PETALING JAYA: Penyampai Radio Suria FM, Myra mengakui kadang-kala terlepas cakap ketika ke udara kerana terlalu teruja berbual dengan pendengarnya.
Jelas Myra, dia tidak berniat untuk menyinggung perasaan mana-mana pihak terutamanya pendengar setia Suria FM.
“Ya, saya akui kadang kala saya terlanjur ketika berbicara dengan pendengar, tapi saya tidak bermaksud menyinggung mereka.
“Bagaimanapun, saya akan pastikan pendengar tahu bahawa saya hanya bergurau bagi menimbulkan rasa selesa mereka ketika berbual,” katanya ketika dihubungi mStar Online, Isnin.
Myra diminta mengulas tentang dakwaan kononnya dia menggunakan kata-kata kasar ketika berbual dengan pendengarnya.
Perkara tersebut juga dikatakan telah menimbulkan perasaan kurang senang pengikut setia stesen radio itu.
“Saya akui perkara tersebut silap saya apabila saya terlepas beberapa perkataan ketika membuat suntingan perbualan sebelum disiarkan.
“Tapi selepas ini saya akan lebih berhati-hati dan mengelakkan sebarang insiden yang boleh mencalar hati pendengar,” katanya.
Dalam pada itu, ketika ditanya tentang cara penyampaian dan suara yang dikatakan kurang mesra pendengar, Myra memberitahu dia hanya mengikut caranya tersendiri.
“Tentang suara atau cara penyampaian saya pasti setiap deejay mempunyai gaya masing-masing dan saya hanya mengikut cara saya,” katanya. - mStarOnline
Tiada ulasan:
Catat Ulasan