AKSI NGERI...Katy melompat dari Jambatan Harbour di Auckland, New Zealand dari ketinggian 46 meter. |
APABILA mereka keluar bersama untuk kali pertama, orang tertanya-tanya apakah persamaan yang menyatukan kedua-dua selebriti itu.
Kini, terbukti Katy Perry dan Russell Brand memang mampu berkongsi sekurang-kurangnya satu perkara - sukan berbahaya. Pasangan itu dilihat bergembira menyertai aktiviti lasak pada hujung minggu lalu.
Ketika Katy, 26, melakukan terjunan bungee dari sebatang jambatan, Brand, 35, pula menunggang jet ski meredah ombak besar.
Masalahnya, mereka tidak melakukan aktiviti mencabar itu di lokasi sama, sebaliknya terpisah ribuan kilometer di antara satu sama lain. Katy berada di New Zealand untuk memenuhi jadual mengadakan konsert di negara itu sebagai sebahagian daripada siri jelajah California Dreams yang diatur.
Suaminya, Brand, pula berada di Miami, Florida bagi menjayakan penggambaran filem terbarunya, Rock of Ages.
REDAH OMBAK...ketika isterinya melakukan terjunan bungee, Brand pula menyarung jaket keselamatan dan memecut di perairan Miami, Florida. |
Baru-baru ini, sebelum muncul di Vector Arena, Auckland, Katy hadir di Jambatan Harbour untuk mencuba terjunan bungee. Menyertai Katy di situ adalah seorang peminat bertuah, Marinol Nuval, 19, yang dipilih pada konsertnya beberapa malam sebelum itu.
Marinol, 19, adalah seorang penuntut di Auckland. Turut berpeluang merasai kegerunan terjunan itu adalah seorang lagi peminatnya, Steven Fernandez.
Kata Katy, dia takut melakukan terjunan itu.
“Tapi ramai yang tahu mengenainya dan tidak mungkin saya berpatah balik,” katanya.
Selepas Auckland, Katy akan mengadakan persembahan di Wellington sebelum terbang pula ke Sydney, Australia dan ke Jepun.
Sementara itu, di Miami, Brand dilihat bersantai di balkoni biliknya untuk seketika sebelum menaiki jet ski meredah ombak dari Lautan Atlantik.
Untuk melaksanakan keinginannya, Brand dikatakan menyewa dua jet ski supaya dihantar ke tempat penginapannya.
Sejurus kemudian, Brand bersama seorang rakannya menyarung jaket keselamatan sebelum meredah ombak dengan jet ski masing-masing.
Filem terbaru Brand dijangka ditayangkan kepada umum tahun depan. Selain Brand, Rock of Ages turut dibintangi Tom Cruise, Catherine Zeta-Jones dan Julianna Hough. -DM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan