex Ferguson yang perlu mengimbangi kekuatan skuad kendaliannya itu kerana tiga hari selepas itu mereka bakal melayan kunjungan Chelsea dalam saingan Liga Perdana England.
Perlawanan tersebut dianggap penting buat skuad The Red Devils bagi memastikan kejuaraan liga menjadi milik mereka.
“Kami perlu menempuh satu minggu yang sukar kerana dua perlawanan penting menanti kami iaitu pertemuan dengan Schalke 04 dan juga Chelsea.
“Saya akan melakukan beberapa perubahan dalam pasukan tanpa perlu ada yang mempersoalkan keputusan saya itu nanti. Saya akan membawa masuk semula Paul Scholes, Dimitar Berbatov dan Michael Owen.
“Kami perlu melakukannya tetapi saya tetap menurunkan barisan berpengalaman di bahagian pertahanan,” jelas Ferguson.
Sementara itu, jurulatih Barcelona, Pep Guardiola dijangka akan menurunkan barisan kesebelasan terbaiknya bagi menghadapi segala ancaman daripada Real yang pastinya akan menerapkan corak permainan secara menyerang.
Namun, kecederaan yang menimpa beberapa tonggak utama skuad The Catalan terutama di bahagian pertahanan sedikit sebanyak telah memeningkan Guardiola.
Gabriel Milito, Eric Abidal dan Adriano, ketiga-tiga mereka tidak dapat diturunkan kerana masih belum pulih sepenuhnya.
Bagi mengatasi masalah tersebut, Guardiola dilaporkan bakal membuat beberapa perubahan dengan meletakkan Carles Puyol beraksi di bahagian pertahanan kiri, manakala Javier Mascherano bersama Gerard Pique mengetuai bahagian pertahanan tengah
Perancang Sepanyol, Andres Iniesta yang diketepikan pada aksi separuh akhir pertama akan kembali diletakkan di bangku simpanan dan tempatnya bakal diambil alih sama ada Seydou Keita atau Ibrahim Afellay. – Agensi
Tiada ulasan:
Catat Ulasan