BARCELONA – Tonggak pertahanan Barcelona, Gerard Pique menyifatkan bekas rakan sepasukannya, Wayne Rooney sebagai pemain yang sangat berbahaya apabila pasukannya menentang Manchester United pada final Liga Juara-Juara Eropah, Sabtu ini.
Pique amat mengenali United kerana menghabiskan empat musim di Old Trafford sehingga 2008.
Dia berpindah ke England pada usia 17 tahun, tetapi gagal mencipta impak untuk berada dalam skuad utama dan kembali ke Catalonia.
Sejak itu Pique berjaya meningkatkan permainan dan muncul antara pertahanan terbaik dunia, termasuk memenangi tiga kejuaraan pada musim pertama di Barcelona dan menumpaskan United pada final di Rome.
Dia akan kembali berdepan bekas pasukannya dan Pique sedar dia perlu berada dalam fizikal terbaik untuk menyekat Rooney daripada mengancam kubu pasukannya.
Rooney |
“Rooney antara penyerang terbaik dan telah menjaringkan banyak gol. Saya perlu memberikan sepenuh tumpuan untuk tidak memberi ruang kepadanya. Saya mempunyai hubungan yang baik dengannya, tetapi kami mahu memenangi perlawanan ini dan kami akan berjuang untuk kepentingan pasukan masing-masing.
“Dahulu saya sentiasa mendapat kesukaran setiap kali kami bermain pada sesi latihan, ia sama sukar dengan berdepan (Lionel) Messi,’’ ujar Pique.
Pique, yang memainkan peranan penting ketika membantu Sepanyol menjulang Piala Dunia tahun lalu, turut memberi penghormatan kepada pengurus United, Alex Ferguson, yang memainkan peranan besar dalam kariernya.
“Dia telah memenangi banyak kejuaraan. Sekalipun pasukannya sentiasa berubah, dia terus menang dan menang.
“Saya mengharungi beberapa tahun yang bagus di Manchester, tetapi Barcelona adalah rumah saya dan saya mahu kembali, Ferguson memahaminya,’’ ujar Pique.
Jurulatih Barca, Pep Guardiola belum memutuskan barisan pertahanan yang akan mengekang United, namun Javier Mascherano hampir pasti akan mengetuai pertahanan tengah, sambil dibantu Pique, ketika Carles Puyol belum cergas seratus peratus selepas bergelut dengan kecederaan panjang.
Mascherano, bekas tonggak Liverpool mengakui, ia merupakan perlawanan terbesar dalam kariernya dan dia tidak melupakan memori hitam dilayangkan kad merah ketika menentang United pada aksi Liga Perdana England 2008.
“Pengadil melakukan kesilapan besar ketika saya dibuang padang, tetapi perlawanan ini sama sekali berbeza, ia bukan lagi pertemuan di antara United dan Liverpool tetapi ia final Liga Juara-Juara.
“Selepas tiga tahun setengah bersama Liverpool, anda pasti akan berasa sedikit berbeza apabila berdepan musuh lama sekali lagi, kerana saya sekarang adalah pemain Barca,’’ katanya. – AFP
Tiada ulasan:
Catat Ulasan