PETALING JAYA: Pelakon Eira Syazira,(gambar) 27, tidak pernah kisah gelaran ratu air mata yang sering diberikan kepadanya kerana mengakui watak tersebut begitu sebati dengan dirinya.
Jelas Eira, dia sendiri gemarkan watak-watak berat dan mencabar yang memerlukan dia bermain dengan emosi dan air mata.
“Saya sudah pernah mencuba banyak watak seperti antagonis dan komedi tetapi pada saya watak air mata paling mencabar dan sesuai dengan saya.
“Bagaimanapun, cabaran saya ialah untuk memberi kelainan antara satu drama dengan drama yang lain. Saya terpaksa baca keseluruhan skrip dan buat kajian terlebih dahulu,” katanya ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Drama Bait Cinta, di sini, Selasa.
Tambahnya, dia tidak pernah menganggap watak air mata yang dimainkannya dalam beberapa buah drama adalah bersifat klise.
Jelas Eira, lakonan drama terbarunya Biat Cinta ini berbeza dengan drama Ustaz Amirul yang baru sahaja selesai ditayangkan di TV3.
“Walaupun kedua-dua watak tersebut seperti sama iaitu menjadi wanita baik yang memakai tudung tapi sebenarnya apa yang ingin ditonjolkan ialah konflik dalam drama itu.
“Bagi drama Bait Cinta ini saya menjadi isteri dalam dilema yang terpaksa berkongsi suami dengan dua wanita lain,” katanya.
Bagaimanapun ketika ditanya, jika keadaan poligami tersebut terjadi ke atasnya, Eira memberitahu perkara tersebut sudah ditentukan oleh Allah.
“Semua wanita tidak ingin dimadukan tetapi itu semua adalah ketentuan Allah. Kita tidak tahu perjalanan hidup kita.
“Apa yang pasti segala yang berlaku mempunyai sebab tertentu,” katanya.
Drama Bait Cinta bakal ditayangkan pada setiap Isnin dan Selasa, pukul 8.30 malam bermula 17 Mei ini di TV9.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan